Categories
AGENDA NASIONAL

Rebah ketika main bola, pelajar maut di UK selamat dikebumi

SEREMBAN, 14 APRIL: Jenazah penuntut Malaysia Muhammad Hafidz Abdullah yang meninggal dunia selepas menerima rawatan selama empat hari di unit rawatan kritikal sebuah hospital di United Kingdom (UK), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Senawang di sini kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Jenazahnya yang tiba dari UK dibawa ke Masjid Negeri di sini kira-kira pukul 7 malam untuk disembahyangkan sebelum tiba di tanah perkuburan sekitar 8.40 malam ini untuk dikebumikan di kampung halaman isterinya, Nazihahwati Mohiddin, 36 tahun.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan berkenaan dengan kehadiran lebih 50 ahli keluarga.

Muhammad Hafidz, 36, pelajar tahun dua pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Sheffield disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.35 pagi 8 April lepas selepas isterinya membuat keputusan membenarkan pihak hospital Northern General Hospital di Sheffield mematikan alat bantuan pernafasan atas nasihat pasukan perubatan.

Beliau yang merupakan kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaporkan tiba-tiba pengsan semasa bermain bola di Pusat Sukan Goodwin di Sheffield pada 4 April lepas dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan semasa rawatan.

Sementara itu bapa Allahyarham, Abdullah Kasim, 65, mengakui sangat sedih dan terkejut selain menyifatkan pemergian Muhammad Hafidz merupakan satu kehilangan besar buat keluarganya.

Beliau yang tiba dari Shah Alam turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana membantu urusan membawa pulang jenazah anaknya.

Menurutnya, mereka bercadang untuk menziarahi Allahyarham sebaik mengetahui keadaan kesihatan anaknya itu semakin merosot namun terpaksa menangguhkannya kerana kekangan susulan penularan pandemik Covid-19.

“Kami tunggu keadaannya makin pulih tetapi tak sempat kerana dia pergi dulu…dia anak yang baik, bagaimanapun kami reda dengan pemergiannya.

Kali terakhir kami bersua muka sebelum dia ke UK pada September 2019, dan ketika dia berada di sana pun setiap hari dia telefon kami untuk bertanya khabar dan kali terakhir kami berkomunikasi adalah sehari sebelum arwah pengsan,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Pelajar Malaysia antara kes import di Singapura

SINGAPURA, 20 JAN: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan bahawa satu daripada lima kes bergejala import yang dilaporkan di negara republik berkenaan semalam adalah melibatkan seorang pelajar wanita berumur 28 tahun dari Malaysia.

Dilabel sebagai kes 59422, pemegang pas pelajar itu tiba di Singapura dari negara asalnya, menurut kementerian berkenaan dalam data penuh yang dikeluarkan di sini.

Sehingga tengah hari ini, Singapura mencatatkan 26 kes import baharu, dengan 21 daripadanya adalah asimptomatik, manakala lima adalah bergejala.

Republik itu turut melaporkan empat kes baharu jangkitan tempatan Covid-19, dengan dua kes asimptomatik dan dua bergejala.

Keseluruhannya 30 kes baharu dilaporkan di sini pada Selasa, menjadikan jumlah jangkitan kini menjangkau 59,157.

Satu kluster baharu juga dikesan semalam, yang dikaitkan dengan kes 59343 melibatkan seorang lelaki warga China berumur 33 tahun yang bekerja di Golden Bridge Foods Manufacturing Pte Ltd.

Dengan kluster baharu itu, jumlah kluster yang dikesan kini adalah lima.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir dukacita kemalangan menimpa Nur Izzah

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan rasa sedih atas kemalangan yang menimpa pelajar Malaysia, Nur Izzah Mohd Shokri di Manchester, England, Isnin lepas.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua mendoakan semoga Nur Izzah, dikurniakan kesembuhan dengan segera dan kembali pulih seperti sedia kala.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

“Marilah bersama Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga Nur Izzah dikurniakan kesembuhan dan keafiatan dengan segera,” kata kenyataan itu.

Nur Izzah, 20, yang merupakan pelajar tahun pertama jurusan perakaunan dan kewangan di Universiti Manchester, kini berada dalam keadaan koma dan sedang mendapat rawatan di Salford Royal Hospital, England selepas menjalani pembedahan.

Pelajar yang berasal dari Karak, Pahang itu dilaporkan mengalami kecederaan yang serius di bahagian kepala dan tulang rusuk selepas bertembung dengan sebuah bas ketika sedang menunggang basikal Wilmslow Road, Rusholme dalam kejadian pukul 4.25 petang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Dua pelajar Malaysia bakal ke Universiti Harvard

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Satu lagi pencapaian membanggakan buat Malaysia, apabila dua pelajar muda, Mohamed Aqil Azmi dan Zad Chin Qi Qi, bakal ke Kolej Harvard, sekolah sarjana bagi Universiti Harvard yang terkenal di seluruh dunia.

Kelab Harvard Malaysia, menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan, kedua-dua pelajar itu akan menjadi sebahagian daripada kelas sarjana bagi tahun 2024.

Menurut kenyataan itu, Mohamed Aqil, 20, anak kelahiran Shah Alam, Selangor, bakal mengambil jurusan Matematik dan Falsafah, manakala Zad Chin, 20, pelajar perempuan dari Ipoh, Perak, merancang mengambil jurusan Sains Komputer dan Pengajian Sosial.

“Kedua-dua pelajar pada masa ini sedang mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Selangor.

“Mohamed Aqil dan Zad Chin akan memulakan pengajian peringkat sarjana mereka apabila Kolej Harvard dibuka semula bagi tahun akademik yang baharu,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, terdapat sejumlah 40,248 permohonan untuk memasuki kelas pengajian Kolej Harvard bagi tahun 2024, namun hanya 1,980 pelajar diterima masuk dengan hanya 10.8 peratus pelajar antarabangsa.

Untuk rekod, kali terakhir pelajar Malaysia diterima masuk ke Kolej Harvard adalah pada tahun 2017.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

40 pelajar Malaysia di China telah pulang

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Kira-kira 40 pelajar yang rata-ratanya menuntut di Beijing telah kembali ke Malaysia dalam tempoh seminggu berikutan penularan koronavirus 2019 di China.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan kesemua pelajar itu telah menjalani ujian saringan kesihatan di lapangan terbang negara ini dan dikuarantin 14 hari di rumah masing-masing.

“Pihak Pendidikan Malaysia Beijing juga telah berhubung dengan mereka untuk mendapatkan maklum balas tahap kesihatan. Setakat ini, pelajar yang pulang berada dalam keadaan sihat dan baik,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra juga memaklumkan semua pelajar terbabit turut diberikan garis panduan kesihatan yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan lapan kes koronavirus 2019 yang kesemuanya melibatkan warga China.

Kerajaan kini dilaporkan memberi keutamaan untuk membawa pulang 117 rakyat Malaysia di Wilayah Hubei berikutan penularan virus itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Pelajar Malaysia dipindah ke Jakarta kembali ke Riau

JAKARTA, 30 SEPT: Pelajar Malaysia di Riau, Sumatera yang dipindahkan ke Jakarta akibat jerebu baru-baru ini, kembali ke provinsi itu hari ini berikutan keadaan jerebu telah kembali pulih.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata, ia berikutan penamatan darurat jerebu di provinsi itu yang bermula hari ini.

Kumpulan pertama seramai 18 pelajar dijadual berlepas jam 11 pagi dari Jakarta ke Jambi dengan pesawat Citilink QG964 manakala kumpulan kedua seramai 35 pelajar akan berlepas jam 5.05 petang ini dengan pesawat Citilink QG938 dari Jakarta ke Pekanbaru.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Riau yang sebelum ini melebihi bacaan 500, telah menurun ke bacaan bawah 150 sejak dua hari lepas.

“Semua pelajar Malaysia yang ditempatkan sementara di Malaysia Hall itu, pulang hari ini ke Jambi dan Pekanbaru,” katanya pada majlis perpisahan bersama pelajar berkenaan di Malaysia Hall, hari ini.

Mereka dipindahkan pada 25 September (kumpulan pertama seramai 35 pelajar) dan 26 September lepas (kumpulan kedua seramai 18 pelajar), selepas Gabenor Riau, Syamsuar mengisytiharkan provinsi itu berstatus darurat jerebu bermula 23 September lepas berikutan IPU telah melebihi 500, sehingga mencecah bacaan 700.

Berikutan hujan sejak beberapa hari lepas, dan keadaan jerebu semakin pulih, Syamsuar mengumumkan status itu ditamatkan hari ini.

Pelajar terbabit dipindahkan ke Jakarta berikutan masih dalam proses permohonan visa pelajar atau KITAS (Kartu Izin Tinggal Terbatas), manakala lebih 100 pelajar lagi dipindahkan atau pulang ke Malaysia.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Fenomena Vorteks Kutub, semua pelajar Malaysia di Midwest disah selamat

PUTRAJAYA, 1 FEB: Education Malaysia Chicago mengesahkan semua pelajar Malaysia di sekitar Midwest, Amerika Syarikat selamat berikutan keadaan cuaca sejuk melampau yang jarang berlaku di wilayah terbabit, dikenali sebagai fenomena Vorteks Kutub.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, Education Malaysia Chicago akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan menasihatkan pelajar supaya sentiasa berada di kawasan selamat dan tertutup sepanjang tempoh cuaca sejuk melampau itu.

KPM berkata, fenomena Vorteks Kutub membawa angin sejuk melampau menyebabkan suhu menurun sehingga -53 darjah Celsius dan berpotensi mengancam keselamatan dan nyawa.

“Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang terkena reput fros jika terdedah di tempat terbuka selama 10 minit.

“Education Malaysia Chicago akan terus memantau kebajikan dan keselamatan pelajar Malaysia di sekitar Midwest melalui persatuan pelajar Malaysia di universiti dan institusi berkenaan, khususnya sepanjang tempoh keadaan cuaca sejuk melampau terbabit.

“Pihak berkuasa di Illinois telah mengeluarkan perintah darurat bagi mengawal keadaan dan bagi mengurangkan perkara tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

KPM berkata, kebanyakan syarikat dan premis perniagaan mengarahkan pekerja mereka bekerja dari rumah, selain banyak sekolah dan institusi pendidikan ditutup.

SUMBER: BERNAMA