Categories
SELANGOR

Seksyen 5 Shah Alam Aplikasi Model Pembangunan Makkah

SHAH ALAM, 8 MEI : Kawasan Seksyen 5 Shah Alam akan dibangunkan oleh kerajaan negeri sebagai kawasan Bandaraya Islam yang mengambil model pembangunan Bandaraya Makkah dengan menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat sekitarnya.

Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,  projek ini yang masih dalam peringkat perancangan akan membabitkan kawasan kira-kira 50 ekar dengan kos pembangunan bernilai kira-kira RM2 bilion sehingga RM3 bilion.

Dalam Islam konsep yang paling penting ialah semuanya berpaksikan masjid, oleh itu di Shah Alam Masjid Negeri menjadi kepada paksi pusat kepada pembangunan bandaraya Islam.

Abdul Khalid berkata, pembangunan Bandaraya Islam itu nanti akan menjadikan Shah Alam kawasan tarikan baru sekaligus meningkatkan taraf ekonomi setempat.

“Dijangka apabila projek ini dilaksanakan ia akan menghidupkan lagi Shah Alam yang akan mempunyai akademi pendidikan, pusat kewangan, pusat kesihatan dan penempatan yang akan menjadi sebuah bandaraya bercirikan Islam yang lengkap,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Bandaraya Islam (Islamic City) Kawasan Seksyen 5 Shah Alam.

Tambahnya, konsep Bandaraya Islam ini ialah sebuah bandaraya yang diduduki oleh masyarakat Islam yang mempunyai pelbagai fungsi dengan menekankan kepada pembangunan keseluruhan yang melibatkan fizikal, infrastruktur dan insan.

“Projek ini apabila berjalan ia akan menjadi nafas baru kepada Shah Alam, apa yang penting ialah kita dapat mengembalikan kegemilangan tamadun Islam,” jelas Abdul Khalid.

Seksyen 5 dipilih kerana terdapat Masjid Negeri yang mempunyai potensi untuk dibangunkan kawasan sekitarnya yang juga mempunyai pusat pentadbiran, komersil, pendidikan dan kesihatan.

Kira-kira 80 orang peserta hadir pada kursus yang diadakan di Hotel Saujana, Seksyen U2 di sini dan disertai Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar yang merupakan Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (PADAT).

Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan dalam bengkel itu yang juga menampilkan pembentangan kertas kerja bertajuk “Perancangan dan Pembangunan Makkah Al-Mukarramah” yang disampaikan oleh Dr Ismawi Zen daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mempunyai pengalaman dalam perancangan dan pembangunan Bandaraya Makkah.

Sementara itu menurut Datuk Bandar Shah Alam,Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dalam ucapannya berkata pembangunan Bandaraya Islam itu merupakan pembangunan sejagat yang berpaksikan kepada tiga perkara asas.

Menurut peserta bengkel, Tan Ah Kow, yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam menyambut baik usaha dan idea itu di mana pembangunan tersebut akan menjadi mercu tanda baru di Selangor.

Menurut Penolong Mufti Kanan di Jabatan Mufti Selangor, Hadri Idris, cadangan pembangunan Bandaraya Islam itu merupakan idea amat baik yang menampilkan konsep unik.

“Saya amat tertarik dengan konsep di mana di Makkah dan Madinah apabila waktu untuk menunaikan solat perniagaannya ditutup hanya dengan menggunakan kain tanpa sebarang gangguan kekacauan daripada jenayah kecurian yang mana orang ramai yakin dengan tahap keselamatannya,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Maszlee: Selain Demo, Boikot Pilihan Raya Juga Satu Alternatif

SHAH ALAM, 19 APR: Tindakan boikot pilihan raya sekiranya tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) BERSIH 3.0 dan wakil pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) di parlimen akan memberi kesan besar terhadap kredibiliti kerajaan BN.

Selain itu tindakan boikot tersebut juga mampu menjejaskan ekonomi sekaligus menyebabkan parti peneraju kerajaan pusat harus berfikir lebih mendalam untuk menerima impak tersebut.

Demikian menurut Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik ketika diwawancara baru-baru ini.

“Saya rasa jikalau keadaan teruk dan tidak berubah kemungkinan parti-parti politik pembangkang akan boikot pilihan raya, itu sahaja. Itu cara yang lebih mudah untuk mereka lakukan berbanding turun ke jalan raya.

“Kalau boikot pilihan raya, ini suatu kesan yang besar sebenarnya di peringkat antarabangsa.

“Imej Malaysia akan terjejas jikalau parti-parti politik boikot pilihan raya.

“Kita tahu kalau berlaku boikot besar-besaran oleh parti pembangkang di negara-negara membangun atau negara dunia ke tiga ia menjejaskan kredibiliti pihak pemerintah sekaligus menjejaskan ekonomi dan saya rasa BN terpaksa berfikir dua, tiga kali untuk menerima impak tersebut,” ujar Dr Maszlee Malik ketika diwawancara baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut Dr Maszlee, kemungkinan tindakan mengadakan demontrasi, mogok dan sebagainya juga tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

“Kalau tak boikot pun, kemungkinan akan ada segolongan pihak-pihak yang terlibat, parti politik atau masyarakat sivil yang sedar akan melakukan seperti demontrasi, mogok dan sebagainya,” ujar Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Ketika menjawab satu soalan, Dr Maszlee memberitahu harapan untuk rakyat negara ini mendapatkan pilihan raya yang bersih, adil dan telus masih ada sekiranya tekanan yang kuat terus diberikan kepada pemerintah.

Selain itu beliau turut menyatakan menukar kerajaan melalui pilihan raya merupakan satu-satunya pilihan terbaik yang ada.

“Jadi saya rasa dengan sistem pilihan raya yang lebih bersih, telus, media yang adil untuk semua pihak, sikap bertanggungjawab pihak pemerintah sendiri, tidak mustahil perubahan boleh dilakukan melalui demokrasi dan saya di antara orang yang begitu yakin dengan sistem demokrasi dan kurang bersetuju dengan cara keganasan atau revolosi di Malaysia.

“Kita perlu meletakkan kepercayaan kepada SPR kerana kita tidak ada pilihan, cuma penambahbaikan dan pembaikpulihan seperti mana yang dicadangkan oleh BERSIH, sepertimana yang dicadangkan oleh PSC di parlimen itu yang tak semua diterima.

“Jikalau diambil kira semua yang dituntut itu saya rasa kita boleh berikan kepercayaan yang lebih kepada SPR,” katanya lagi.

Katanya, SPR perlu berusaha memulihkan imej mereka sebagai syarat utama untuk memulihkan kepercayaan masyarakat kepada badan suruhanjaya itu dan menerima cadangan Jawatankuasa Pemulihan Pilihan Raya merupakan salah satu cara.

“Sekarang ini mungkin kita katakan persepsi masyarakat secara umum terutama kepada aktor politik dan aktor masyarakat sivil yang majoriti bukan tidak percaya tetapi terdapat prejudis, terdapat persepsi dan juga mereka skeptik terhadap apa yang dilakukan oleh SPR berdasarkman track rekod mereka sebelum-sebelum ini.

“Jadi untuk baik pulih SPR, perlu ikut tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH, perlu ikut seperti mana yang disuarakan oleh Jawatan Kuasa Pemulihan Pilihan Raya itu,” katanya lagi.