Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Maszlee: Selain Demo, Boikot Pilihan Raya Juga Satu Alternatif

SHAH ALAM, 19 APR: Tindakan boikot pilihan raya sekiranya tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) BERSIH 3.0 dan wakil pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) di parlimen akan memberi kesan besar terhadap kredibiliti kerajaan BN.

Selain itu tindakan boikot tersebut juga mampu menjejaskan ekonomi sekaligus menyebabkan parti peneraju kerajaan pusat harus berfikir lebih mendalam untuk menerima impak tersebut.

Demikian menurut Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik ketika diwawancara baru-baru ini.

“Saya rasa jikalau keadaan teruk dan tidak berubah kemungkinan parti-parti politik pembangkang akan boikot pilihan raya, itu sahaja. Itu cara yang lebih mudah untuk mereka lakukan berbanding turun ke jalan raya.

“Kalau boikot pilihan raya, ini suatu kesan yang besar sebenarnya di peringkat antarabangsa.

“Imej Malaysia akan terjejas jikalau parti-parti politik boikot pilihan raya.

“Kita tahu kalau berlaku boikot besar-besaran oleh parti pembangkang di negara-negara membangun atau negara dunia ke tiga ia menjejaskan kredibiliti pihak pemerintah sekaligus menjejaskan ekonomi dan saya rasa BN terpaksa berfikir dua, tiga kali untuk menerima impak tersebut,” ujar Dr Maszlee Malik ketika diwawancara baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut Dr Maszlee, kemungkinan tindakan mengadakan demontrasi, mogok dan sebagainya juga tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

“Kalau tak boikot pun, kemungkinan akan ada segolongan pihak-pihak yang terlibat, parti politik atau masyarakat sivil yang sedar akan melakukan seperti demontrasi, mogok dan sebagainya,” ujar Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Ketika menjawab satu soalan, Dr Maszlee memberitahu harapan untuk rakyat negara ini mendapatkan pilihan raya yang bersih, adil dan telus masih ada sekiranya tekanan yang kuat terus diberikan kepada pemerintah.

Selain itu beliau turut menyatakan menukar kerajaan melalui pilihan raya merupakan satu-satunya pilihan terbaik yang ada.

“Jadi saya rasa dengan sistem pilihan raya yang lebih bersih, telus, media yang adil untuk semua pihak, sikap bertanggungjawab pihak pemerintah sendiri, tidak mustahil perubahan boleh dilakukan melalui demokrasi dan saya di antara orang yang begitu yakin dengan sistem demokrasi dan kurang bersetuju dengan cara keganasan atau revolosi di Malaysia.

“Kita perlu meletakkan kepercayaan kepada SPR kerana kita tidak ada pilihan, cuma penambahbaikan dan pembaikpulihan seperti mana yang dicadangkan oleh BERSIH, sepertimana yang dicadangkan oleh PSC di parlimen itu yang tak semua diterima.

“Jikalau diambil kira semua yang dituntut itu saya rasa kita boleh berikan kepercayaan yang lebih kepada SPR,” katanya lagi.

Katanya, SPR perlu berusaha memulihkan imej mereka sebagai syarat utama untuk memulihkan kepercayaan masyarakat kepada badan suruhanjaya itu dan menerima cadangan Jawatankuasa Pemulihan Pilihan Raya merupakan salah satu cara.

“Sekarang ini mungkin kita katakan persepsi masyarakat secara umum terutama kepada aktor politik dan aktor masyarakat sivil yang majoriti bukan tidak percaya tetapi terdapat prejudis, terdapat persepsi dan juga mereka skeptik terhadap apa yang dilakukan oleh SPR berdasarkman track rekod mereka sebelum-sebelum ini.

“Jadi untuk baik pulih SPR, perlu ikut tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH, perlu ikut seperti mana yang disuarakan oleh Jawatan Kuasa Pemulihan Pilihan Raya itu,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.