Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh unit integriti pantau salah laku penjawat awam

MB PC DUNSHAH ALAM, 27 OGOS : Dalam usaha menerapkan budaya kerja yang unggul dan etika yang mantap dalan urus tadbir, Kerajaan Negeri menubuhkan Unit Integriti (IU) bagi mencegah salah laku jenayah dan pelanggaran tata kelakuan dikalangan penjawat awam.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata unit khas ini diletakkan di bawah bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri, yang kini digalas Datuk Mohammed Khusrin Munawi, dan menempatkan sekurang-kurangnya dua pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hubungan kita dengan SPRM adalah berterusan dan membantu kita membuat pemantauan untuk menghindar gejala rasuah dan salahguna kuasa,” tegas Khalid.

Beliau berkata demikian di satu sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Langkah ini merupakan komitmen pentadbiran Khalid Ibrahim bagi melahirkan warga kerja profesional dan pada masa yang sama meningkatkan keyakinan rakyat pada perkhidmatan Kerajaan Negeri.

Menurutnnya penubuhan unit ini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang September atau Oktober depan.

“Saya difahamkan SPRM bersetuju untuk menempatkan pegawai mereka sebagai ahli dalam unit tersebut,” kata Khalid.

Katanya konsep integriti ini meneladani mantan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berusaha menerapkan pentadbiran bersih dalam 23 tahun pentadbiran negeri Kelantan.