Categories
SELANGOR

397 pemilik kilang USJ 1 dapat hak milik tetap

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 12 JUN: Selepas 18 tahun menanti, 397 pemilik kilang di kawasan Taman Industri Subang USJ 1, di sini, akhirnya berpeluang memiliki secara sah hak milik tanah mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, itu adalah kali pertama Kerajaan Negeri bertindak di bawah Seksyen 97 Kanun Tanah Negara untuk memberi peluang kepada pemilik dan bukan kepada pihak pemaju.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mengecualikan pembayaran kos guaman, kos pentadbiran serta tiada memorandum kos pindahan dikenakan.

_MG_2085“Kebiasaannya, urusan perlu dibuat melalui pihak pemaju yang kemudian akan memindahkan kepada pemilik, jadi segala jenis bayaran akan dikenakan.

“Tetapi untuk kali ini, Kerajaan Negeri mengambil kira semua perkara dan membenarkan pemilik membuat permohonan secara terus dengan pejabat tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya yang turut disertai pihak pemaju, Ultramine Sdn Bhd yang diwakili engarahnya, Ariffin Osman serta Penolong Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Nazrul Shukri, di sini, hari ini.

Hannah berkata, 127 daripada 397 pemilik di kawasan pemaju Ultramine di Lot PT 19639 dan PT 27731 sudah mula memulakan proses pertukaran hak milik, sementara bakinya masih gagal dihubungi.

“Jadi, kita harap mereka dapat menghubungi pemaju, selesaikan dahulu segala tunggakan dan mendapatkan pengesahan sebelum berurusan dengan pejabat tanah daerah Petaling.

“Pejabat tanah akan memberi hak milik, tetapi mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada pemaju terlebih dahulu bahawa ini adalah pemilik sebenar kerana tidak mahu sebarang penipuan.

_MG_2155“Harap semua pemilik tanah dapat memberikan kerjasama, Kerajaan Negeri hanya berhasrat semua dapat memperoleh hak milik mereka, bahkan lagi cepat lagi baik,” katanya.

Pemilik kilang terbabit terlebih dahulu perlu mendapatkan Jadual 1 daripada pejabat tanah dan mendapatkan pengesahan daripada pemaju sebelum diberikan Notis 5A.

Mereka kemudiannya mempunyai masa enam bulan daripada tarikh Notis 5 A dikeluarkan untuk menjelaskan yuran premium RM 1,000.

-NFN-