Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Laluan lengkap vaksin Malaysia-Singapura dibuka mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura yang digantung sementara sejak 23 Dis lepas, dibuka semula berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kuota tiket bas dan penerbangan yang dijual dikurangkan 50 peratus daripada kapasiti sedia ada.

“Bagaimanapun, penumpang yang telah membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Jan 2022 (iaitu) sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif VTL mengikut kuota ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Khairy, keputusan untuk membuka semula penjualan tiket bagi inisiatif VTL darat dan udara itu dibuat hasil penilaian risiko yang dilaksanakan berdasarkan situasi semasa COVID-19 di kedua-dua negara.

Pada 23 Dis lepas, Malaysia dan Singapura menggantung sementara penjualan tiket VTL udara dan darat hingga 20 Jan susulan ancaman varian Omicron COVID-19.

Khairy berkata garis masa mengenai peningkatan kuota jualan tiket VTL laluan darat dan udara bergantung kepada penilaian risiko dari semasa ke semasa secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan situasi COVID-19 di kedua-dua negara.

Selain itu, beliau mengingatkan pengembara yang menggunakan platform VTL Malaysia-Singapura supaya melaksanakan ujian pantas antigen (RTK-Ag) (kendiri) pada hari kedua, keempat, dan keenam selepas ketibaan atau RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.

Katanya, langkah tersebut selaras pengumuman KKM sebelum ini berhubung tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan COVID-19 dan kawalan sedia ada bagi pengembara dari luar negara termasuk yang tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia melalui inisiatif VTL.

“KKM menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Lakukan ujian pengesanan COVID-19 mengikut ketetapan yang digariskan bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain,” katanya.

Khairy berkata saranan itu bagi memastikan perjalanan rentas sempadan melibatkan VTL Malaysia-Singapura dapat terus dilaksanakan dengan selamat.

— BERNAMA