Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Laluan lengkap vaksin Malaysia-Singapura dibuka mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura yang digantung sementara sejak 23 Dis lepas, dibuka semula berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kuota tiket bas dan penerbangan yang dijual dikurangkan 50 peratus daripada kapasiti sedia ada.

“Bagaimanapun, penumpang yang telah membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Jan 2022 (iaitu) sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif VTL mengikut kuota ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Khairy, keputusan untuk membuka semula penjualan tiket bagi inisiatif VTL darat dan udara itu dibuat hasil penilaian risiko yang dilaksanakan berdasarkan situasi semasa COVID-19 di kedua-dua negara.

Pada 23 Dis lepas, Malaysia dan Singapura menggantung sementara penjualan tiket VTL udara dan darat hingga 20 Jan susulan ancaman varian Omicron COVID-19.

Khairy berkata garis masa mengenai peningkatan kuota jualan tiket VTL laluan darat dan udara bergantung kepada penilaian risiko dari semasa ke semasa secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan situasi COVID-19 di kedua-dua negara.

Selain itu, beliau mengingatkan pengembara yang menggunakan platform VTL Malaysia-Singapura supaya melaksanakan ujian pantas antigen (RTK-Ag) (kendiri) pada hari kedua, keempat, dan keenam selepas ketibaan atau RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.

Katanya, langkah tersebut selaras pengumuman KKM sebelum ini berhubung tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan COVID-19 dan kawalan sedia ada bagi pengembara dari luar negara termasuk yang tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia melalui inisiatif VTL.

“KKM menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Lakukan ujian pengesanan COVID-19 mengikut ketetapan yang digariskan bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain,” katanya.

Khairy berkata saranan itu bagi memastikan perjalanan rentas sempadan melibatkan VTL Malaysia-Singapura dapat terus dilaksanakan dengan selamat.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura sedia kerjasama penuhi keperluan pelawat rentas sempadan

SINGAPURA, 9 JUN: Singapura sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk memenuhi keperluan pelawat merentas sempadan, termasuk pelawat untuk urusan jangka pendek dan rasmi serta pekerja Malaysia yang sebelum ini berulang alik antara Malaysia dan Singapura.

Kementerian Luar republik itu berkata dalam satu kenyataan malam tadi bahawa cadangan aturan perjalanan perlu mengandungi protokol kesihatan awam yang dipersetujui bersama bagi membenarkan semula pergerakan rentas sempadan yang selamat.

Kedua-dua negara memerlukan masa untuk memperhalusi isu ini dan bergantung kepada keadaan Covid-19 di Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, kementerian itu berkata Singapura akan meneruskan langkah praktikal bagi membolehkan rakyat Malaysia terus bekerja di Singapura, kata kenyataan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada petang semalam berkata kerajaan mengambil maklum bahawa sektor industri di Singapura telah mula beroperasi dan meminta kebenaran supaya pekerja mereka dari Malaysia untuk berulang alik ke Singapura.

Mesyuarat khas telah bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia untuk berulang alik atas urusan kerja dan bersedia untuk menjalankan ujian Covid-19 jika diperlukan Kerajaan Singapura.

Ismail Sabri berkata kerajaan telah menerima tawaran daripada Yayasan Sultan Ibrahim serta dua syarikat swasta Singapura iaitu Kumpulan Temasek dan Thompson Medical Group untuk menyumbang dua makmal ujian saringan Covid-19 bergerak dan kit ujian Covid-19.

Bagaimanapun, pelaksanaan kebenaran ini masih dalam perbincangan antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar (Wisma Putra) bersama rakan sejawatnya di Singapura, kata menteri itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia-Singapura terus kerjasama tangani Covid-19

SINGAPURA, 25 MEI: Sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia akan terus bekerjasama mengatasi tempoh sukar semasa pandemik Covid-19, kata menteri kanan republik itu, Teo Chee Hean.

“Situasi unik ini yang kita alami tahun ini mengingatkan kita tentang keakraban hubungan dengan Malaysia dan bagaimana terjalinnya takdir ini,” kata Chee Hean yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara di Facebook beliau semalam.

“Datuk Seri Ismail Sabri dan saya mengkoordinasi dengan rapat sejak dua bulan lepas mengenai respon Singapura dan Malaysia terhadap wabak Covid-19,” katanya merujuk kepada Menteri Kanan Malaysia (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi hantaran sama, Chee Hean turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Ismail Sabri.

“Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri adalah masa kebersamaan,” katanya yang turut melampirkan sekeping gambar beliau ketika melawat pejabat Ismail Sabri di Putrajaya pada 2016.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia, Singapura komited kongsi pengetahuan harungi Covid-19

SINGAPURA, 20 MEI:  Malaysia dan Singapura akan terus berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam mengharungi pandemik Covid-19 selain kekal komited terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

“Masa sukar itu akan diharungi secara bersama dan lebih teguh,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam catatan di akaun Facebook pada malam Selasa selepas menghubungi rakan sejawatannya, Heng Swee Keat, menerusi sidang video.

“Ia merupakan sesi berkongsi pandangan yang amat bermakna membabitkan cabaran kesihatan dan ekonomi yang dihadapi ketika Covid-19 serta bagaimana kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk mengatasinya.

“Doa saya sentiasa mengiringi anda dan semua rakyat Singapura ketika tempoh sukar ini. Terus tabah dan sentiasa selamat,” katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian Heng menerima panggilan itu.

Sementara itu, Heng yang juga Timbalan Perdana Menteri Singapura dalam catatan beliau di Facebook hari ini turut berkongsi perbincangan itu yang menumpukan penularan Covid-19 di kedua-dua negara serta di serata dunia.

“Kami berkongsi banyak perkara penting – daripada langkah untuk membendung penyebaran virus itu sehinggalah sokongan untuk syarikat serta isi rumah masing-masing.

“Selain itu, kami turut membincangkan bagaimana dapat memacu ekonomi ke arah pemulihan apabila ekonomi ini dapat dibuka semula secara beransur-ansur serta meninjau bidang yang dapat memperkukuh kerjasama dua hala,” katanya.

Heng berkata beliau dan Tengku Zafrul juga mengulangi kepentingan hubungan dua hala yang lama terjalin serta keperluan bagi kedua-dua negara meneruskan kerjasama terbabit.

Malah, Heng turut mendedahkan bahawa ini merupakan kali kedua mereka berkomunikasi sejak Tengku Zafrul menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan selain turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

“Saya berharap untuk menemui beliau apabila pandemik ini berakhir,” katanya.

Heng dijadual membentangkan Belanjawaan Keempat republik itu pada 26 Mei ini yang bertujuan membantu kalangan perniagaan dan rakyat negara itu berikutan penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Perbatasan Sempadan Maritim: Mesyuarat pertama Malaysia-Singapura berjaya

SINGAPURA, 14 Mei (Bernama) — Mesyuarat pertama Jawatankuasa Malaysia-Singapura mengenai Perbatasan Sempadan Maritim yang diadakan di sini pada Isnin mencapai kejayaan, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Malaysia (MOFA), Datuk Seri M Shahrul Ikram Yaakob, dan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura, Chee Wee Keong, menurut kementerian dalam laman Facebooknya hari ini.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 14 Mac, Malaysia dan Singapura akan melaksanakan lima cadangan untuk menyelesaikan isu-isu maritim melibatkan had pelabuhan kedua-dua negara.

Kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa untuk memastikan pelaksanaan empat cadangan pertama dalam tempoh satu bulan, dan bahawa rundingan untuk perbatasan sempadan maritim di kawasan itu akan bermula dalam tempoh satu bulan selepas pelaksanaan sedemikian.

Sekiranya jawatankuasa itu tidak dapat mencapai penyelesaian secara aman mengenai perbatasan, Malaysia dan Singapura mungkin bersetuju secara bersama untuk menggunakan prosedur melalui pihak ketiga antarabangsa bagi penyelesaian mengikut terma-terma yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.

Bermula 8 April, Malaysia dan Singapura masing-masing menggantung pelaksanaan had pelabuhan yang bertindih dan menggunakan had pelabuhan yang berkuatkuasa, masing-masing sebelum 25 Oktober 2018 dan 6 Disember 2018.

Tutut menghadiri mesyuarat itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Malaysia, Dr Adina Kamarudin; dan wakil dari pelbagai agensi di Malaysia dan Singapura.

-BERNAMA