Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

FAM, Wan Kuzain berdepan kekangan masa

PETALING JAYA, 23 NOV: Kekangan masa antara faktor utama mengakibatkan bintang muda bola sepak yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal gagal ke Sukan SEA 2019 di Filipina.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan FAM dan Wan Kuzain hanya mempunyai tempoh masa yang singkat untuk menyelesaikan masalah dokumentasi pemain berusia 21 tahun itu.

Berikutan itu, pemain tengah Sporting Kansas City itu tidak dinamakan pada saat akhir dalam senarai akhir 20 pemain skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kendalian Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee, selepas lima hari menyertai kem latihan pusat pada Isnin lepas.

“Mungkin jika mempunyai masa yang lebih kita boleh selesaikan isu ini, tetapi semalam adalah tarikh akhir dan keputusan perlu dibuat sama ada beliau bersama pasukan atau pun tidak.

Maklumat mendalam saya tidak boleh kongsikan bersama tetapi keputusan perlu dibuat semalam kerana pasukan berlepas hari ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Kesembilan Bagi Penggal 2017-2021 di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

Stuart pada hujung Oktober lepas dilaporkan berkata proses memastikan pemain tersebut dapat beraksi bersama skuad B-22 negara memakan masa sekurang-kurangnya dua minggu dan FAM hanya menunggu kepulangan Wan Kuzain ke Malaysia ketika itu.

Dalam pada itu, mengenai spekulasi bahawa keengganan Wan Kuzain melepaskan pasport Amerika Syarikat menjadikan proses dokumentasinya bertambah rumit, Stuart berkata: “Semua sedia maklum di negara kita, hanya boleh memegang satu pasport sahaja. Dalam situasi ini pemain bola itu kena memilih dan beliau bukannya tidak bermain di sana (Amerika Syarikat).”

Stuart menegaskan Wan Kuzain menyimpan hasrat menabur bakti bersama skuad negara dan FAM tidak akan berputus asa dalam merealisasikan impian pemain itu.

Beliau percaya di sebalik apa yang berlaku ini akan memberi lebih manfaat terhadap perkembangan prestasi Wan Kuzain dalam saingan Major League Soccer (MLS) yang merupakan liga bola sepak utama di Amerika Syarikat.

“Kita nak yang terbaik buat beliau. Kita tidak mahu sesuatu keputusan yang dibuat dalam masa yang singkat akan memberi kesan buruk kepada karier di kelabnya.

Biar beliau kekal bermain di sana dan raih seberapa banyak pengalaman berharga,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Masalah dokumentasi halang Wan Kuzain ke Sukan Sea

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Bintang muda negara yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal terpaksa digugurkan daripada senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA Filipina, yang bermula 24 November ini, susulan masalah dokumentasi yang dihadapi pemain berusia 21 tahun itu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan masalah dokumentasi pemain kelahiran Carbondale, Illinios, Amerika Syarikat itu tidak dapat diselesaikan, sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain yang tamat pada hari ini.

Wan Kuzain yang mewakili kelab Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer) Amerika Syarikat, Sporting Kansas City, dilaporkan tiba di tanah air pada 17 November lalu, sebelum melaporkan diri kepada Kim Swee untuk sesi latihan bersama skuad B-22 negara, di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya, sehari kemudian.

Bernama difahamkan urusan dokumentasi Wan Kuzain dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk diselesaikan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengekalkan tujuh pemain yang membantu Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, termasuk pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam Nor Azlin, 23, dan pemain pertahanan Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Zakaria, 24, yang mengisi dua kuota pemain lebih umur 22 tahun.

Lima pemain lain adalah penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Danial Amier Norhisham dan Muhammad Syahmi Safari.

Kim Swee yang bakal membuat penampilan kali kelima selaku jurulatih skuad B-22 negara pada Sukan SEA kali ini, turut menyenaraikan tiga pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD), termasuk penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin.

Untuk rekod, Kim Swee, 49, mula mengendalikan skuad B-22 negara sejak edisi 2011 di Indonesia, 2013 (Myanmar), 2015 (Singapura), serta pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan membuka saingan berdepan Myanmar pada 25 November, Filipina (29 November), Timor Leste (2 Disember), sebelum melengkapkan aksi pusingan awal menentang Kemboja pada 4 Disember.

Juara bertahan, Thailand pula mengetuai saingan Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu, Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.

Tiga stadium menjadi venue perlawanan bola sepak Sukan SEA 2019 iaitu Stadium Memorial Rizal di Manila, Stadium Binan di Laguna, dan Imus Grandstand and Track Oval di Cavite.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang dijadual pada 7 Disember, manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan aksi final dijadual berlangsung pada 10 Disember, iaitu sehari sebelum upacara penutup Sukan SEA 2019.

Senarai akhir 20 pemain:

Penjaga gol: Muhammad Haziq Nadzli (JDT), Damien Lim Chien Khai (PKNS FC)

Pemain Pertahanan: Adam Nor Azlin (JDT), Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), Harith Haiqal Adam Afkar (AMD), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Dominic Tan Jun Jin (Police Tero FC)

Pemain Sayap: R Dinesh (Pahang), Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan (AMD), Quentin Cheng (Central Coast Mariners B-21), Muhammad Syahmi Safari (Selangor)

Pemain Tengah: Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT), Muhammad Danial Hakim Draman dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Muhammad Danial Amier Norhisham (Felda United)

Penyerang: Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT), Mohamad Faisal Abdul Halim dan M Kogileswaran Raj (Pahang), Luqman Hakim Shamsudin (AMD), Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama).

– BERNAMA

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Wan Kuzain catat sejarah beraksi dl MLS

 

OLEH HAFIZAN TAIB

GLOBAL, 29 MEI: Pemain berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal, mencatat sejarah apabila diturunkan buat kali pertama dalam perlawanan antara Sporting Kansas City dan Columbia Crew SC di Children’s Mercy Park, Kansas, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Detik bersejarah buat Wan Kuzain, 19, dalam Major League Soccer (MLS) itu dicatat, pada minit ke-87 apabila pengurus pasukan, Peter Vermes membuat keputusan memasukkannya menggantikan Roger Espinoza.

Beliau yang memegang kerakyatan AS dan Malaysia, melahirkan keterujaan apabila diberi peluang oleh pengurusan kelab untuk tampil dalam pelawanan pertama itu.

“Sukar dipercayai apabila dapat membuat penampilan debut bersama @SportingKC malam tadi (semalam). Diharap banyak lagi akan menyusul selepas ini,” katanya merujuk perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0.

Dengan penampilan itu, Wan Kuzain adalah produk Akademik Sporting Kansas City yang menjadi pemain tempatan kedua termuda untuk pasukan berkenaan.

Pemain tengah yang lahir dari pasangan ibu bapa Malaysia di Carbondale, Illinois, menandatangani kontrak dengan Sporting KC sebagai pemain tempatan kesembilan kelab, pada 13 April lalu dengan bakat digilap dari Swope Park Rangers ke skuad remaja Sporting KC seterusnya skuad senior.

Perkembangan dalam tempoh dua tahun terakhir itu membuka laluannya sebagai pemain profesional dirintis Vermes dan kakitangan teknikal termasuk jurulatih, Paulo Nagamura dan Pengarah Akademi, Jon Parry.