Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Bunga api memukau akhiri Sukan SEA ke-30

NEW CLARK CITY, 11 DIS: Pertunjukan bunga api yang memukau, mewarnai keseluruhan Stadium Olahraga New Clark City yang berkapasiti 20,000, sewaktu Sukan SEA ke-30 di Filipina ditutup secara rasminya malam ini.

Majlis penutupan itu bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina ‘Lupang Hinirang’, yang diketuai Arnel Pineda, penyanyi utama kumpulan rock Amerika, Journey dan diikuti persembahan mengunakan dron yang menarik selama 45 minit.

Penonton mula bersorak apabila perarakan kontinjen negara-negara perserta berarak masuk mengikuti abjad bermula dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam, sebelum pasukan tuan rumah memasuki sebagai pasukan terakhir.

Kontinjen Malaysia didahului dengan pembawa Jalur Gemilang, bekas atlet wushu kebangsaan Loh Jack Chang disertai 24 atlet termasuk timbalan chef de mission Nurul Huda Abdullah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sebuah konsert mini oleh Pineda bersama KO Jones Band sebagai menghargai petugas-petugas dan sukarelawan yang telah bertugas tanpa mengenal lelah sejak 1 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Alan Peter Cayetano dan Presiden Majlis Olimpik Abraham Tolentino kemudiannya menyampaikan empat anugerah khas, iaitu Atlet Lelaki Terbaik, Atlet Wanita Terbaik, Pasukan Terbaik dan Pemenang Pingat Emas Fair Play.

Salvador C. Medialdea, Setiausaha Eksekutif Pejabat Presiden Filipina, kemudiannya mengistiharkan Sukan SEA ke-30 secara rasminya ditutup sebelum, bendera Sukan SEA diturunkan dan obor kejohanan dipadamkan, menandakan berakhirnya Sukan itu.

Cayetano yang juga Speaker Dewan Perwakilan Filipina dan Tolentino, Presiden Persekutuan Sukan SEA Filipina kemudiannya menyerahkan bendera Sukan SEA kepada Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam, Nguyen Ngoc Tien, Presiden Jawatankuasa Olimpik Vietnam Prof Nguyen Danh Thai dan Timbalan Datuk Bandar Hanoi Nguyen Van Suu, sebelum bendera Vietnam dinaikkan.

Ia diikuti dengan persembahan kebudayaan Vietnam.

Acara kemuncak majlis penutup diserikan dengan persembahan penuh bertenaga band terkenal Amerika Syarikat Black Eyed Peas, menjadikan penonton kegembiraan sebelum diakhiri dengan persembahan bunga api.

Kontinjen negara berarak pada upacara penutupan rasmi Sukan SEA Ke-30 di Stadium Olahraga New Clark City pada 11 Oktober 2019. – Foto BERNAMA

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 773 atlet dan 339 pegawai, mengakhiri kempen dengan 56 pingat emas, 58 perak dan 72 gangsa, jauh daripada sasaran asal 70-51-105.

Pasukan tuan rumah, Filipna menjuarai Sukan SEA kali ini, yang kedua selepas menjuarainya pada 2005, dengan 149 emas, 117 perak dan 121 gangsa, diikuti Vietnam (98-85-105) dan Thailand (92-103-123).

Lebih 8,000 atlet daripada 10 negara ASEAN dan Timor Leste mengambil bahagian dalam 530 acara dari 56 jenis sukan yang berlangsung di tiga cluster iaitu Manila, Clark dan Subic.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Malaysia berjaya kekalkan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara di Sukan SEA Filipina

MANILA, 9 DIS: Kejayaan pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi mepertahankan emas negara dalam acara 100 meter lelaki berjaya mengubat prestasi hambar kontinjen Malaysia pada hari kelapan Sukan SEA ke-30 di Filipina, semalam.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu yang dipanggil pada saat-saat akhir ke Sukan SEA, mempamerkan larian cemerlang untuk menyambar pingat emas dengan catatan 10.35 saat, sekali gus mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara yang dimenangi Khairul Hafiz Jantan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kontinjen Malaysia semalam sekadar menambah empat pingat emas, masing-masing menerusi Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi lelaki, Mohammad Rifdean Masdor (Muay Thai 45 kg lelaki), P. Madhuri (karate-kumite wanita 55kg), Grace Wong dalam acara papan selaju ‘downhill’ wanita, dan Muhammad Haiqal.

Kontinjen Malaysia turut menambah 12 perak dan 10 gangsa semalam, namun kekal berada di tangga keenam menerusi kutipan 41 emas, 42 perak dan 62 gangsa dan ia dijangka sukar untuk mencapai sasaran 70 emas dengan berbaki dua hari pertandingan sebelum tirai Sukan SEA 2019 melabuhkan tirainya pada 11 Disember ini.

Tuan rumah, Filipina sah dinobatkan juara keseluruhan buat kali kedua selepas edisi 2005 dengan kutipan 112 emas, 86 perak dan 87 gangsa, disusuli Indonesia (65-62-79), manakala Vietnam kekal di tangga ketiga keseluruhan dengan pungutan 65 emas, 59 perak dan 78 gangsa.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari kesembilan, hari ini dalam beberapa acara, antaranya renang, memanah, olahraga dan polo campuran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kilauan lapan emas warnai hari gemilang kontinjen Malaysia

MANILA, 8 DIS: Malaysia sukar mencapai sasaran 70 pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina selepas merekodkan catatan terbaik pungutan pingat iaiu lapan emas, lapan perak dan 13 gangsa pada saingan hari ketujuh temasya dwitahunan itu semalam.

Memandangkan saingan berbaki tiga hari sebelum temasya melabuhkan tirainya, 11 Disember ini, kontinjen negara turun satu anak tangga dalam carta pungutan pingat selepas menghuni tempat keenam di belakang Singapura dengan kutipan 36 emas, 28 perak dan 42 gangsa.

Filipina hampir pasti dinobatkan juara keseluruhan buat kali kedua selepas edisi 2005 dengan masih mendahului carta pungutan pingat dengan 89-67-65, diikuti Indonesia (50-49-58), Vietnam (45-50-64), Thailand (41-55-60) dan Singapura dengan 37-30-41.

Pada hari ketujuh pertandingan, skuad gimrama menjadi penyumbang tertinggi menerusi kutipan empat emas, disusuli terjun dengan dua emas, manakala baki dua emas hadir dalam acara taekwando dan karate.

Skuad gimrama jelas berada dalam kelas tersendiri apabila menyumbang empat emas, masing-masing menerusi Izzah Amzan dalam acara bola, Koi Sie Yan dan Izzah dalam acara riben, serta acara berpasukan All-Around di Rizal Memorial Coliseum, Manila.

Kontroversi turut melanda sukan subjektif itu susulan pengadilan berat sebelah terhadap gimnas negara, terutamanya dalam kategori gelung sehingga Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) , Rachel Lau dilaporkan menfailkan bantahan rasmi kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (MGF).

Pada aksi di Pusat Akuatik New Clark City, skuad terjun negara menambah dua pingat emas, masing-masing menerusi acara 3 meter papan anjal individu lelaki dan 3 meter papan anjal seirama wanita.

Hari gemilang kontinjen Malaysia dimuktamadkan dengan satu kilauan emas, masing-masing dalam acara taekwando (poomsae berpasangan campuran) dan karate (kumite lelaki 55kg).

Dalam pada itu, atlet muda negara, Andrea Anura Anuar mencipta sejarah di Stadium Olahraga New Clark City selepas melakar rekod baharu kebangsaan dalam acara lompat jauh lelaki dengan lompatan sejauh 8.02 meter, sekali gus memadam rekod terdahulu, 7.88 meter yang dilakukan Josbert Tinus pada Kejohanan Terbuka Thailand 2007.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari kelapan, esok dalam beberapa acara, antaranya renang, olahraga dan tenpin boling.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Malaysia tambah lima pingat emas semalam

MANILA, 7 DIS: Sukan SEA ke-30 semalam menyaksikan Malaysia menambah lima lagi pingat emas pada hari keenam Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Skuad terjun negara mendahului senarai dengan kutipan dua emas menerusi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita dan 3m papan anjal seirama wanita, disusuli satu emas masing-masing dalam empat lagi sukan, iaitu tenpin boling (berpasukan lelaki), snuker dan billiards (berpasangan lelaki) dan renang (50 meter kuak dada wanita).

Selain lima emas berkenaan, kontinjen Malaysia turut menambah dua lagi pingat perak dalam acara 3m papan anjal individu wanita dan acara judo lebih 100kg lelaki, selain tiga gangsa dalam acara sukan berhalangan (5km x20 berhalangan individu lelaki), marathon lelaki dan renang menerusi acara 200 meter kuak lentang lelaki.

Tambahan lima emas berkenaan tidak mengubah kedudukan Malaysia yang masih menghuni tangga kelima dengan kutipan pingat keseluruhan 28 emas, 20 perak dan 29 gangsa.

Dengan berbaki lima hari sebelum upacara penutupan, Filipina sah dinobatkan juara keseluruhan buat kali kedua, selepas edisi 2005 dengan kutipan 71 emas, 55 perak dan 50 gangsa, manakala Indonesia naik satu anak tangga ke kedudukan kedua, menerusi kutipan keseluruhan 40 emas, 41 perak dan 47 gangsa.

Pada aksi semalam, skuad terjun negara menghadiahkan kilauan pingat emas pertama menerusi pemenang pingat perak Sukan Asia 2018, Wendy Ng Yan Yee yang mengungguli acara 3m papan anjal individu wanita selepas melakar catatan 298.90 mata selepas lima pusingan terjunan pada aksi di Pusat Akuatik New Clark City.

Pingat emas kedua disumbangkan gandingan Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei yang memenangi acara 3m papan anjal seirama lelaki selepas mencatat 398.16 mata selepas enam pusingan terjunan.

Dalam pada itu, skuad tenpin boling meraih emas sulung menerusi gandingan Muhammad Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan yang melakar 4,980 jatuhan pin di Pusat Beli-Belah Starmall ESA, Manila.

Gandingan mantap Moh Kee Hoo dan Lim Kok Leong pula menyumbang pingat emas pertama dari sukan snuker dan billiards selepas mengenepikan cabaran pasangan tuan rumah, Alvin Barbero dan Jefrey Roda menerusi kemenangan 3-1, pada aksi penuh dramatik di Manila Hotel Tent.

Perenang elit yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Phee Jinq En menutup hari gemilang kontinjen Malaysia selepas mengungguli acara 50 meter kuak dada, dengan catatan rekod baharu kebangsaan iaitu 31.40 saat pada aksi di Pusat Akuatik New Clark City.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari ketujuh, hari ini dalam beberapa acara, antaranya terjun, olahraga, tenpin boling, berbasikal, gimrama, hoki ais, pelayaran dan menembak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sukan SEA: Jinq En hadiah emas pertama renang

NEW CLARK CITY (Filipina), 6 DIS: Selepas gagal menyerlah dalam acara 200 meter (m) kuak dada wanita semalam, perenang kebangsaan, Phee Jinq En meraih emas pertama negara, di kolam renang Sukan SEA ke-30 di Filipina hari ini.

Perenang berusia 21 tahun kelahiran Selangor yang kini melanjutkan pelajarannya dengan dua jurusan iaitu pemasaran dan pengurusan di Universiti Purdue di Indiana Amerika Syarikat itu, menang emas selepas mencatatkan masa 31.40 saat (s) dalam acara 50m kuak dada wanita, di Pusat Akuatik New Clark City, di sini.

Perenang Thailand, Jenjira Srisa dan Christie Chue May Mun Ee dari Singapura, masing-masing memenangi perak (31.41s) dan gangsa (31.43s).

Seorang lagi perenang negara, Alicia Soosai menduduki tempat ketujuh dari lapan perenang, dengan catatan masa 33.24s.

Terdahulu, Jinq En mencatatkan masa yang sama yang memadamkan rekod kebangsaan 31.46s yang dicatatkannya di Sukan Asia Indonesia 2018.

“Saya amat gembira untuk memenangi pingat ini, selepas terlepas dua kali dan menang pada kali ketiga, satu yang amat menarik, dan saya akan cuba sebaik saya untuk mengekalkan pingat emas dalam acara 100m kuak dada pada hari terakhir pertandingan (9 Disember), walaupun pesaing saya juga semakin pantas,” katanya kepada wartawan selepas majlis penyampaian hadiah di sini.

Sementara itu, perenang muda, Khiew Hoe Yean menunjukkan prestasi memberangsangkan selepas memenangi pingat gangsa acara 200m kuak dada lelaki.

Atlet Singapura, Quah Zheng Wen mengekalkan pingat emas yang dimenanginya di Sukan SEA Kuala Lumpur, dengan mencatatkan masa 2 minit 00.06 saat, manakala Farrel Armandio Tangkas dari Indonesia menang perak (2:02.75s).

Dua lagi perenang kebangsaan, Chan Jie dan Bryan Leong Xin Ren gagal memberikan prestasi baik dalam 100m kuak kupu kupu, selepas masing-masing menamatkan renangan di tempat ketujuh dan kelapan.

Singapura mengondol dua tempat teratas melalui juara Olimpik, Joseph Isaac Schooling (51.84s) dan Quah Zheng Wen (51.87s) diikuti Paul Le Nguyen dari Vietnam gangsa (53.89s).

Skuad kuartet kebangsaan yang disertai Welson Sim Wee Sheng, Chan Jie, Keith Lim dan Arvin Chahal Singh juga gagal memenangi pingat selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat daripada tujuh pasukan bagi acara 4X100m gaya bebas berganti-ganti lelaki dengan mencatatkan masa 3:23.87s.

Singapura mengekalkan pingat emas dengan catatan rekod baharu Sukan SEA, 3:16.82s diikuti Filipina (3:22.32s) dan gangsa dimenangi Vietnam (3.22.45s).

Malaysia telah mengutip dua pingat perak melalui Welsom Sim dalam acara 400m gaya bebas dan juga 4X200m gaya bebas berganti-ganti lelaki, pada hari pembukaan acara renang semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sukan SEA: Emas kedua penerjun negara

NEW CLARK CITY (Filipina), 6 DIS: Malaysia menang pingat emas kedua dalam acara terjun di Sukan SEA ke-30, selepas pasangan negara, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang, menang acara 3 meter papan anjal seirama di Pusat Akuatik New Clark City di sini, hari ini.

Pasangan itu yang buat pertama kalinya disatukan itu berjaya mengumpulkan 398.16 mata, selepas menamatkan 5 terjunan untuk menang emas yang memperlihatkan Malaysia terus menguasai acara tersebut dengan memenangi pingat emas sejak 2007 di Korat, Thailand.

Chawanwat Juntaphadawon dan Thitipoom Marksin dari Thailand dan pasangan Timothy Lee Han Kuan dan Mark Lee Han Ming dari Singapura, masing-masing menang perak dan gangsa selepas mengutip 344.76 dan 240.53 mata.

Terdahulu Malaysia menang dua tempat teratas bagi acara 3m papan anjal individu wanita melalui Wendy Ng Yee dan Jasmine Lai Pui Yee yang masing-masing mengumpulkan 298.9 dan 241.95 mata, manakala penerjun Vietnam Ngo Phuong Mai menang gangsa (241.25).

“Saya amat gembira dengan kejayaan ini, kerana kami (skuad terjun) menghadapi beberapa kesukaran seperti penangguhan penerbangan (akibat taufan Kammuri) dan kami hanya dibenarkan berlatih pada tempoh yang pendek semalam, sebelum bermulanya pertandingan,” kata Tze Liang kepada pemberita di sini.

“Dari segi mata, ia sedikit rendah daripada edisi sebelum ini, tetapi saya masih berasa gembira untuk menang acara ini,” kata atlet dari Pulau Pinang yang akan mempertahankan pingat emas acara kegemarannya terjun 3 meter individu lelaki, esok.

Berkongsi perasaan yang sama, Yiwei yang gembira kerana dapat mengekalkan emas bagi acara tersebut untuk kali kedua, selepas melakukannya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bersama Ahmad Amsyar Azman yang bersara, September lepas.

“Saya rasa bangga dengan kejayaan ini, kerana kami hanya dapat berlatih dalam satu sesi dan darjah kesukaran terjunan kami agak tinggi,” katanya.

Untuk rekod, Tze Liang memang pingat emas dalam 3 meter seirama lelaki bersama Ahmad Amsyar untuk dua edisi sebelum ini iaitu pada 2013 dan 2015, manakala Yiwei menang emas bersama Ahmad Amsyar pada 2017.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KBS sedia pelan kecemasan atasi masalah di Sukan SEA Filipina

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) sudah bersedia dengan pelan kecemasan bagi mengatasi sebarang kemungkinan melibatkan kontinjen negara pada Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di Filipina.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementerian sentiasa mengutamakan kebajikan atlet berikutan beberapa masalah yang timbul di temasya berkenaan termasuk dari segi makanan halal, pengangkutan dan lokasi temasya.

“Sebagai contoh mengenai pemakanan khususnya masalah makanan halal yang kurang di sana (Filipina) kontinjen kita ‘diselamatkan’ dengan bantuan pek makanan Brahim’s. Kita sudah bawa 500 ke 100,000 bungkusan makanan Brahim khususnya jika masalah makanan halal ini berterusan.

“Pagi ini saya dapat maklum balas dari pihak kontinjen bahawa masalah makanan halal ini sedang diselesaikan dan keadaan dilaporkan jauh lebih baik berbanding tiga hari lepas.

“Masalah berkaitan pengangkutan juga sedang diselesaikan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah dihadapi kontinjen negara termasuk soal kekurangan makanan halal.

Syed Saddiq berkata, wakil pasukan Malaysia juga telah menyalurkan pandangan berkenaan masalah yang dihadapi atlet negara kepada pihak penganjur temasya sukan tersebut menerusi saluran rasmi.

“Di sini juga saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak Majlis Sukan Negara kerana tindakan pantas menukar Jalur Gemilang sebelum bermula majlis penyampaian pingat emas melibatkan atlet wushu negara, Loh Choon How. Ini membuktikan pemimpin negara kita sangat proaktif dan segera menyelesaikan isu sebelum ia menjadi masalah besar,” katanya.

Dilaporkan, majlis penyampaian pingat sebelum itu tertangguh hampir 20 minit, selepas kontinjen negara bersama Chef-de-mission (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyedari bendera yang dibawa keluar penganjur tersalah cetak dan mengarahkan penukaran dibuat.

Syed Saddiq turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kontinjen negara setakat ini berjaya meraih 11 pingat emas.

Sukan SEA ke-30 di Filipina menyaksikan penyertaan lebih 8,000 atlet dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste dalam 56 jenis sukan pada temasya itu yang akan berakhir pada 11 Disember ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sukan SEA: Pingat emas pertama Malaysia menerusi wushu

MANILA, 1 DIS: Atlet wushu negara, Loh Choon How memperoleh pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA ke-30.

Choon How menyumbang pingat emas itu dalam acara taijiquan lelaki yang berlangsung di World Trade Center di sini, hari ini,

Atlet berusia 26 tahun itu mengutip mata keseluruhan 9.68 untuk mengesah penerimaan pingat itu.

Pingat perak dimenangi atlet Brunei, Heng Yu Hosea Wong yang mengumpul 9.59 mata manakala gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Parantac Daniel yang mengutip 9.56 mata.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Semua pasukan punyai peluang sama – Kim Swee

MANILA, 24 NOV: Datuk Ong Kim Swee mungkin merupakan seorang jurulatih veteran untuk skuad bola sepak Sukan SEA negara tetapi Sukan SEA Filipina ke-30 kali ini nampaknya adalah berbeza sama sekali.

Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Bawah 22 tahun (B-22) itu berkata Malaysia selaku pemenang pingat perak dalam edisi Sukan SEA lepas, berhadapan dengan cabaran yang sengit.

Kim Swee berkata, penyertaan dua pemain lebih umur akan menghangatkan lagi perlumbaan untuk skuad negara mengejar “ibu segala pingat emas” dalam acara yang akan berlangsung di tiga venue – Stadium Memorial Rizal, Stadium Binan dan Imus Grandstand and Track Oval.

Jurulatih berusia 49 tahun itu memilih pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim, Adam Nor Azlin, 23 dan Muhammad Irfan Zakaria, 24, pemain pertahanan Kuala Lumpur mengisi slot dua pemain lebih umur untuk mewakili negara.

“Setiap pasukan mahu menang (pingat emas) dan saya percaya Sukan SEA kali ini akan berbeza sekali dari Sukan SEA lepas kerana ini kali pertama dua pemain lebih umur dibenarkan bermain, dan ini menjadikan semua pasukan dalam Kumpulan A dan B, seimbang,” katanya pada sidang media pra perlawanan di sini hari ini.

Pada masa sama beliau melahirkan keyakinan tuan rumah, Filipina mampu menguruskan temasya sukan itu dengan baik biarpun berhadapan beberapa masalah, terutamanya untuk menghantar atlet ke tempat penginapan masing-masing dalam masa ditetapkan, di dalam kesesakan teruk lalu lintas di sini.

Berkongsi pandangan yang sama ialah Ketua Jurulatih B-22 Myanmar, Velizar Popov yang melihat kesemua pasukan dalam Kumpulan A dan B mempunyai peluang yang sama untuk mara dalam pertandingan kalah mati itu.

“Kami berharap dapat beraksi dalam pertandingan yang berkualiti di Sukan SEA dan kesemua pasukan sudah tentu berada dalam keadaan terbaik mereka berdasarkan persiapan menyeluruh dilakukan sebelum tiba di Manila,” menurut warganegara Bulgaria berusia 43 tahun yang pernah menjadi ketua jurulatih Kelantan pada 2016.

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan memulakan kempen Sukan SEA bertemu Myanmar esok, diikuti Filipina (29 Nov) , Timor Leste (2 Dis) dan Kemboja (4 Dis). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, di sini.

Juara bertahan Thailand di dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Masalah dokumentasi halang Wan Kuzain ke Sukan Sea

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Bintang muda negara yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal terpaksa digugurkan daripada senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA Filipina, yang bermula 24 November ini, susulan masalah dokumentasi yang dihadapi pemain berusia 21 tahun itu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan masalah dokumentasi pemain kelahiran Carbondale, Illinios, Amerika Syarikat itu tidak dapat diselesaikan, sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain yang tamat pada hari ini.

Wan Kuzain yang mewakili kelab Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer) Amerika Syarikat, Sporting Kansas City, dilaporkan tiba di tanah air pada 17 November lalu, sebelum melaporkan diri kepada Kim Swee untuk sesi latihan bersama skuad B-22 negara, di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya, sehari kemudian.

Bernama difahamkan urusan dokumentasi Wan Kuzain dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk diselesaikan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengekalkan tujuh pemain yang membantu Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, termasuk pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam Nor Azlin, 23, dan pemain pertahanan Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Zakaria, 24, yang mengisi dua kuota pemain lebih umur 22 tahun.

Lima pemain lain adalah penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Danial Amier Norhisham dan Muhammad Syahmi Safari.

Kim Swee yang bakal membuat penampilan kali kelima selaku jurulatih skuad B-22 negara pada Sukan SEA kali ini, turut menyenaraikan tiga pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD), termasuk penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin.

Untuk rekod, Kim Swee, 49, mula mengendalikan skuad B-22 negara sejak edisi 2011 di Indonesia, 2013 (Myanmar), 2015 (Singapura), serta pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan membuka saingan berdepan Myanmar pada 25 November, Filipina (29 November), Timor Leste (2 Disember), sebelum melengkapkan aksi pusingan awal menentang Kemboja pada 4 Disember.

Juara bertahan, Thailand pula mengetuai saingan Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu, Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.

Tiga stadium menjadi venue perlawanan bola sepak Sukan SEA 2019 iaitu Stadium Memorial Rizal di Manila, Stadium Binan di Laguna, dan Imus Grandstand and Track Oval di Cavite.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang dijadual pada 7 Disember, manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan aksi final dijadual berlangsung pada 10 Disember, iaitu sehari sebelum upacara penutup Sukan SEA 2019.

Senarai akhir 20 pemain:

Penjaga gol: Muhammad Haziq Nadzli (JDT), Damien Lim Chien Khai (PKNS FC)

Pemain Pertahanan: Adam Nor Azlin (JDT), Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), Harith Haiqal Adam Afkar (AMD), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Dominic Tan Jun Jin (Police Tero FC)

Pemain Sayap: R Dinesh (Pahang), Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan (AMD), Quentin Cheng (Central Coast Mariners B-21), Muhammad Syahmi Safari (Selangor)

Pemain Tengah: Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT), Muhammad Danial Hakim Draman dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Muhammad Danial Amier Norhisham (Felda United)

Penyerang: Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT), Mohamad Faisal Abdul Halim dan M Kogileswaran Raj (Pahang), Luqman Hakim Shamsudin (AMD), Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama).

– BERNAMA