Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh di Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Runtuhan tanah yang menjejaskan bahagian belakang 19 rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights di sini semalam, dipercayai akibat pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada 9.30 malam tadi (Jumaat), yang turut menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.

“Ketika ini, pihak saya bersama polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya giat memindahkan mangsa untuk ditempatkan di dewan orang ramai.

“Malah, kerja-kerja pencerunan akan dilaksanakan pagi ini bersama pihak-pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian awal pagi tadi.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati polis mengawal ketat lokasi kejadian sebagai langkah keselamatan.

Semalam, sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

KPKT disaran kaji sumbangan bomba sukarela – EXCO

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) diminta menilai kebajikan ahli Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang berkhidmat kepada masyarakat tanpa bayaran.

EXCO modal insan berkata anggota pasukan itu tetap bergerak aktif membantu orang awam walaupun tidak menerima gaji tetap.

“Mereka gunakan wang sendiri dalam menyumbang tenaga kepada masyarakat. Jadi kita minta KPKT bantu PBS menggunakan skim kerajaan,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis serahan jentera bomba (FRT) bernilai RM160,000 dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd kepada PBS Saujana Utama malam tadi.

Mohd Khairuddin meminta agensi atau anak syarikat lain membantu mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti kebajikan kepada masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata sumbangan berkenaan memudahkan urusan anggota PBS Saujana Utama.

“Sekarang bomba bukan hanya padam kebakaran tetapi terbabit dalam operasi kecemasan lain seperti tanah runtuh, banjir kilat.

“Jadi sumbangan ini sangat membantu anggota dan memudahkan operasi selain menaikkan semangat mereka ketika bertugas,” katanya.