Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Biasiswa bantu wanita lanjut pelajaran boleh dimohon hingga 15 Mac

SHAH ALAM, 28 FEB: Permohonan biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi Program Pembelajaran Sepanjang Hayat kini dibuka kepada orang ramai sehingga 15 Mac depan.

Tawaran itu turut terbuka kepada alumni Akademi Kepimpinan Wanita berusia 21 hingga 40 tahun untuk melanjutkan pengajian dalam pengurusan, pemasaran, sumber manusia, perniagaan dan sains politik.

“Biasiswa bermatlamat menyediakan wanita berilmu pengetahuan serta berkompetensi tinggi menerusi pendidikan berterusan, senada dengan aspirasi Dasar Wanita Selangor dalam titik tumpuan tiga iaitu kepimpinan dan perwakilan,” kata WBS di Facebook.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM200,000 setahun untuk program tersebut bagi membantu wanita negeri ini menyambung pelajaran di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.

Biasiswa yang dilaksana dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) khusus untuk mereka yang terpilih dan berada di pelbagai peringkat kepimpinan serta lapangan.

Permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang www.wbselangor.com.my.

Syarat kelayakan seperti berikut:

Orang awam

  • Warganegara Malaysia
  • Lahir di Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun dan pengundi negeri ini
  • Minat dan aktif dalam kerja kemasyarakatan
  • Memenuhi syarat kelayakan kursus dipohon (rujuk melalui laman sesawang)

Alumni AKW

  • Tamat pengajian program AKW dan bergraduasi
  • Memenuhi syarat kelayakan kursus dipohon (rujuk melalui laman sesawang)

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita bujang atas 30 tahun perlu mahir memimpin, lancar urusan harian

SHAH ALAM, 29 NOV: Wanita bujang berusia 30 tahun ke atas yang belum mendirikan rumah tangga memerlukan kemahiran kepimpinan supaya urusan harian berjalan lancar.

Pengarah Operasi BaitulJannah Wan Nuradila Huda Wan Zaidon berkata perkara sama ditekankan kepada ibu tunggal agar mampu menjadi pemimpin untuk diri sendiri, tempat kerja dan mendidik anak.

“Kemahiran kepimpinan meliputi ekonomi, politik dan sosial amat penting bagi seseorang dalam membuat keputusan kehidupan seharian dengan tepat sekali gus melancarkan urusan sendiri serta semua pihak.

“Walaupun lumrahnya lelaki adalah pemimpin, namun dalam keadaan tertentu wanita perlu tampil ke hadapan untuk menjadi pemimpin,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) yang ditubuhkan Kerajaan Selangor menjadi medium terbaik untuk menggilap kemahiran kepimpinan wanita di peringkat akar umbi.

“Alangkah bagusnya jika semua wanita boleh melibatkan diri dalam program disediakan Kerajaan Negeri. Penglibatan golongan ini membolehkan mereka membantu sesama mereka.

“Apabila ada ahli politik wanita atau seseorang wanita dalam sesebuah organisasi mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi secara automatik kaum wanita tidak akan terabai,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM5.03 juta untuk Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi memperkasa wanita dalam pelbagai bidang di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan turut digunakan untuk Pusat Wanita Berdaya (PWB) di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan AKW bagi melatih kepimpinan akar umbi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Peserta cemerlang Akademi Kepimpinan Wanita ditaja lanjut pengajian

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Selangor menawarkan biasiswa Pembelajaran Sepanjang Hayat berjumlah RM200,000 kepada 12 peserta Akademi Kepimpinan Wanita (AKW).

Dato’ Menteri Besar berkata tajaan menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi melanjutkan pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kesemua pelajar ini antara 100 peserta AKW yang cemerlang pada tahun lepas dan kini berpeluang mengikuti pengajian diploma, ijazah dan sarjana,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara WBS dan OUM di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

WBS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Siti Kamariah Ahmad Subki, sementara OUM diwakili Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mansor Fadzil. Hadir sama, EXCO Pembangunan Wanita, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama Dr Siti Mariah Mahmud (dua, kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU Biasiswa antara Wanita Berdaya Selangor dan Universiti Terbuka Malaysia di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 4 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata biasiswa itu mencapai misi Dasar Wanita Selangor untuk memperkasa golongan tersebut selaku badan pemikir, pembinaan kapasiti dan pemberdayaan.

“Kerjasama antara OUM dan WBS diharap memperkasa wanita di Selangor dengan ilmu pengetahuan selain mempercepat penyertaan golongan ini sebagai pembuat keputusan.

“Tajaan biasiswa ini juga dapat memartabatkan wanita untuk lebih berdaya saing serta menguasai pelbagai bidang ilmu termasuk perniagaan, pengurusan, sains gunaan, pendidikan dan sains sosial serta kursus pendek ditawarkan OUM,” katanya.

AKW Selangor ditubuhkan bagi menggilap bakat 100 peserta berusia antara 21 hingga 50 tahun untuk mendalami lapangan politik dan kerja sosial di peringkat negeri.

Sebanyak RM500,000 diperuntuk tahun lalu bagi melatih peserta berkenaan sekali gus memohon biasiswa Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan kerjasama OUM.

Berikut empat kumpulan yang layak mendapat tajaan tersebut:

  • Wanita Selangor yang mempunyai pendidikan sekolah menengah, berkerjaya tetapi diberhentikan kerja dan ingin meningkatkan tahap pendidikan
  • Wanita Selangor yang mempunyai pendidikan sekolah menengah, berkerjaya dan ingin meningkatkan tahap pendidikan dan kerjaya
  • Wanita Selangor yang mempunyai pendidikan tinggi, berkerjaya dan ingin meningkatkan tahap pendidikan dan kerjaya
  • Wanita Selangor yang terpilih menyertai program anjuran WBS yang ingin meningkatkan tahap pendidikan bagi menjadi perwakilan politik