Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor serah 21 watikah lantikan jawatan Mahkamah Syariah

SHAH ALAM, 22 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyerahkan 21 watikah pelantikan pelbagai jawatan bagi Mahkamah Syariah negeri ini.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata pelantikan dibuat mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (EPAINS 2003).

“Empat individu dilantik sebagai panel tetap hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan sembilan hakim Mahkamah Rendah.

“Lantikan juga dibuat untuk dua pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, seorang timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, tiga penolong pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor. Dua individu dilantik sebagai wali raja,” katanya dalam kenyataan.

Penyerahan dilaksanakan di Istana Kayangan dekat sini.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut mencemar duli ke majlis berkenaan.

Categories
SELANGOR

Ketua kampung tradisi terima watikah pelantikan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 JUN: Seramai 292 orang Ketua Kampung Tradisi Negeri Selangor menerima watikah pelantikan yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Berlangsung di Banquet Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semua penerima ini adalah kumpulan pertama ketua kampung tradisi yang dilantik bagi sesi 2018/2020 dengan mula berkhidmat pada 1 Oktober tahun lalu hingga 31 Disember 2020.

Perkhidmatan ketua kampung tradisi Selangor adalah tertakluk kepada Garis Panduan Ketua Kampung Tradisi dan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor serta pekeliling dan keputusan Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa.

Penyampaian watikah pelantikan bagi kumpulan kedua seramai 79 orang ketua kampung tradisi akan dilaksanakan setelah urusan dokumentasi diselesaikan dan lulus tempoh percubaan selama enam bulan.

Setiap ketua kampung tradisi yang juga Pengerusi MPKK menerima elaun bulanan RM1,200 dan tertinggi berbanding negeri lain.

Malahan, setiap MPKK Negeri Selangor juga menerima RM20,000 daripada Kerajaan Negeri dan tambahan RM10,000 daripada Kerajaan Persekutuan bagi program kemasyarakatan, kebajikan, keceriaan dan keperluan lain demi manfaat kampung serta penduduk setempat.

FOTO: RAHEEMIE ARIFIN (SELANGORKINI)