Categories
SELANGOR

5R lebih berkesan jika dimulakan dari rumah

OLEH : NORHAYATI UMOR

KLANG, 23 MAC: Keberkesanan kempen 5R (Reduce, Recycle, Repair, Refuse, Reuse) akan lebih dirasai masyarakat sekiranya mereka sentiasa mengambil pendekatan positif dalam melakukan aktiviti kitar semula di kediaman masing-masing.

Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata kempen itu menjadi elemen utama yang sering diterapkan kepada warga MPK.

Katanya, pelbagai aktiviti diadakan bagi meningkatkan tahap kesedaran kakitangan MPK dan diperluaskan untuk kegunaan masyarakat setempat dalam mengurangkan pembuangan sisa pepejal.

MPK 5R“Warga Klang disarankan mengamalkan sikap 5R ini dan penerapan konsep 5R dalam mempromosikan amalan gaya hidup lestari.

“MPK sudah melaksanakan pelbagai Program Kitar Semula antaranya Kitar Semula Minyak Masak Terpakai dan Bahan Kitar Semula serta pertandingan inovasi Reka Cipta dari bahan kitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Amalan Kitar Semula,Flea Market Day dan Pertandingan Cabaran Inovasi serta Hari Bertemu Pelanggan, baru-baru ini.

Yasid berharap penduduk, pengusaha dan pengendali restoran boleh memulakan program kitar semula minyak masak terpakai dengan menjual sisa berkenaan kepada syarikat lantikan MPK.

Katanya, penglibatan kitar semula barangan bukan hanya terletak dibahu pihak berkuasa semata-mata kerana ia lebih berkesan jika dimulakan di rumah terutama dalam memupuk generasi muda mengamalkan konsep kitar semula dan kemudiannya dapat diaplikasikan di sekolah, institusi pengajian tinggi seterusnya ke peringkat global.

“Masyarakat perlu bersama menyumbangkan idea bernas untuk merealisasikan hasrat ini mengikut hala tuju Klang yang semakin pesat membangun,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Yang Dipertua MPK baru tumpu isu perbandaran

ydp 2

KLANG 30 SEPT : Isu banjir, perumahan dan infrastuktur menjadi fokus utama Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang baru, Datuk Mohammad Yacob.

Mengangkat sumpah Rabu lalu, beliau berkata isu itu memang menjadi tumpuan asas berikutan kepadatan penduduk meningkat dan proses perbandaran semakin mencabar.

Bagi merealisasikan fokus itu, katanya, kerjasama antara jabatan penting terhadap kejayaan sesebuah perancangan.

“Saya juga melihat dari segi pentadbiran dan pengurusan perlu ada beberapa penambahbaikan.

“Kita bekerja sebagai satu pasukan termasuk ahli majlis yang berperanan sebagai perantara rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Masyarakat setempat juga dialu-alu memberi pandangan.

“Saya menekankan beberapa perkara asas terutama isu perbandaran yang menjadi teras utama perkhidmatan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan di Dewan Raja Mahadi di sini.

Hadir sama ialah ahli-ahli majlis, ketua-ketua jabatan dan wakil agensi serta jabatan yang terlibat.

Mohammad mengisi jawatan di MPK selepas berkhidmat di Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ) selama tujuh tahun sejak 2006.