Categories
NASIONAL

Junjung prinsip demokrasi berparlimen

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Bersempena sambutan ulang tahun Parlimen ke-60, semua pihak diseru menjunjung prinsip demokrasi berparlimen supaya terus subur dan utuh.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Ahli Yang Berhormat perlu terus memelihara, melindungi dan mempertahankan ketinggian Perlembagaan Persekutuan tanpa kompromi.

“Sematkan kepentingan rakyat di hati dan berbahaslah secara tertib serta berhemah di dewan yang mulia ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Pada masa sama, baginda turut menghargai sumbangan, jasa dan pengorbanan semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, agensi penyelamat dan Pertahanan Awam serta rakyat jelata yang menyumbang kepada kemakmuran, keselamatan juga kedaulatan negara.

“Teruskan usaha dan komitmen itu bagi memastikan pembangunan dan kemajuan negara dikecapi oleh semua rakyat,” titah baginda.

 

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong seru semua pihak junjung Keluhuran Perlembagaan

OLEH AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Semua pihak diseru menjunjung Keluhuran Perlembagaan, terutama yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, namun bebas mengamalkan agama lain serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pelbagai usaha turut dilakukan untuk memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum, di negara ini.

Baginda bertitah, seruan perpaduan hendaklah tidak tinggal sebagai slogan semata-mata, sebaliknya semangat dan usaha ke arah itu perlu disuburkan dengan ikhlas serta dihargai.

“Tindakan tegas hendaklah diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

“Beta percaya kedudukan Islam sebagai agama persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.

“Islam bukan sekadar sebuah agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu, malah ia adalah cara hidup universal dan membawa rahmat buat sekalian alam,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menyokong usaha kerajaan mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan ‘rahmatan lil alamin’ dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam sebenar.

Baginda bertitah, ia diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia yang seterusnya menjadi model Malaysia, iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.

“Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama lain perlu dihormati demi keharmonian serta kesejahteraan hidup kita semua,” titah baginda.

Pada masa sama, Seri Paduka turut menyentuh pengaruh media terutama penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab yang boleh mengancam nilai murni berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

“Sungguhpun kerajaan beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting ia dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan bermasyarakat.

“Pada masa sama, agensi penguat kuasa hendaklah bertindak tegas ke atas sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

Agong mahu rakyat pelihara dan pulihara alam sekitar

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mahu semua pihak mengambil berat terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar bagi mengelakkan bencana dan kehilangan nyawa serta harta benda.

Baginda bertitah, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar amat penting bagi menarik pelancong ke negara ini, sekali gus bersesuaian degan Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kesedaran terhadap kebersihan persekitaran amat penting bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menjamin daya saing serta kemampanan sektor pelancongan negara bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda bertitah, kemajuan dan kesejahteraan negara berkait rapat dengan tahap kesihatan rakyat.

Bagi mencapai maksud itu, baginda bertitah, kerajaan akan mengukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan sedia ada dengan mempertingkat fasiliti kesihatan dan memperkenalkan skim saringan serta perlindungan kepada golongan B40.

“Oleh itu, beta berharap rakyat berpendapatan rendah mampu mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik, selaras tuntutan Maqasid Syariah yang menekankan penjagaan nyawa, akal dan keturunan,” titah baginda.

Seri Paduka turut bertitah, rakyat di semua peringkat usia perlu mengamalkan hidup bersukan dan berekreasi untuk membina Malaysia sihat serta cergas.

Categories
NASIONAL

Rakyat mahu kerajaan bersih, telus dan bertanggungjawab

OLEH AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Rakyat hari ini bukan sahaja mahukan pembangunan, malah sebuah kerajaan yang bersih, telus, bertanggungjawab dan mendaulatkan undang-undang untuk membawa negara ke arah lebih baik.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, rakyat juga mahu kerajaan yang mendengar pandangan dan asprirasi mereka.

“Maka, adalah wajar pemimpin mengambil kira tuntutan itu semasa merangka sebarang dasar dan program.

“Dalam kita mengejar kemajuan, integriti dan nilai murni hendaklah terus dititikberatkan. Beta mahu gejala rasuah terus diperangi kerana rasuah membebankan rakyat dan meruntuhkan asas sesebuah negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Pada masa sama, baginda turut menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan memperkenalkan Pelan Antirasuah Nasional dan mengambil undang-undang berkaitan memperkukuhkan tadbir urus dan diharap dapat memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Categories
NASIONAL

Sistem pengangkutan efisien tulang belakang pertumbuhan ekonomi

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah sistem pengangkutan efisien adalah tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial negara.

Justeru, baginda bertitah, kerajaan akan terus menggandakan usaha dalam menyediakan rangkaian pengangkutan yang mampan, inklusif, cekap dan selamat.

“Sebagai langkah proaktif, kerajaan menubuhkan Majlis Pengangkutan Kebangsaan, Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan dan Majlis Konsultasi Penerbangan Negara untuk membolehkan negara terus berdaya saing di peringkat global.

“Kerajaan beta memberi jaminan bahawa kesejahteraan sosial rakyat terutama golongan kanak-kanak, wanita, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) akan terus diberi pembelaan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Pada masa sama, baginda bertitah, semua pihak terutama sektor swasta dan badan bukan kerajaan perlu bersama memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan melindungi golongan mudah terjejas.

“Beta mengalu-alukan usaha kerajaan untuk memperkasakan golongan OKU melalui Pelan Induk Aksesibiliti dan Polisi Inklusif seperti Dasar Sifat Penolakan,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

Gembleng tenaga perkasa sistem pendidikan negara

OLEH AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyeru semua pihak mencetuskan idea dan menggembleng tenaga bagi memperkasakan sistem pendidikan negara.

Baginda bertitah, pendidikan berkualiti penting sebagai ejen perubahan bagi merapatkan jurang sosioekonomi dalam masyarakat.

“Sistem pendidikan negara berkualiti penting untuk melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan bersahsiah tinggi seiring dasar ‘industry4wrd’ (industry forward) bagi memacu industri negara supaya lebih berdaya saing dalam era revolusi perindustrian keempat.

“Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global dengan terus memperkasakan program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM serta pendidikan teknikal juga latihan vokasional atau TVET,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan akan membangunkan bidang strategik termasuk robotik dan kecerdasan buatan yang mampu menjana kekayaan baharu untuk negara.

Baginda bertitah, kerjasama dengan pihak industri akan digembleng bagi melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.

“Beta berharap kerajaan akan meneruskan program untuk menambah bilangan usahawan, perekacipta serta pencetus inovasi yang mampu mencipta kekayaan baharu.

“Dalam pada itu, perusahaan kecil dan sederhana perlu meningkatkan produktiviti serta menggunakan teknologi terkini dan automasi untuk berganjak kepada rantaian nilai yang lebih tinggi supaya mampu bersaing di peringkat global,” titah baginda.

Pada masa sama, Seri Paduka bertitah, kerajaan akan mereformasi undang-undang buruh bagi memastikan ia mematuhi standard antarabangsa, di samping menambah baik aspek perlindungan ke atas pekerja.

Baginda bertitah, liputan jaringan keselamatan sosial akan diperluas kepada golongan yang bekerja sendiri dan suri rumah bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

“Sesungguhnya pembangunan belia penting untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang dapat membina negara gemilang dan berwibawa.

“Ke arah itu, beta mengalu-alukan pelaksanaan program sekolah pemimpin masa hadapan bagi meningkatkan jati diri dan daya kepimpinan anak muda yang berpotensi,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

Kerajaan akan terus berusaha tingkat kesejahteraan rakyat-Agong

OLEH AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Kerajaan akan terus berusaha meningkatkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan, baik di bandar mahupun luar bandar melalui pendekatan menyeluruh meliputi pembangunan ekonomi, modal insan dan infrastruktur.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan inklusif juga akan diberi tumpuan untuk mengurangkan jurang antara negeri di kawasan bandar dan luar bandar.

“Kerajaan beta akan terus berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar, orang asal Sabah dan Sarawak serta masyarakat orang asli dengan mengambil pendekatan menyeluruh.

“Kesejahteraan rakyat di bandar turut dititikberatkan melalui pembinaan lebih banyak rumah mampu milik, peningkatan jalinan dan kualiri sistem pengangkutan awam serta kemudahan jalur lebar di bawah pelan gantian optik dan kesalinghubungan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Seri Paduka bertitah, bagi memacu sektor perumahan negara secara menyeluruh, sistematik dan cekap, kerajaan sedang melaksanakan Dasar Perumahan Negara 2018-2025 yang menyasarkan penyediaan tempat tinggal mampan, berdaya huni, berkualiti, inklusif serta mampu dimiliki rakyat.

Baginda bertitah, dasar itu pula menjadi garis panduan bagi pembinaan rumah mampu milik di bawah kategori perumahan awam yang dibangunkan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri termasuk swasta.

“Tumpuan juga akan diberikan dalam usaha mendaya komuniti melalui Dasar Komuniti Negara bagi mewujudkan rasa kepunyaan dan prihatin terhadap harta benda serta fasiliti awam yang dikongsi bersama,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

Teroka tanaman baru, jana pulangan lebih baik

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyarankan pekebun kecil di seluruh negara untuk mempelbagaikan tanaman mereka.

Baginda bertitah, pekebun digalakkan meneroka peluang tanaman baru yang dapat memberikan pulangan lebih baik supaya kesan kejatuhan harga komoditi dapat dikurangkan.

“Kejatuhan harga komoditi kebelakangan ini memberikan kesan kepada pekebun kecil di seluruh negara. Sebagai usaha menangani cabaran ini, kerajaan beta akan terus melaksanakan pelbagai langkah bagi meringankan beban mereka yang terlibat.

“Ia termasuk mempergiatkan penyelidikan dan pemasaran industri hiliran, agrikomoditi, penggunaan bio bahan api, penerokaan pasaran baharu dan bekerjasama dengan negara pengeluar lain bagi menstabilkan harga komoditi berkenaan di pasaran antarabangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Dataran Parlimen di sini, hari ini.

Baginda juga menyeru kerajaan untuk mengambil langkah strategik bagi menangani halangan perdagangan ke atas minyak sawit dan produk berasaskan sawit terutama oleh negara Eropah.

Pada masa sama, baginda percaya kerajaan akan terus membangunkan sektor agromakanan bukan setakat untuk menjamin bekalan makanan tetapi meningkatkan eksport negara.

“Beta sukacita negara kini dilihat sebagai model dalam pembangunan industri halal dan ia merupakan antara komponen penyumbang kepada ekonomi dengan nilai eksport berjumlah RM43.4 bilion.

“Dalam hal ini, beta percaya pelan Induk Industri Halal 2.0 akan terus memperkukuhkan industri halal negara di peringkat nasional dan antarabangsa,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

Rakyat perlu yakin usaha kerajaan kurang kos sara hidup

OLEH AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mahu rakyat yakin dengan pelbagai langkah diambil kerajaan bagi mengurangkan kos sara hidup, walaupun kesannya tidak segera dirasai.

Baginda bertitah, rakyat perlu realistik dalam meletakkan harapan kepada kerajaan dan terus berusaha untuk memajukan diri ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup.

“Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan antaranya penyelarasan gaji minimum, pemberian bantuan sara hidup, subsidi bersasar dan peningkatan kualiti sistem penyampaian kerajaan.

“Semenstinya kerajaan beta akan sentiasa bersama rakyat dalam mengharungi cabaran ini,” titah baginda pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Seri Paduka turut bertitah keselamatan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang ancaman perlu terus diperkukuh dengan lebih berkesan.

Baginda bertitah, hal itu kerana dalam era dunia tanpa sempadan dan kepesatan kemajuan teknologi, kegiatan jenayah cenderung untuk meningkat yang boleh menggugat keselamatan negara serta mencetuskan konflik serantau juga global.

“Perkembangan geopolitik antarabangsa juga semakin kompleks, justeru beta menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan kerangka Dasar Luar Malaysia baharu dan inisiatif untuk terus memelihara serta mempertingkat hubungan baik dengan negara di seluruh dunia tanpa kompromi terhadap isu kedaulatan negara.

“Beta juga menyokong Dasar Luar Negara yang terus memperjuangkan nasib golongan ditindas di seluruh dunia,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

Agong berikrar teruskan pemerintahan adil dan saksama

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berikrar akan meneruskan kesinambungan pemerintahan adil dan saksama berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan.

Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V sepanjang pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong, sebelum ini.

“Beta bersyukur kerana dengan kehendak dan izin Allah, beta dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Beta berikrar akan meneruskan kesinambungan pemerintahan yang adil dan saksama berlandaskan prinsip Raja Berpelembagaan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Pada masa sama, Seri Paduka optimis Ahli Berhormat dan rakyat jelata bersama baginda untuk memelihara kesejahteraan dan kemakmuran negara.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong zahir kesyukuran pencapaian negara hasil tadbir urus baik

OLEH AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan kesyukuran dengan keamanan, kesejahteraan dan pencapaian negara secara keseluruhan, hasil tadbir urus yang baik.

Baginda bertitah kedudukan ekonomi dan kewangan Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing walaupun berhadapan cabaran ketidaktentuan ekonomi termasuk ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta kejatuhan harga komoditi utama.

“Pada tahun lalu, ekonomi negara berkembang 4.7 peratus dipacu perbelanjaan sektor swasta, manakala jumlah perdagangan pula mencatatkan nilai RM1.9 trilion dan hutang luar negara juga kekal terurus.

“Dalam hal ini, beta menyambut baik kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 dan Belanjawan 2019 yang mengambil kira aspirasi rakyat serta cabaran semasa supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dirasai segenap lapisan masyarakat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Seri Paduka turut menyeru semua pihak khususnya sektor swasta supaya berganding bahu dengan kerajaan untuk membangunkan ekonomi negara dan membawa Malaysia sebagai negara yang lebih disegani, di persada antarabangsa.

“Kerajaan beta sedar peningkatan kos sara hidup adalah antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat. Mengambil kira hal ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan di seluruh negara untuk membantu rakyat termasuk menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

“Di samping itu, kerajaan juga akan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan dalam isu kepenggunaan serta meningkatkan penguatkuasaan ke atas pihak yang mengeksploitasi harga serta mengambil keuntungan berlebihan,” titah baginda.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berangkat ke istiadat pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-14

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan berangkat ke istiadat pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-14.

Acara itu melakar sejarah tersendiri kerana ini kali pertama baginda berangkat merasmikan persidangan berkenaan selepas melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, pada 31 Januari lalu.

Keberangkatan tiba Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, di Dataran Parlimen kira-kira jam 10 pagi disambut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut menyambut keberangkatan Seri Paduka berdua ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Sultan Abdullah kemudian diiringi ke Peterana Diraja sebelum lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dimainkan.

Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan diiringi tembakan meriam 21 das.

Selesai istiadat berkenaan, Sultan Abdullah diiringi ke Bilik Diraja di bangunan Parlimen untuk sesi bergambar sebelum ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan perasmian.

Sidang Dewan Rakyat bermula hari ini hingga 11 April. -BERNAMA