Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong disambut selaku Ketua Negara baharu di Parlimen

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Tiupan nafiri 14 anggota pasukan Istiadat Diraja Tentera Darat mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dataran Parlimen hari ini untuk istiadat sambutan rasmi selaku ketua negara baharu.

Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar disambut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Seri Paduka kemudian berkenan ke Pentas Diraja melintasi Pasukan Pengawal Tombak diiringi Perdana Menteri untuk menerima persembahan tabik ‘Hormat Diraja’ dari pasukan Kawalan Kehormatan Utama.

Serentak itu, lagu ‘Negaraku’ dimainkan oleh pasukan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Muhamad Nor AzizanYahya.

Pada masa sama, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das oleh pasukan 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja.

Seri Paduka kemudian berkenan berangkat memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Istiadat itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disusuli persembahan tabik ‘Hormat Diraja’ serta persembahan lagu Negaraku untuk kali kedua.

Diiringi kenderaan pengiring diraja, Seri Paduka berdua kemudian berangkat meninggalkan Dataran Parlimen ke Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim, Bukit Damansara, untuk Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara.

*Sumber: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB merafak sembah pelantikan Sultan Pahang sebagai Agong

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan tahniah dan merafak sembah di atas pelantikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.

Amirudin berkata, semoga pelantikan dan pengumuman dibuat Majlis Raja-Raja Melayu itu dapat memastikan pelaksanaan dan perjalanan Selangor serta Malaysia berjalan lebih baik juga teratur.

“Saya mewakili rakyat Selangor mengucapkan tahniah dan menjunjung kasih atas pengumuman dan pelantikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Wisma KoHijrah dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor di Wisma KoHijrah, Seksyen 32, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Abdullah dipilih selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi tempoh lima tahun, berkuatkuasa 31 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas), di Istana Negara, hari ini.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara, sejak 13 Disember 2016.

 

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Majlis Raja-Raja pilih Yang di-Pertuan Agong 24 Januari

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Penetapan tarikh mesyuarat khas itu dicapai menerusi mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang diadakan di Istana Negara hari ini yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan dan Raja.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, mesyuarat khas majlis hari ini itu dihadiri Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

“Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja hari ini diadakan susulan Sultan Muhammad V, meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15, berkuat kuasa serta merta, semalam.

“Sehubungan itu, Raja-Raja menetapkan 24 Januari ini untuk mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Raja-raja juga menetapkan tarikh 31 Januari ini untuk membincangkan acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan itu selaras dengan Perkara 32 (3) Perlembagaan.

Beberapa prosedur ditetapkan dalam menentukan pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu antaranya, baginda mesti dipilih oleh Majlis Raja-raja mengikut kaedah dan cara ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.

Jika berlaku kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pula akan menyembah syarat kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Raja-Raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.

Mengikut amalan, Yang di-Pertuan Agong dipilih berdasarkan sistem penggiliran setiap lima tahun mengikut negeri.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Namun, takhta baginda kini dipangku anaknya Tengku Abdullah.

Jika Majlis Raja-Raja tidak boleh memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar.

Syed Danial turut berkata, Raja-raja yang hadir dalam perjumpaan hari ini turut mengambil maklum dan menghormati hasrat Sultan Muhammad V untuk berundur diri, meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 6 Januari lalu.

“Raja-raja turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat Sultan Munammad memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari lalu,” katanya.

*Sumber: BHOnline

Categories
NASIONAL

Sultan Muhammad V letak jawatan Yang di-Pertuan Agong

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JAN: Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, berkuatkuasa hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, peletakan jawatan itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara.

“Baginda berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Wan Ahmad berkata, Baginda turut berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kerjasama mentadbir negara dan berharap rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan.

Katanya, Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kerana memilih Baginda sebagai Yang DiPertua Agong bermula 13 Disember 2016.

“Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang memberi kerjasama dalam mentadbir negara.

“Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang dicurahkan kepada Baginda dan negara selama ini,” katanya.

Beliau berkata, Baginda turut bertitah kepada rakyat Malaysia supaya terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat supaya negara terus aman dan harmoni.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SST dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 OGOS: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merafak sembah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V atas perkenan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pada 24 Ogos lalu.

Beliau dalam kenyataan berkata, perkenan itu membolehkan SST bdikuat kuasa bermula 1 September ini untuk menggantikan GST yang sudah dimansuhkan.

“Kementerian Kewangan ingin menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V kerana memperkenan pelaksanaan SST yang selari dengan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan dalam mendukung janji manifesto, pada pilihan raya lalu.

“Dengan pelaksanaan SST yang bakal diwartakan sebelum 30 Ogos ini, kerajaan berharap ia dapat meringankan beban rakyat memandangkan kerajaan hanya mengutip RM21 bilion, berbanding RM44 bilion di bawah GST pada 2019,” katanya.

Katanya, kerajaan juga berharap pengusaha perniagaan dapat mematuhi peraturan dan mendaftarkan perniagaan mereka dengan SST.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) akan memantau dan mengambil tindakan ke atas akiviti pencatutan (profiteering).

“Ini bagi memastikan tiada pengusaha mengambil kesempatan dan sebagai langkah kerajaan mengekang kenaikan harga yang boleh mengakibatkan tekanan kepada rakyat,” katanya.

Cadangan pemansuhan GST yang digantikan dengan SST mendapat kelulusan Dewan Rakyat, pada 9 Ogos lalu dan 20 Ogos lalu oleh Dewan Negara.

Categories
NASIONAL

Agong cemar duli lawat pusat tahfiz terbakar

SHAH ALAM, 15 SEPT: Hujan renyai-renyai tidak membataskan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mencemar duli melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur yang terbakar dalam satu kejadian semalam.

Baginda yang berpakaian kemeja T hitam dan berseluar putih selamat tiba sebentar tadi.

Perkarangan pusat tahfiz itu juga turut dibanjiri orang ramai.

Memetik MalaysiaKini, lawatan selama setengah jam itu baginda turut diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wira Wan Mohd Noor Ibrahim serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun.

Baginda berangkat pulang sebaik sahaja menerima penerangan berhubung insiden tersebut.

Semalam, negara dikejutkan dengan kejadian kebakaran yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 21 pelajar dan dua guru yang juga bertindak sebagai warden pusat tahfiz itu.

Ia merupakan tragedi kedua terburuk, selepas kebakaran di sarama Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, juga dikenali sebagai Pondok Pak Ya, di Padang Lumat, Yan, Kedah, pada 1989 yang mengorbankan 27 pelajar.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Hari keputeraan Agong dipinda September

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi tahun ini dipinda daripada 29 Julai kepada Sabtu, 9 September.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pindaan itu dan ini adalah kali kedua sambutan ia dipinda.

Pada April lalu, kerajaan mengumumkan sambutan itu dipinda dari Sabtu minggu pertama bulan Jun kepada Sabtu minggu terakhir Julai sepanjang lima tahun pemerintahan Seri Paduka sehingga 2021.

Menurut kenyataan JPM pada 26 April lalu, pindaan itu mengambil kira hari Sabtu minggu pertama Jun pada 2017, 2018 dan 2019 jatuh dalam bulan Ramadan.

Pembukaan Mesyuarat Parlimen Ke-13

sinopsis: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-13

Categories
NASIONAL

Pakatan Cadang Pinda Usul Perbahasaan Titah Diraja Dewan Rakyat

parlimen malaysia anwar grafik 01

KUALA LUMPUR 9 JULAI : Pakatan Rakyat (PR) akan mengemukakan usul bagi meminda usul sokongan terhadap titah Yang Di Pertuan Agong berhubung gesaan baginda supaya semua parti politik menerima keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana gagasan Umno-BN dan Pakatan telah mengemukakan petisyen pilihanraya bagi mencabar keputusan pilihanraya di 51 kerusi.

“Soal petisyen Pilihanraya … dikemukakan maka kita kaji untuk kemukakan usul pindaan kerana tidak wajar titah itu dimasukkan ke soal petisyen.

“Petisyen itu merangkumi kedua-dua pihak iaitu Pakatan dan Umno-BN. Jadi kalau sokong (titah), petisyen itu tidak bermakna,” katanya dalam sidang media, di Bilik Ketua Pembangkang di Parlimen.

Hadir sama, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Husam Musa.

Dalam titahnya pada majlis pembukaan sesi pertama Dewan Rakyat ke-13, Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah menggesa semua parti politik untuk menerima keputusan PRU-13.

Pakatan dan Umno-BN telah masing-masing memfailkan 34 dan 21 petisyen.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR melahirkan kebimbangan terhadap perlantikan bekas-bekas menteri kabinet ke dalam jawatan-jawatan kerajaan.

“Perlantikan ini begitu terlebih termasuk Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Seri Ng Yen Yen. Ia melibatkan upah yang terlalu besar.

“Kita sudah ada Menteri Pelancongan atau Kebudayaan. Kalau rasa mereka tidak layak gantikan dengan orangg lain. Tidak perlu ada penasihat kementerian.

“Berapa juta ringgit pula terpaksa dibayar? Ini akan membebankan rakyat,” katanya.

Menurut laporan media, Yen Yen dilantik sebagai pengerusi Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia manakala Rais telah dilantik sebagai presiden presiden keenam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Generasi Ke 2 Felda: Isa Dapat 180,000 Unit, Peneroka Dapat 800 Dalam FGVH


KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Tindakan menyenaraikan Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) di Bursa Saham Malaysia, hanya menguntungkan beberapa kerat orang atasan dan bukanlah golongan peneroka yang berusaha keras membangunkan felda.

Rata-rata generasai kedua peneroka Felda yang ditemui di ?himpunan oren selamatkan Felda? semalam berkata mereka masih ragu dan risau tentang masa depan skim tanah itu walaupun media pro-Umno-BN kerap memainkan cerita bahawa penyeranaian FGVH menguntungkan peneroka.

Misalnya seorang peneroka generasi kedua Mohd Naim Kadri, 25 mendakwa pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad adalah orang yang untung berlipat kali ganda walaupun Isa bukan seorang peneroka.

“Tan Sri Isa Samad dapat syer kira-kira lebih 180,000 unit, peneroka cuma dapat 800 unit sahaja, tak sampai pun satu lot.

“Kita dapat sisa kuah, isi dia sapu sedanagkan dia tu orang kaya dari luar Felda, bukan peneroka atau senang cerita tak kena mengena pun dengan Felda.

“Cuma sebab campurtangan politik dia dilantik Pengerusi Felda,” ujar Naim dari Felda Selendang, Kuala Rompin, Pahang.

Beliau ditemui di perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semasa peserta himpunan tersebut berkumpul sebelum berarak ke Istana Negara di Jalan Duta.

Menurut Mohd Shafie, 29, juga generasi kedua peneroka Felda Selendang, beliau bimbang peneroka felda akan mengalami kerugian akibat langkah penyenaraian FGVH.

“Sekarang memanglah orang Felda dapat RM15,000, tetapi saya bimbang untuk jangkamasa panjang peneroka akan kerugian dan tidak mustahil tanah bapa kami akan tergadai,” katanya merujuk kepada dividen RM 15,000 yang baru-baru ini diumumkan Kerajaan Pusat.

“Adakah sebenarnya tanah Felda hanya menjadi alat untuk pemimpin politik mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan kemudiannya gulakan peneroka dengan beberapa ribu.

“Habis tu, kalau bukan kepentingan diri sendiri, kenapa kita tengok Isa Samad beriya-iya nak kekal dalam Felda walau ditolak dan beriya-iya nak cepatkan penyenaraikan FGVH ini,” ujar beliau.

Selain itu menurut beliau, pihak pengurusan tertinggi Felda juga kurang menumpukan soal kebajikan anak-anak peneroka Felda.

“Salah satunya masalah perkerjaan di Felda, memang sangat kurang dan yang ada pun gajinya sangat rendah.

“Sebab itulah kita dapat tengok ramai anak-anak peneroka berhijrah ke bandar,” ujarnya lagi.

Himpunan semalam berjaya mengumpul kira-kira 10,000 peserta dan pemimpin Pakatan Rakyat bagi mendesak agara Yang Di-Pertuan Agong campurtangan dalam isu Felda.