Categories
AGENSI SELANGOR

Petugas pembersihan terima makanan sumbangan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 27 JAN: Seramai 150 pekerja pembersihan Bakti Suci Holdings Sdn Bhd menerima bakul makanan asas sumbangan Kerajaan Negeri.

Ketua pegawai eksekutif (menanggung tugas)nya berkata bantuan Pakej Kita Selangor disalurkan menerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) memberi makna besar kepada pekerja am yang bertugas di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor di sepanjang pandemik Covid-19.

“Mereka adalah petugas barisan hadapan yang berkhidmat tanpa henti untuk membersihkan pejabat dan beberapa premis. Sumbangan tersebut sudah tentu menggembirakan golongan berkenaan,” kata Mohd Nuri Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bakul makanan asas di Wisma Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di sini.

Hadir sama, Pengurus Operasi Yide, Md Arifin Jaafar dan Pengurus Besar Bakti Suci Integrated, Mohd Zaki Abdul Latif.

Bakti Suci Holdings Sdn Bhd merupakan anak syarikat Mais ditubuhkan bagi perkhidmatan pemaju pembangunan, pembersihan serta perkhidmatan teknologi maklumat.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Pakej Kita Selangor dengan peruntukan RM1.3 juta untuk pelaksanaan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk Selangor yang terjejas.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sumbangan diagih kepada pemandu teksi, bas sekolah, penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pemandu lori KDEB Waste Management.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide agih alatan sekolah kepada 588 anak yatim

SHAH ALAM, 14 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulur bantuan set kelengkapan sekolah kepada 588 anak yatim untuk memulakan sesi pembelajaran tahun ini.

Pengurus besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan itu turut mendapat tajaan kilang gula Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd.

“Ini merupakan program tahunan Yide agihkan barangan persekolahan kepada 17 rumah anak yatim kita.

“Kita berharap sumbangan ini dapat menyuntik semangat anak yatim untuk lebih bersungguh dan berjaya pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya alat kelengkapan sekolah diberi merangkumi set pakaian dan seluar, kasut, stoking, tudung, beg dan alat tulis.

“Terima kasih kepada CSR Sdn Bhd dan semua penyumbang. InsyaAllah selepas ini, kita juga akan mengadakan program tajaan komputer riba kepada anak yatim yang akan menyambung pengajian ke peringkat institusi,” tambahnya.

Majlis agihan sumbangan diadakan secara ringkas pada 12 Januari lalu di Rumah Pertubuhan Kebajikan Ehsan As Shakur dan Rumah Kebajikan Anak Yatim Damai Kuang.

Yide diwakili oleh Ahli Pemegang Amanah Mohd Salim Sain dan Nur Mohd Razali.

Untuk maklumat lanjut mengenai peranan Yide boleh berhubung terus ke Ibu Pejabat di talian +603 – 5510 3931, email ke [email protected] atau layari : www.yide.com.my.

 

Anak-anak yatim bergambar bersama wakil Yayasan Islam Darul Ehsan dan CSR Sdn Bhd. Foto Yide
Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa bah Hulu Selangor, Kuala Selangor terima bantuan Yide

SHAH ALAM, 6 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Hulu Selangor dan Kuala Selangor, semalam.

Pengurus Operasinya, Md Arifin Jaafar berkata sumbangan wang tunai dan set penjagaan peribadi diserahkan kepada wakil keluarga masing-masing.

“Hujan lebat berterusan sejak Ahad menyebabkan beberapa kawasan perumahan di Kampung Baru A, Hulu Bernam, Hulu Selangor dan Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor dinaiki air.

“Musibah yang menimpa semua mangsa bencana ini mendapat perhatian Yide yang turut bergegas turun padang menyampaikan sumbangan,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, Md Arifin memaklumkan orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah di kawasan masing-masing dengan menghubungi  Yide di talian  017-756 9476.

Empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah negeri ini pada Ahad susulan hujan berterusan hingga menyebabkan limpahan air Sungai Inki dan Sungai Bernam.

Kejadian tersebut menjejaskan Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Alah Batu dan Kampung Belakang Sekolah di Hulu Selangor serta Kampung Rantau Panjang di Kuala Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide-YaPEIM kerjasama bantu golongan kurang mampu

SHAH ALAM, 1 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengadakan perbincangan dua hala di Ibu Pejabat YaPEIM dekat Petaling Jaya baru-baru ini.

Pengurus Besar Yide, Nur Mohd Razali Abdullah berkata pertemuan itu membincangkan mengenai kerjasama dalam aktiviti kebajikan untuk membantu golongan kurang mampu berdasarkan kelebihan kedua-dua yayasan tersebut.

“Kita akan bergabung dan gunakan kelebihan yayasan masing-masing untuk aktiviti kebajikan. Malah, kerjasama ini juga dapat memaksimumkan fungsi institusi ini di peringkat Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Pada pertemuan 27 Ogos lalu, YaPEIM diwakili oleh Pemangku Ketua Pengarah YaPIEM, Pariha Hasan; Pengarah Kanan Pengurusan Dana Infaq dan Pembangunan Sosio-Ekonomi, Mohammad Zamri Zakaria manakala Yide diketuai Nur Mohd Razali dan Pengurus Operasi, Md Arifin Jaafar.

Untuk maklumat lanjut mengenai peranan Yide, boleh hubungi ibu pejabatnya di talian 03-5510 3931, e-mel ke [email protected] atau layari www.yide.com.my.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RMS berkenan hulur sumbangan Aidilfitri buat 1,506 anak yatim

OLEH HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 4 JUN: DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri RM150,600 kepada 1,506 anak yatim daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam, hari ini.

Majlis diadakan di Masjid Ma’muniah, Sungai Nipah, Simpang Lima, di sini, dihadiri baginda bagi tujuan itu dengan sumbangan diperuntukkan Yayasan Islan Darul Ehsan (YIDE).

YIDE adalah sebuah organisasi dimiliki Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal kebajikan anak yatim di seluruh Selangor khususnya berkenaan sumbangan Aidilfitri.

IMG_20170604_141901-1280x918Sumbangan Aidilfitri tahun ini membabitkan sembilan daerah yang digabungkan kepada lima pusat agihan bertempat di masjid terpilih di Selangor.

Dalam majlis sama, turut dijalankan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara YIDE dan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Selgate Cooration Sdn Bhd (Selgate Corporation).

Ia berkaitan Kad Peduli Sihat di mana Selgate Corporation akan mengeluarkan kad terbabit kepada semua anak yatim berdaftar dengan YIDE.

IMG_20170604_141129-1280x935Majlis MoU itu disempurnakan Pengerusi YIDE, Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Corporation, Noor Hisham Mohd Ghouth serta disaksikan Raja Muda Selangor.

Selepas majlis berakhir, baginda berkenan menunaikan solat Zohor bersama jemaah masjid dan semua tetamu.

Turut bersama dalam majlis itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahamad Yunus Hairi; Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi; Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim serta hadirin lain.IMG_20170604_141807-1280x853 IMG_20170604_141704-1280x853 IMG_20170604_141631-1280x853