Categories
GLOBAL

55 orang awam maut serangan di Yaman

SANAA 4 OGOS: Seramai 55 orang awam dilaporkan terkorban, manakala puluhan lagi cedera dalam beberapa letupan yang berlaku di bandar pelabuhan Hodeida yang dikuasai pemberontak.

“Walaupun keadaan di lokasi kejadian letupan masih tidak diketahui, insiden ini disifatkan sebagai tidak menghormati nyawa dan harta orang awam,” kata ketua delegasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) bagi Yaman, Johannes Bruwer dalam satu kenyataan, semalam.

 

ICRC berkata, beberapa insiden letupan di daerah berhampiran pantai itu, termasuk di pasar ikan dan kawasan sekitar Hospital Al-Thawra menyebabkan 55 orang awam maut, sementara 170 lagi mangsa cedera.

“Dua ambulans turut musnah,” katanya.

Pada Khamis lalu, anggota perubatan dan saksi melaporkan, sekurang-kurangnya 20 orang terkorban dalam serangan udara di pintu masuk hospital dan pengeboman di pasar ikan di Hodeida.

“Kejadian di Hodeida amat mengerikan. Insiden ini tidak boleh diterima kerana ia tidak menghiraukan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang dikuatkuasa di Yaman,” kata Bruwer yang mengutuk serangan berkenaan.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Arab Saudi tembak jatuh empat peluru berpandu puak Houthi

RIYADH 29 APR: Arab Saudi memintas empat peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh pemberontak Houthi semalam, kata pakatan tentera diketuai Riyadh yang menentang pemberontakan di Yemen tersebut.

Semua peluru berpandu itu menuju ke arah bandar Jizan, selatan Arab Saudi, demikian menurut pakatan Riyadh dalam satu kenyataan.

Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Stesen televisyen pemberontak Houthi, Al-Masirah melaporkan bahawa mereka melancarkan lapan misil ke arah Jizan, sehari selepas pasukan pertahanan Arab Saudi mengesahkan pihaknya menembak jatuh sebuah peluru berpandu yang menuju ke lokasi sama.

Serangan terbaharu itu berlaku ketika puak Houthi mengadakan majlis pengebumian pemimpin nombor duanya di ibu kota Yemen, Sanaa.

Saleh Al-Sammad yang mengetuai majlis politik agung puak Houthi, terbunuh dalam satu serangan udara oleh Arab Saudi dan sekutunya pada minggu lalu.

Arab Saudi membentuk pakatan ketenteraannya pada 2015 untuk memerangi pemberontak Houthi di negara jirannya itu bagi mengembalikan semula kuasa kerajaan Yemen yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Puak Houthi menguasai Sanaa dan hampir keseluruhan utara Yemen serta pelabuhan utamanya, Hodeida.

Hampir 10,000 orang terbunuh sejak pakatan Arab Saudi menyertai konflik Yemen, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyi­fatkan konflik negara itu sebagai krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.

Pakatan Arab Saudi melaksanakan kepungan sepenuhnya ke atas semua pelabuhan di Yemen pada November tahun lalu sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu pemberontak Houthi.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Arab Saudi pintas peluru berpandu dilancar Yemen

DUBAI 21 JAN: Arab Saudi berjaya memintas serangan peluru berpandu balistik ke arah wilayah Najran di selatan negara itu oleh pergerakan Houthi Yemen, lapor stesen televisyen rasmi kumpulan berkenaan, al-Masirah dan jurucakap tentera Riyadh.

Menurut al-Masirah, serangan peluru jarak pendek itu disasarkan ke arah pangkalan tentera namun tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Pergerakan Houthi telah beberapa kali melancarkan peluru berpandu ke arah Arab Saudi sehingga mencetuskan lagi ketegangan antara negara itu dengan Iran.

Arab Saudi mendakwa Iran membekalkan bahagian peluru berpandu dan pakar kepada Houthi namun kedua-dua pihak menafikannya.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Arab Saudi pintas peluru berpandu dilancar Yemen

RIYADH 6 JAN: Arab Saudi memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Yemen semalam, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Tentera gabungan diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak Syiah Houthi di Yemen dalam satu kenyataan berkata, pertahanan udara negara itu memintas peluru berpandu tersebut sekitar jam 5.00 pagi waktu tempatan namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Saluran televisyen Al-Masirah milik pemberontak Houthi melaporkan, kumpulan pemberontak mengaku bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu di wilayah barat daya Arab Saudi di Najran menerusi kenyataan di laman Twitter.

Riyadh dan sekutunya mengatakan serangan itu membuktikan sokongan Iran terhadap pemberontak Houthi di Yemen.

SUMBER: AFP