Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka terus kukuh berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Ringgit dijangka meneruskan momentum positifnya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, didorong oleh prospek ekonomi global yang bertambah baik, kata seorang peniaga.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata peningkatan hasil Perbendaharaan AS juga diunjur tidak bertahan lama yang sebaliknya memberi sokongan kepada pergerakan ringgit.

“Mata wang yuan pula telah mencatat aliran kenaikan semula apabila mengatasi penyusutan selama tiga minggu dan perkembangan ini turut membantu melonjakkan prestasi ringgit,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, faktor pendorong lain adalah harga minyak mentah yang kekal kukuh walaupun dengan keadaan musim sejuk melampau yang melanda Texas, AS, pada masa ini.

“Data ekonomi global mula memaparkan peningkatan. Keadaan itu bagaimanapun berbeza dengan laporan pekerjaan AS yang lemah dan membayangkan bahawa negara maju itu masih jauh daripada mencatat pemulihan (ekonomi).

“Selain itu, harga komoditi juga amat positif. Oleh itu, saya menjangkakan ringgit akan menyaksikan dagangan lebih mengukuh dengan syarat hasil Perbendaharaan AS tidak meningkat. Ini tidak mustahil memandangkan data pekerjaan negara maju itu yang lemah,” katanya.

Innes juga mengunjurkan ringgit akan menguji paras 4.0350 berbanding dolar AS pada minggu depan.

Bagi perbandingan Khamis hingga Jumaat, ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar AS pada 4.0380/0430 berbanding 4.0405/0445 pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0489/0534 daripada 3.0499/0531 pada minggu lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8315/8366 daripada 3.8602/8644.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.6488/6566 daripada 5.5896/5964 sebelum ini dan meningkat berbanding euro kepada 4.8993/9062 daripada 4.9003/9068, sebelum ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga 4.1500/1600 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Ringgit masih dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau termasuk yuan, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.1500/1600 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.1420/1500 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata pasaran akan memantau pergerakan yuan hari ini selepas mata wang negara China itu melonjak berbanding dolar AS ketika ditutup pada Isnin.

“Namun, harga minyak mentah tetap mempengaruhi pasaran meluas dengan harapan untuk rangsangan, yang akan memberikan ruang kepada unit tempatan,” katanya kepada Bernama.

Pada 9.17 pagi, harga minyak mentah Brent berada pada US$41.68 setong.

Sementara itu, ringgit juga didagangkan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0530/0651 daripada 3.0519/0580 ketika ditutup semalam dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4137/4280 daripada 5.3950/4070.

Mata wang tempatan lemah berbanding euro kepada 4.8958/9092 daripada 4.8884/8982 dan rendah berbanding yen kepada 3.9385/9491 daripada 3.9257/9336.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.1290/1320 berbanding dolar US

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Ringgit meneruskan aliran meningkat semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan minat untuk mengambil risiko lebih baik terhadap mata wang tempatan.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1290/1320 berbanding dolar US daripada 4.1320/1350 pada Selasa.

Peniaga berkata walaupun dolar US mengukuh berikutan kebimbangan mengenai penularan Covid-19 menjadikan pelabur memilih mata wang Amerika Syarikat itu sebagai mata wang selamat, ringgit mencatatkan prestasi lebih baik menjejaki yuan China yang kukuh.

Katanya kebanyakan mata wang Asia mengukuh selepas China menyuntik 1.7 trilion yuan (US$242.74 bilion) melalui repo berbalik untuk mengurangkan impak kepada ekonomi akibat penularan virus itu.

Di peringkat tempatan, katanya pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 yang dijadualkan hari ini oleh Bank Negara Malaysia akan menyediakan pemangkin pasaran yang baharu.

Ringgit kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9767/9800 daripada 2.9780/9806 pada Selasa, naik berbanding yen Jepun kepada 3.7581/7612 daripada 3.7608/7639, dan menambah berbanding euro kepada 4.5064/5113 daripada 4.5088/5138 semalam.

Mata wang tempatan, bagaimanapun, rendah berbanding pound Britain kepada 5.3491/3547 daripada 5.3456/3511 sebelum ini.

-BERNAMA