Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga 4.1130/1180 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Ringgit dibuka hampir tidak berubah dengan kecenderungan kepada penurunan berbanding dolar AS berikutan peniaga memantau hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selama dua hari yang dijadualkan berakhir pada Rabu.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1130/1180 berbanding dolar AS daripada 4.1120/1160 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata ringgit terus dikekang oleh dolar AS yang kukuh, hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi, kemungkinan ekonomi AS mengatasi jangkaan dan menjangka hasil AS yang lebih tinggi akan menjadi lebih ketara pada suku kedua.

“Buat masa ini, pasaran forex Asia, termasuk dolar AS/ringgit, telah beralih kepada sentimen pembelian dolar US semasa rendah selain memantau hasil AS,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Innes berkata kemungkinan idea yang baik untuk memberi tumpuan kepada peningkatan pertumbuhan Asia melalui pemulihan perdagangan global.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali berbanding euro, naik kepada 4.8945/9021 daripada 4.9044/9108 semasa ditutup pada Selasa.

Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7686/7742 daripada 3.7652/7699, merosot berbanding pound kepada 5.7142/7215 daripada 5.6857/6928 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0546/0590 daripada 3.0543/0579.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.1290/1320 berbanding dolar US

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Ringgit meneruskan aliran meningkat semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan minat untuk mengambil risiko lebih baik terhadap mata wang tempatan.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1290/1320 berbanding dolar US daripada 4.1320/1350 pada Selasa.

Peniaga berkata walaupun dolar US mengukuh berikutan kebimbangan mengenai penularan Covid-19 menjadikan pelabur memilih mata wang Amerika Syarikat itu sebagai mata wang selamat, ringgit mencatatkan prestasi lebih baik menjejaki yuan China yang kukuh.

Katanya kebanyakan mata wang Asia mengukuh selepas China menyuntik 1.7 trilion yuan (US$242.74 bilion) melalui repo berbalik untuk mengurangkan impak kepada ekonomi akibat penularan virus itu.

Di peringkat tempatan, katanya pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 yang dijadualkan hari ini oleh Bank Negara Malaysia akan menyediakan pemangkin pasaran yang baharu.

Ringgit kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9767/9800 daripada 2.9780/9806 pada Selasa, naik berbanding yen Jepun kepada 3.7581/7612 daripada 3.7608/7639, dan menambah berbanding euro kepada 4.5064/5113 daripada 4.5088/5138 semalam.

Mata wang tempatan, bagaimanapun, rendah berbanding pound Britain kepada 5.3491/3547 daripada 5.3456/3511 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bagaimana hampir RM20 bilion disembunyikan bertahun lamanya?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) mengakui terkejut dengan penemuan kerugian berjumlah RM31.5 bilion oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing (FOREX) Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990an.

Ahli Parlimem Bagan, Lim Guan Eng berkata, beliau pernah membahaskan perkara itu dahulu di Dewan Rakyat dan ketika itu kerugian dianggarkan berjumlah RM10.7 bilion.

“Macam mana boleh sembunyikan hampir RM21 bilion dalam mana-mana akaun. Persoalan ini serius untuk dibangkitkan.

“Bukan mudah menyembunyikan hampir RM21 bilion bertahun lamanya. Terlalu banyak skandal yang berlaku seperti 1MDB dan Felda, takkan kita perlu menunggu 20 tahun lagi baru nak tubuhkan RCI dan mengetahui perkara sebenar,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Menurutnya, isu ini perlu dibentangkan serta dibahaskan di Dewan Rakyat dan beliau akan memberikan surat pemberitahuan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina dalam jawapanya berkata akan memutuskan perkara itu selepas menerima surat daripada Guan Eng walaupun ia tidak berada dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

“Apa yang dibawa (Ahli Parlimen) Bagan agak baru, surat pun saya tidak terima. Beri saya sedikit masa,” kata Azalina.

Dalam sidang media sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan tindakan memberikan laporan berkenaan kepada semua Ahli Parlimen di hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, laporan ini sudah dikeluarkan pada 13 Oktober lalu dan sepatutnya diberikan pada hari pertama persidangan pada 23 Oktober lalu.

“Saya melahirkan rasa terkejut laporan ini dibentangkan pada hari terakhir persidangan Parlimen.

“Laporan ini memberikan beberapa syor yang mengekutkan. Kita minta ia dibahaskan tetapi Azlina kata akan jawab kemudian.

“Kita harap perkara penting ini diberikan ruang untuk dibahaskan,” katanya.

Dokumen laporan RCI FOREX setebal 524 muka surat hanya diberikan kepada semua Ahli Parlimen hari ini dan berada dalam status embargo sehingga jam 1 tengahari tadi.

Panel laporan RCI dianggotai lima orang panel yang diketuai oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan antaranya mengesyorkan polis membuka siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlaku kesalahan pecah amanah dalam urusan tersebut.

 

Categories
NASIONAL

Anwar Pernah Arah Bank Negara Henti Niaga Mata Wang

KUALA LUMPUR 24 SEPT : Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengarahkan Bank Negara Malaysia(BNM) menghentikan urusniaga pertukaran matawang asing ketika berada dalam kerajaan.

Arahan itu dakwa Anwar diberikan kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Hussein ketika itu.

“Saya pasti BNM mempunyai rekod dan sahkan apa yang saya sebut.

“Saya selaku Menteri Kewangan ketika itu minta (perniagaan itu) dihenti serta merta. Perniagaan forex (mata wang) dibuat sebelum 1990, sebelum saya menjadi Menteri Kewangan.

“Perniagaan forex ini dilakukan dengan kebenaran Menteri Kewangan sebelum itu dengan persetujuan Perdana Menteri ketika itu,? katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Anwar membuat penjelasan selepas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mencelah mengatakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pernah meminta Anwar meletakkan jawatan berikutan kerugian itu pada tahun 1993.

Sementara itu, Ketua Umum PKR itu juga memaklumkan jumlah kerugian yang dialami oleh BNM dalam pasaran pertukaran wang asing (Forex) pada tahun 1991 boleh dijelaskan oleh Gabenor BNM sekarang, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Ini kerana Zetty adalah diantara orang yang bertanggungjawab dalam isu itu selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang ketika itu memegang jawatan Pentadbir Kanan BNM.

Sebelum itu, dalam sidang perbahasan di Parlimen, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh BNM akibat Forex dari tahun 1990 hingga 2012.

Lim mempersoalkan mengapa spekulator matawang George Soros dikecam sebagai penyangak, ketika pihak yang bertanggungjawab atas kerugian RM5.7 bilion BNM melalui forex dinaikkan pangkat.

Timbalan Menteri Kewangan, Donald Lim sebelum itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa BNB rugi RM5.7 bilion pada 1992, seperti dilaporkan dalam laporan tahunannya pada 1993.

Anwar menambah terdapat pengakuan mengenai kerugian, bagaimanapun ia dinafikan.

“Ada perakuan. Memang ada kerugian yang dinafikan. Saya dah bercakap dengan Tan Sri Jaafar. Dia beri penjelasan walaupun belum mendapat maklumat.

?Walaupun dia (Jaafar) tak bertanggungjawab secara langsung langsung, tapi dia pilih untuk meletakkan jawatan. Peliknya Nor Mohamed Yakcop pula diangkat sebagai Menteri,? katanya.