Categories
NASIONAL

Surendran : Zamil Tidak Boleh Dipercayai


KUALA LUMPUR 9 JUL : Kenyataan bekas pemimpin PKR Kedah, Zamil Ibrahim kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim memburuk-burukkan parti komponen Pakatan Rakyat tidak perlu diendahkan.

Ini kerana, menurut Timbalan Presiden PKR, N. Surendran, Zamil sebelum ini terbukti bersalah mengeluarkan kenyataan palsu terhadap mantan Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali.

“Kenyataan tidak masuk akal oleh orang seperti ini saya fikir tidak perlu kita dengar dan ambil serius.

“Beliau sendiri tidak pernah menunjukkan kredibiliti yang baik, yang boleh menjadi sandaran untuk kita semua percaya kata-katanya hari ini,” ujar Surendran, yang menyifatkan kenyataan Zamil sebagai ?bodoh?.

Beliau turut menyifatkan usaha Zamil kali ini sebagai satu lagi percubaan cetek untuk memecah-belahkan Pakatan.

Hari ini, Zamil mengadakan satu sidang media kononnya untuk mendedahkan video rakaman Anwar yang didakwa memburukkan DAP dan PAS dalam satu mesyuarat tertutup di Bukit Mertajam pada Januari 2008.

Namun ketika sidang media, hanya sebahagian transkrip rakaman tersebut yang dibacakan dan tiada sebarang video didedahkan. Zamil memberi alasan pemberi video itu tidak membenarkan disiarkan.

Menurut Zamil, video itu diperolehi daripada rakaman seorang pemimpin cabang PKR sebelum PRU 12 lalu lagi namun tidak pernah didedahkan.

“Saya ingin mengingatkan kepada penyokong Pakatan bahawa keadaan dulu tidak pernah berubah dalam Pakatan. Tiada keserasian antara mereka dan segala yang ditunjuk di depan media oleh Pakatan hanyalah lakonan semata-mata. Hakikat sebenar ada dalam video ini,” Zamil mendakwa.

“Selain kenyataan kurang konkrit oleh Zamil hari ini, kita juga tidak pasti sejauh mana kebenaran video ini, entah ada atau tidak.

“Jadi kami menolak sekeras-kerasnya percubaan sebegini yang ternyata nampak ‘murahan’ dan tidak ‘gentleman’,” tegas Surendran ketika dihubungi melalui panggilan telefon sebentar tadi.

Bagaimanapun, Surendran yakin percubaan untuk memburuk-burukkan Anwar dan PKR tidak akan sesekali menggugat kekuatan Pakatan Rakyat.

“Saya yakin PKR, DAP dan juga PAS sudah matang dengan permainan sebegini dan percubaan kali ini juga tidak akan menggugat kerjasama yang erat antara parti komponen Pakatan Rakyat,? Surendran berkata.

Categories
NASIONAL

Nama PM Disebut Dalam Video Beli Ahli Parlimen PKR

SHAH ALAM 21 JUN : Nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini dikaitkan dalam pendedahan terbaru Video Beli Ahli Parlimen PKR yang didedahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad siang tadi.

Pendedahan video selama 30 saat itu menyaksikan bekas ketua pemuda PKR Kedah, Zamil Ibrahim menyebut nama pemimpin nombor satu negara itu.

“Dalam siri pendedahan kali ini, Zamil ada menyebut tentang rundingan terus kepada PM andai tawaran yang diberikan tidak memuaskan kepada Ahli Parlimen yang ditawarkan tukar parti.

“Mereka yang ditawarkan ini bolehlah berjumpa sendiri dengan PM dan boleh juga meminta jumlah yang diinginkan,” beritahu Khalid mendedahkan isi kandungan video berkenaan.

Berdasarkan video tersebut, beliau juga menjelaskan dapat mengenalpasti modus operandi yang digunakan Zamli dan ejen-ejen lain dalam usaha membeli Ahli Parlimen PKR.

“Mereka sasarkan Ahli Parlimen PKR yang mempunyai masalah, yang tidak berpuas hati atau mengetahui bahawa mereka tidak akan dicalonkan semula untuk PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, maka golongan inilah yang didekati atau dijadikan sasaran untuk dibeli,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Khalid mempersoalkan kewujudan PRU andai gejala politik kotor sebegini dibiarkan menjadi budaya dan amalan songsang untuk memperolehi kuasa sebagai Kerajaan Pusat.

“Apa gunanya kita bertanding dan menang namun kemudian Ahli Parlimen ini dibeli seterusnya menjadikan pihak yang kalah pula sebagai pemenang.

“Ini perkara serius dan tidak mustahil ia membabitkan kroni-kroni atau pihak berkepentingan untuk terus berada di tampuk kerajaan dan mengaut keuntungan,” tegas Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Sementara itu, ketika ditanya mengapa Ahli Parlimen PKR yang dijadikan sasaran dan bukan Ahli Parlimen PAS atau DAP, Khalid menjawab ia sengaja dicipta untuk menjatuhkan imej PKR sebagai parti politik yang baru seterusnya memberi kesan buruk kepada kredibiliti Pakatan Rakyat secara keseluruhannya.

“Selain usaha ini dijalankan bekas ahli PKR sendiri, saya juga percaya mereka sasarkan PKR kerana ia parti baru berlainan dengan PAS dan DAP yang kuat kerana sudah berusia 30 tahun.

“Ini memang usaha menyeluruh kerana apabila imej PKR jatuh di mata rakyat, maka kredibiliti dan imej Pakatan Rakyat juga dilihat tidak cantik pada pandangan rakyat,” jelas beliau.

Khalid turut mendedahkan seorang individu yang digelarnya ketua ejen atau puak-puak yang bekerja keras untuk membeli Ahli Parlimen iaitu Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah.