SHAH ALAM, 27 MAC : Seperti mana rakyat biasa, golongan artis juga berhak mengisytiharkan mana-mana parti politik yang mereka sokong dan wajar menggunakan kredibiliti sebagai selebriti terkenal bagi memancing undi untuk mana-mana parti politik.
Menurut pendakwah bebas, Bob Lokman atau nama sebenarnya Hakim Lokman, golongan tersebut dilihat mempunyai keupayaan menarik sokongan orang ramai kepada mana-mana pihak.
Beliau sendiri kerap ditampilkan sebagai penceramah terakhir dalam sesuatu program politik bagi mengekalkan tarikan orang ramai terhadap program yang dijalankan.
“Sememangnya dia masuk (ke dalam politik) sebagai seorang artis, tidak perlu menunjukkan yang dia pandai dari segi politik,” katanya dalam Wacana Sinar yang membincangkan tajuk ‘Artis Masuk Politik : Kredibiliti Atau Pancing Undi’ petang tadi.
Pengarah Filem, Datuk Shuhaimi Baba pula menegaskan orang ramai seharusnya tidak memberikan persepsi buruk kepada mana-mana artis yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada mana-mana parti politik.
“Masyarakat kita haruslah menghormati pendirian kami kerana kami juga berhak menyatakan pendirian untuk menyokong mana-mana parti dan saya sendiri mengaku bahawa saya menyokong BN,” ujarnya dalam forum itu.
Shuhaimi juga berkata tidak salah mana-mana artis mengenakan bayaran atas penampilan mereka di pentas mana-mana parti politik kerana artis juga seperti orang biasa yang perlukan wang untuk menyara hidup dan menanggung pelbagai komitmen lain.
Sementara itu, artis yang popular dengan watak Leftenan Adnan, Hairie Othman pula menolak dakwaan terdapat artis yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) semata-mata untuk mendapatkan bayaran untuk menyara hidup mereka.
“Pakatan Rakyat tidaklah mempunyai dana besar seperti Umno-BN yang mampu membayar penyanyi Korea, Psy hingga RM2 juta.
“Saya akui dalam PR, sesetengah program ada yang memberi bayaran, tetapi tidaklah banyak sampai cukup untuk menampung semua keperluan dan ada juga yang tidak berikan apa-apa bayaran, saya sendiri kena buat kerja lain.
“Artis dalam PR janganlah harap nak makan nasi sampai satu kawah setiap seorang, tetapi mencukupilah dapat makan nasi sepinggan seorang,” ujar Hairie.
Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi pula berkata pihaknya bersedia membantu mana-mana artis yang menjadi mangsa ‘digam’ oleh mana-mana stesyen televisyen atau pihak lain sehingga menyebabkan mereka tidak lagi ditawarkan berlakon atau menyanyi.
Menurutnya, artis berkenaan hendaklah tampil kepada seniman dengan membawa bukti penggantungan mereka.
Wacana Sinar siri ke 18 yang diadakan di Auditorium Karangkraf itu tadi dikendalikan oleh moderator dari Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi, Profesor A.Razak Mohaideen yang juga merupakan pengarah filem terkenal.