Categories
NASIONAL SELANGOR

Bob Lokman : Artis Wajar Guna Kredibiliti Untuk Pancing Undi

Wacana Sinar 26 Mac 2013 01

SHAH ALAM, 27 MAC : Seperti mana rakyat biasa, golongan artis juga berhak mengisytiharkan mana-mana parti politik yang mereka sokong dan wajar menggunakan kredibiliti sebagai selebriti terkenal bagi memancing undi untuk mana-mana parti politik.

Menurut pendakwah bebas, Bob Lokman atau nama sebenarnya Hakim Lokman, golongan tersebut dilihat mempunyai keupayaan menarik sokongan orang ramai kepada mana-mana pihak.

Beliau sendiri kerap ditampilkan sebagai penceramah terakhir dalam sesuatu program politik bagi mengekalkan tarikan orang ramai terhadap program yang dijalankan.

“Sememangnya dia masuk (ke dalam politik) sebagai seorang artis, tidak perlu menunjukkan yang dia pandai dari segi politik,” katanya dalam Wacana Sinar yang membincangkan tajuk ‘Artis Masuk Politik : Kredibiliti Atau Pancing Undi’ petang tadi.

Pengarah Filem, Datuk Shuhaimi Baba pula menegaskan orang ramai seharusnya tidak memberikan persepsi buruk kepada mana-mana artis yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada mana-mana parti politik.

“Masyarakat kita haruslah menghormati pendirian kami kerana kami juga berhak menyatakan pendirian untuk menyokong mana-mana parti dan saya sendiri mengaku bahawa saya menyokong BN,” ujarnya dalam forum itu.

Shuhaimi juga berkata tidak salah mana-mana artis mengenakan bayaran atas penampilan mereka di pentas mana-mana parti politik kerana artis juga seperti orang biasa yang perlukan wang untuk menyara hidup dan menanggung pelbagai komitmen lain.

Sementara itu, artis yang popular dengan watak Leftenan Adnan, Hairie Othman pula menolak dakwaan terdapat artis yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) semata-mata untuk mendapatkan bayaran untuk menyara hidup mereka.

“Pakatan Rakyat tidaklah mempunyai dana besar seperti Umno-BN yang mampu membayar penyanyi Korea, Psy hingga RM2 juta.

“Saya akui dalam PR, sesetengah program ada yang memberi bayaran, tetapi tidaklah banyak sampai cukup untuk menampung semua keperluan dan ada juga yang tidak berikan apa-apa bayaran, saya sendiri kena buat kerja lain.

“Artis dalam PR janganlah harap nak makan nasi sampai satu kawah setiap seorang, tetapi mencukupilah dapat makan nasi sepinggan seorang,” ujar Hairie.

Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi pula berkata pihaknya bersedia membantu mana-mana artis yang menjadi mangsa ‘digam’ oleh mana-mana stesyen televisyen atau pihak lain sehingga menyebabkan mereka tidak lagi ditawarkan berlakon atau menyanyi.

Menurutnya, artis berkenaan hendaklah tampil kepada seniman dengan membawa bukti penggantungan mereka.

Wacana Sinar siri ke 18 yang diadakan di Auditorium Karangkraf itu tadi dikendalikan oleh moderator dari Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi, Profesor A.Razak Mohaideen yang juga merupakan pengarah filem terkenal.

Categories
NASIONAL

Bob Lokman : Lirik ‘Janji Ditepati’ Penghinaan Kepada Kemerdekaan

SHAH ALAM 29 JULAI : Lirik lagu tema sambutan kemerdekaan ‘Janji Ditepati’ dilihat sebagai satu penghinaan kepada kemerdekaan negara dan hanya bertujuan untuk meraih kelangsungan hayat politik Umno-BN semata-mata.

Bekas penulis lirik terkenal, Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman dalam reaksinya berkata, kemerdekaan negara sebenarnya membawa makna yang luas dan istimewa bagi rakyat Malaysia yang selama ini tidak melihat sambutan berkenaan sebagai satu medan politik kepartian mana-mana pihak.

“Pada saya ia satu penghinaan besar kerana lirik tersebut hanya menggambarkan kerja-kerja politik dan bukannya melambangkan besarnya erti kemerdekaan kepada kita semua rakyat Malaysia.

“Kalau Umno betul-betul ingin menghayati erti kemerdekaan, lirik tersebut tidak sepatutnya bias,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Menurutnya lagi, penulis lirik tersebut hanya ingin ‘membodek’ rakyat supaya terus menyokong BN dan bukannya menghayati erti kemerdekaan.

Lagu bertajuk ?Janji Ditepati?, lirik ciptaan sepenuhnya oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim dipilih menjadi lagu tema sambutan kemerdekaan negara.

Minggu ini menyaksikan ruang laman sosial Facebook dan Twitter dihangatkan dengan isu video lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 yang dilihat sebagai modal politik Umno-BN untuk memancing undi dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Paling mencuri tumpuan, rangkap ?Janji Sudah Ditepati, Kini Masa Balas Budi? menyaksikan kritikan hebat pelayar internet yang menganggap rangkap berkenaan sebagai ?menuntut? rakyat mengenang kembali jasa pemerintahan Umno-BN.