Categories
AGENDA NASIONAL

Pendakwaan fail rayuan terhadap keputusan kes bunuh Zulfarhan

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan kesalahan enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang sebelum ini mereka didakwa atas pertuduhan membunuh.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun apabila ditanya sama ada AGC akan memfailkan rayuan untuk mengembalikan Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh, berkata: “Ya, kami akan memfailkan rayuan.”

Keenam-enam tertuduh terselamat daripada hukuman gantung tetapi masing-masing dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah selepas mereka didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

UPNM, ATM diingat ambil iktibar kes Zulfarhan, elak jenayah berulang

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diingatkan agar tidak mengulangi perbuatan jenayah sepertimana yang berlaku ke atas Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menyifatkan perbuatan ke atas Zulfarhan Osman itu sebagai keji.

“Kematian Allahyarham Zulfarhan (Osman) empat tahun lalu amat mendukacitakan, sebagai menteri pertahanan ketika itu, saya telah arah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) gantung segera 32 Pegawai Kadet serta nilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di ALK.

“Saya juga jamin tiada siapa akan dilindungi dan terlepas dari undang-undang,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya, pagi ini.

Beliau berkata UPNM dan ATM perlu mengambil iktibar dan pengajaran terhadap hukuman penjara yang dikenakan terhadap enam penuntut universiti itu kerana menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh Zulfarhan Osman.

“Saya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal jenayah dan kezaliman!,’’ tambah Hishammuddin.

Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, 21 Mei 2017 dan dalam bilik 04-10 antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh tertuduh itu pada anggota badan Allahyarham Zulfarhan Osman telah menyebabkan kematian mangsa namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

-BERNAMA