Iskandar : Rumah Terbengkalai, Kuasa Negeri Terhad

SHAH ALAM : Kuasa kerajaan negeri untuk mengambil tindakan ke atas pemaju projek perumahan terbengkalai adalah terhad kerana kuasa itu tertakluk di bawah Kerajaan Persekutuan yang boleh mengambil tindakan tegas dan segera.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata kerajaan negeri hanya boleh mengambil alih tanah atau merampas tanah pemaju di dalam keadaan tertentu.

“Ia pernah dilakukan di Bukit Botak. Untuk Ukay Bistari, projek tersebut sedang berjalan walaupun perlahan. Adalah tidak praktikal bagi kerajaan negeri untuk merampas semua tanah-tanah daripada Syarikat Talam yang melibatkan projek perumahan terbengkalai,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Menurut Iskandar, kuasa yang ada pada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) adalah lebih luas.

Menteri boleh mengambil mana-mana projek dan memberikannya kepada pihak ketiga. Menteri juga boleh memaksa pemaju menerima nasihat dari pihak ketiga bagaimana hendak menguruskan projek mereka tetapi kuasa ini jarang digunakan.

“Mungkin telah sampai masanya Menteri menggunakan kuasanya bagi projek-projek Talam.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa membantu untuk memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai. Mesyuarat diadakan dari masa ke semasa untuk memantau kemajuan projek-projek itu,” katanya.

Tambah Iskandar, pihak berkuasa tempatan(PBT) dan agensi-agensi berkaitan sentiasa menghulur bantuan untuk memastikan sebarang kelulusan dapat disegerakan. Tetapi keselamatan dan kepentingan rakyat tidak akan dikompromi.

“Maka di dalam menangani pemaju-pemaju yang tidak bertanggungjawab dan tidak pernah menepati janji, Menteri mesti menggunakan kuasanya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.