Categories
SELANGOR

Media patut lebih peka- Rodziah

SHAH ALAM, 22 MAC : Kerajaan Selangor menuntut supaya media massa menghentikan liputan sensasi tentang kes penculikan Nazatul Fardiana  Mohd. Izwan yang di selamatkan dan di bawa pulang dari Thailand baru- baru ini.

Sehubungan itu, Kerajaan Selangor akan menghulurkan bantuan kaunseling dan kebajikan kepada Nazatul Fardiana bagi membina semula kehidupan mereka selepas tragedi ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga membidas kekontangan etika yang dipamerkan oleh segelintir media massa yang tidak bertanggungjawab dan bertindak tanpa memikirkan kesan liputan tersebut terhadap masa depan pelajar Tingkatan 2 itu.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi Rodziah Ismail mengesa media massa dan wartawan terbabit supaya memfokuskan kemahiran dan kreativiti mereka kepada usaha-usaha sebenar untuk membasmi pemerdagangan manusia dan memberkas penjenayah.

“Insiden pendedahan tanpa rasa bersalah oleh sebahagian media massa dan polis amatlah memalukan dan telah meletakkan Malaysia dalam posisi dan imej yang amat rendah di mata masyarakat antarabangsa.

“Kejadian yang berlaku kepada Nazatul yang diculik dan telah dibawa ke Bangkok tempoh hari telah disensasikan tanpa sebarang belas kasihan dan keinsanan terhadap mangsa oleh segelintir media massa di Malaysia,” ujar Rodziah di dalam satu sidang media di luar Dewan Negeri Selangor hari.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Majlis Anti-Pemerdagangan Manusia (MAPMAS) Dr Irene Fernandez.

Nazatul kembali ke Malaysia pada hari Isnin 19 Mac lalu  selepas dibawa lari ke Bangkok, Thailand kerana dipercayai diculik dan di bawa ke negara itu. Remaja itu dijumpai oleh polis Thailand dan di bawa ke kedutaan Malaysia di Thailand.

Beliau dibawa pulang dengan kerjasama pejabat DUN Kota Anggerik.

Rodziah menambah, etika kewartawanan menghendaki para wartawan memelihara keselamatan mangsa dalam liputan mereka.

Beliau, yang juga ADUN Batu Tiga, menggesa polis untuk menjaga sensitiviti mangsa dan keluarganya dengan tidak mempamerkan gambar mereka kerana ia mengundang risiko yang tinggi.

Sementara itu Irene berkata PDRM seharusnya lebih peka terhadap peningkatan kes-kes penculikan di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.