Categories
SELANGOR

SELCAT Cadang Yayasan Selangor Jadi Badan Berkanun

SHAH ALAM, 6 MAC : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) akan mencadangkan kerajaan negeri supaya meluluskan satu enakmen untuk menjadikan Yayasan Selangor sebahagian daripada badan berkanun.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berjata, Yayasan Selangor kini adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah pendaftaran syarikat dan tidak tertakluk kepada pemantauan ketua audit.

Jelasnya, cadangan ini masih di peringkat awal dan akan dipanjangkan kepada pihak kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Saya rasa mungkin sudah sampai masanya, tetapi ia melibatkan proses undang-undang yang rumit kerana Yayasan sekarang adalah sebuah syarikat. Tetapi saya akan serahkan perkara ini kepada kerajaan negeri kerana pihak SELCAT baru menerima gambaran dan maklumat lengkap.

Dalam mesyuarat SELCAT akan datang, kita akan mendalami perkara ini sebelum kita membuat rumusan bertulis dan laporan bertulis kepada pihak Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang jawapan berulang yang diberikan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki semasa sesi pendengaran awam hari ini, Teng menjelaskan ia berlaku disebabkan Ilham bukanlah seorang pegawai kerajaan, sebaliknya dilantik dari luar.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak kerajaan memberi taklimat atau kursus insentif di masa akan datang sekiranya ingin melantik individu perseorangan untuk menjawat sebarang jawatan bagi memahami tugasan mereka.

“Saya kira ada hikmah daripada kes Yayasan Selangor ini walaupun ada sedikit kelemahan. Tetapi ketirisan yang dilaporkan itu berlaku pada masa yang singkat, jadi secara tidak langsung jawapan yang diberikan berulang-ulang,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Teng, secara keseluruhannya, pihak SELCAT berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Yayasan kerana terdapatnya pengakuan jujur, sekaligus membincangkan langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah yang berlaku.

Beliau turut memuji tindakan Yayasan yang memulangkan semula kesemua elaun yang dibayar kepada ahli lembaga pengarah sewaktu menghadiri mesyuarat.

Ia adalah merujuk kepada laporan audit dalaman pejabat Setiausaha kerajaan Negeri yang menunjukkan ahli lembaga pengarah yang menghadiri mesyuarat akan dibayar antara RM50 hingga RM500 setiap kali bermesyuarat.

“Elaun-elaun mesyuarat yang dibayar telah dikembalikan semula termasuk bayaran kepada pakar. Saya rasa kalau pakar, tidak adil jika tidak dibayar. Cuma soalnya, adakah kadarnya munasabah.

Perkara itu kita serahkan kepada pihak pengurusan sama ada bayaran itu munasabah atau tidak. Apa yang jelas, kakitangan yang terlibat dalam mesyuarat tersebut tidak harus dibayar elaun yang tinggi atau tidak perlu dibayar langsung dan perkara ini telah dibetulkan,” jelasnya beliau ketika sidang media sejurus selepas sesi SELCAT hari kedua berakhir.

Sesi SELCAT akan bersambung esok setelah bermula semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.