Categories
SELANGOR

Banyak Masalah Punca Selangor Tolak Alam Flora

KOTA DAMANSARA, 7 APRIL : Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu menyertai skim penswastaan perkhidmatan oleh Kerajaan Pusat menerusi Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) bermula tahun lalu berikutan banyak masalah yang ditimbulkan oleh syarikat berkenaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, hal itu kerana masalah kerja-kerja kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di negeri ini tidak dapat diselesaikan oleh Alam Flora.

Beliau berkata,  Alam Flora juga bersikap lepas tangan dan ‘serah tugas’ kepada orang lain dalam menangani sesuatu masalah sampah di sesuatu tempat.

“Selalunya jika terdapat sesuatu masalah atau aduan dari masyarakat mereka melengahkannya dan bersikap lepas tangan serta hanya pandai memberikan alasan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Zon Bersih Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Sunway Giza.

Hadir sama, Datu Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, MP Subang, R.Sivarasa dan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Abdul Khalid berkata, berdasarkan rekod MBPJ, hampir satu pertiga pendapatan yang dikutip dari cukai pintu iaitu sebanyak RM570 juta dibayar kepada Alam Flora dalam tempoh setahun.

“Tetapi masalah pembersihan dan perlupusan sampah masih tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Tambahnya, daripada jumlah itu juga 30 peratus pembayaran akan diserahkan kepada koordinator Alam Flora, ‘kumpulan goyang kaki’ dan pekerjanya.

“Mereka cuma mendapatkan kontrak kemudian sub kepada orang lain, mereka tidak ada pengalaman dalam bidang ini. Kita tidak mahu orang yang tidak pandai melakukan kerja tapi hanya pandai melobi orang.

“Kerajaan negeri sudah melantik kontraktor yang baru, Alam Flora dulu tidak ada pengalaman sebab itu kita takut, kita tidak mahu lagi orang yang dapat kontrak tetapi tidak pandai buat kerja, itu bukan benda yang baik untuk negara,” katanya.

Jelasnya, setakat ini, hanya empat hingga lima sahaja panggilan aduan dalam masa sehari berbanding 200 panggilan sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.