Categories
ADN SELANGOR

Tetapkan SOP kilang cegah jangkitan lebih serius

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerajaan Negeri dicadang menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) kilang bagi mengekang penularan Covid-19 selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Wakil rakyat Kota Damansara berkata kegagalan menyediakan SOP ketat dalam kalangan pekerja sehingga mencetuskan gelombang ketiga wabak Covid-19 perlu dipandang serius.

“Tidak boleh tidak, kita berdepan dengan pekerja asing dan ada jutaan yang tidak berdaftar. Kita telah mendengar ramai penduduk menyalahkan Kerajaan Negeri kerana tidak menutup kilang.

“Rakyat masih tertanya-tanya siapa ada kuasa untuk menutup kilang dan akhirnya berdepan dengan pekerja yang kita tidak tahu masalah dokumen dan sudah divaksin atau tidak,” kata Shatiri Mansor.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau turut mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan jawatankuasa melalui pelan rekalibrasi untuk memantau pekerja asing terutama membabitkan pemberian vaksin.

“Saya cadangkan program rekalibrasi dibuat bersama persekutuan untuk mengenal pasti pekerja yang berdaftar sama ada mempunyai dokumen atau tidak.

“Jika mereka tiada dokumen, mereka diberi peluang untuk diputihkan atau jika tidak diuruskan untuk dibawa pulang ke negara asal,” kata Shatiri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma diteruskan di Shah Alam, Kota Damansara hari ini

SHAH ALAM, 7 MAC: Program Saringan Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Selangor diteruskan ke Shah Alam dan Kota Damansara hari ini.

Saringan komuniti bersasar itu bermula jam 9 pagi di Dataran Otomobil, Seksyen 15 Shah Alam dan Dewan Serbanguna Seksyen 2, Kota Damansara.

Tinjauan di Shah Alam mendapati walaupun cuaca hujan, ia tidak menghalang orang ramai menunggu seawal jam 8.30 pagi untuk menjalani saringan.

Seramai 30 petugas kesihatan Klinik Selcare dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) lengkap mengenakan sut perlindungan diri bagi melakukan proses saringan hingga jam 4 petang nanti.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.

Orang ramai yang ingin menjalani ujian perlu terlebih dahulu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan kemudiannya membuat pengesahan dengan petugas.

Lokasi saringan dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Dua wakil rakyat positif Covid-19, terbaharu ADN Kota Damansara

SHAH ALAM, 5 OKT: Seorang lagi wakil rakyat Selangor disahkan positif Covid-19 hari ini hasil keputusan saringan kedua dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Shatiri Mansor berkata dua orang anaknya turut disahkan positif menerusi ujian yang dijalani pada 2 Oktober lalu.

“Kami bertiga akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. Sejak pulang dari Sabah pada 27 September, saya dan anak-anak menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya melalui video yang dikongsi di Facebook.

Beliau berkata isterinya yang turut serta ke Sabah disahkan positif pada 30 September hasil saringan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Shatiri Mansor. Foto shatirimansor.com

Shatiri berkata tiga lagi kakitangan Pusat Khidmat DUN Kota Damansara yang terlibat sama disahkan negatif dan menjalani kuarantin di rumah sehingga 16 Oktober.

“Bagaimanapun, pusat khidmat DUN akan beroperasi seperti biasa dan mereka yang hadir perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Saya berdoa semoga kita semua selamat sejahtera dan saya sendiri dapat memberi perkhidmatan lebih baik selepas ini. Anda tetap boleh berjumpa saya secara maya di shatirimansor.com,” katanya lagi.

Sebelum itu, ADN Kampung Tunku disahkan positif Covid-19 hasil keputusan saringan kedua yang dijalaninya pada 2 Oktober lalu.

Lim Yi Wei berkata ujian tersebut dilakukan selepas beliau mengalami gejala pada 1 Oktober walaupun sehari sebelum itu disahkan negatif Covid-19 dan diminta hadir untuk dibuka gelang merah jambu.

Beliau menempuh ujian saringan pertama di klia2 sejurus tiba dari Sabah pada 27 September lalu dan menjalani kuarantin diri.

Categories
SELANGOR

ADN galak majikan daftarkan PERKESO, KWSP

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 1 APR: Majikan digalakkan mendaftarkan pekerja mereka menerusi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Shatiri Mansor berkata, pendaftaran kedua-dua caruman terbabit adalah penting memandangkan ia sudah termaktub dalam peruntukan undang-undang.

Katanya, pekerja tidak perlu takut atau khuatir untuk menegakkan hak sekiranya majikan tidak mendaftarkan mereka dalam caruman terbabit.

“Sebagai ADN Kota Damansara saya mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Pusat Khidmat Masyarakat saya di Star Avenue untuk mengetahui maklumat lebih jelas berkenaan hak pekerja dan KWSP serta PERKESO.

“Pusat khidmat saya dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang (Isnin-Jumaat), namun sekiranya mahu berjumpa terus dengan saya boleh hadir pada Rabu jam 6 petang hingga 10 malam bagi membincangkan isu berkaitan hak pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Ops Kesan Bersepadu PERKESO-KWSP di sebuah restoran di Damansara, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ops Kesan Bersepadu PERKESO-KWSP itu dijalankan serentak seluruh Malaysia manakala pelancaran peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang.

Difahamkan, sehingga jam 12.15 tengah hari tadi, sebanyak 979 lawatan dibuat ke atas premis seluruh Malaysia manakala jumlah saman dikeluarkan adalah 119,119.

Manakala, di Selangor, PERKESO menjalankan Ops di 133 premis sekitar Petaling Jaya dan lapan kompaun sejumlah RM5,500 dikeluarkan di bawah Akta Perkeso Seksyen 4/Seksyen 5 setakat jam 12.15 tengah hari tadi.

Sementara itu, KWSP turut menjalankan Ops sama ke atas 126 premis dan mendapati 21 majikan tidak berdaftar, operasi itu akan diteruskan sehingga 3 petang ini.

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

Sebaran syarat palsu, cubaan sabotaj KISS

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 30 MAC: Satu sebaran bermotifkan politik bertujuan mensabotaj program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dikesan berlegar menerusi applikasi whatsapp sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Mohd Radzlan Jalaluddin, berkata sebaran palsu itu mengandungi senarai syarat palsu yang kononnya dikenakan Kerajaan Negeri bagi permohonan KISS.

“Jangan percaya khabar angin atau mesej yang tidak betul di mana kita dapati ada beberapa percubaan sabotaj, kononnya penerima zakat dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tak layak dan paling jahat sekali menyebarkan kononnya ahli parti politik tertentu sahaja yang layak, ini suatu fitnah yang besar.

“Kita dapat tahu perkara ini apabila banyak disebarkan melalui whatsapp. Saya juga jumpa seorang ibu dan memaklumkan dia tidak boleh memohon kerana dia seorang penerima zakat,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri mengamalkan dasar buta warna politik, agama dan bangsa dalam menjalankan program Kerajaan Negeri supaya semua lapisan masyarakat memperolehi manfaat disediakan.

Katanya, selain applikasi whatsapp, beliau turut menerima satu klip video dilakonkan individu tidak dikenali berlegar di media sosial facebook kononnya hanya ahli parti politik tertentu sahaja boleh memohon KISS.

“Ini memang bermotifkan politik, kononnya Kerajaan Negeri hanya menjaga ahli parti tertentu sahaja sedangkan Dato’ Menteri Besar menjaga semua tanpa mengira parti sebab pertimbangan kita adalah rakyat,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Lagi 435 ibu di Kota Damansara terima kad KISS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 30 MAC: Skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) semakin mendapat sambutan hangat golongan ibu di Kota Damansara.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Mohd Radzlan Jalaludin, sehingga kini seramai 800 permohonan diluluskan dan sudah menerima kad KISS masing-masing.

“Setakat ini Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Kota Damansara menerima lebih 2,000 permohonan dan saya jangka jumlah ini akan terus bertambah.

“Program malam ini adalah penyerahan kad KISS fasa kedua melibatkan 435 penerima menjadikan jumlah penerima setakat ini seramai lebih 800 orang,” katanya kepada SelangorKini pada Program Penyerahan Kad KISS Fasa Kedua di perkarangan PKM Kota Damansara, pada 28 Mac lalu.

Jelasnya, permohonan kad KISS terus dibuka kepada orang ramai selagi tiada sebarang pengumuman daripada Kerajaan Negeri.

Katanya, selain memproses permohonan mengikut syarat ditetapkan, PKM Kota Damansara juga membantu pemohon melengkapkan dokumen masing-masing.

Katanya lagi, beliau juga kerap ditemui penerima skim ini yang menyatakan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin terhadap kesusahan rakyat.

“Skim ini membuka mata para ibu terhadap kepedulian Kerajaan Pakatan Harapan membela nasib ibu.

“Reaksi mereka jelas memberikan sokongan kepada kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

MBPJ laksana sistem had masa letak kenderaan

parking mb[jSHAH ALAM 19 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meluluskan pelaksanaan sistem had masa meletak kenderaan secara percubaan tiga bulan di Pusat Bandar Dataran Sunway, PJU 5, Kota Damansara, Petaling Jaya.

Sekretariat Media MBPJ berkata, had masa ditetapkan adalah untuk tempoh masa dua jam bermula pada 15 Oktober lepas sehingga 14 Januari 2014.

Katanya, sistem itu dilaksanakan bagi mengurangkan masalah kesesakan lalulintas di kawasan pusat bandar akibat peletakkan kenderaan diletak secara berlapis.

“Ia bertujuan menggalakkan pemilik kenderaan meletakkan kenderaan untuk tempoh masa lama menggunakan kemudahan tempat letak kereta di Kompleks Letak Kereta yang disediakan,” kata dalam satu kenyataan.

Katanya, pemandu kenderaan yang meletak kenderaan untuk tempoh masa singkat kurang dari dua jam digalakkan meletak kenderaan di atas jalan (on street parking).

Kemudahan petak letak kereta yang disediakan di kawasan Pusat Bandar Dataran Sunway adalah seperti berikut :-

petak parking

Katanya, orang awam diminta memberikan kerjasama penuh dengan mematuhi had masa ditetapkan.

Kegagalan mematuhi had masa ini akan menyebabkan kenderaan mereka di kunci dan MBPJ akan mengambil tindakan menunda kenderaan yang diletakkan di luar petak kereta.

Pandangan orang awam tentang pelaksanaan sistem had masa meletak kenderaan ini bolehlah disalurkan terus ke alamat emel berikut :- [email protected] atau hubungi Jabatan Kejuruteran, Majlis Bandaraya Petaling Jaya di talian 03-79584221.

Categories
NASIONAL

Tewas DUN Kota Damansara, PKR Tidak Tuding Jari Kepada PAS

PKR Tidak Tuding Jari Kepada PAS 01

SHAH ALAM 7 MEI :Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tidak menyalahkan PAS berhubung calon parti itu yang berdegil untuk terus bertanding di kerusi DUN Kota Damansara sehingga menyebabkan Umno-BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13) lalu.

Calon BN, Halimaton Saadiah Bohan menang dengan undi sebanyak 16,387 manakala calon PKR, Mohd Nasir Hashim tewas dengan 14,860 undi dan calon PAS, Ridzuan Ismail dengan 7,312 undi.

Menurut Azmin, PKR menghormati dan memahami masalah yang dihadapi PAS sewaktu pembahagian kerusi berkenaan serta memberi jaminan tidak akan memanjangkan isu berkenaan.

“Saya ingin mengesahkan PKR tidak akan menuding jari pada PAS, kita menghormati dan memahami masalah pada ketika itu dan saya bagi pihak PKR akan terus maju kehadapan dan tak akan toleh kebelakang,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, PKR berhak menang di kerusi berkenaan jika calon PAS menarik diri kerana jika dijumlahkan kedua-dua undi PAS dan PKR berjaya mengatasi Umno-BN dengan majoriti jauh lebih tinggi.

“Calon daripada PAS yang diarahkan untuk tarik diri tapi hingga saat akhir enggan tarik diri sehingga Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali terpaksa turun berceramah di situ dan umum bahawa calon PKR adalah calon rasmi daripada PR.

“Tetapi mereka tetap berdegil dan maka atas sebab itu kita hilang lagi satu kerusi bagi pihak PKR dan PR,” katanya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS III Selangor itu berkata, kejadian pecahan undi yang berlaku di Semenyih, Kota Damansara dan Sungai Acheh memberi pengajaran kepada calon PR supaya jangan besar kepala dan terlalu yakin sehingga mengkhianati amanah rakyat.

Sehubungan itu, Khalid berkata, PAS Selangor akan menghantar laporan keperingkat PAS Pusat bagi menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap insiden berkenaan.

Pada PRU-13 lalu, PR Selangor berjaya memenangi majoriti 2/3 kerusi dengan PAS mendapat 15 kerusi, DAP dengan 15 kerusi dan PKR dengan 14 kerusi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sokongan Pengundi Melayu Kepada Calon Rasmi PR Kota Damansara Meningkat

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

SUBANG, 5 MEI: Sehari sebelum menjelang hari pengundian Ahad ini, sokongan masyarakat Melayu terhadap calon rasmi Pakatan Rakyat (PR), Dr Nasir Hashim terus meningkat.

Menurut Setiausaha calon PKR DUN Kota Damansara, Abd Aziz Dahlan, sambutan yang diterima dari golongan itu semakin memberangsangkan selepas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali membuat pengumuman rasmi dalam satu ceramahnya semalam.

“Sebelum ini pun memang ramai penduduk Melayu sokong pencalonan Dr Nasir, tetapi selepas ceramah maklum balas cukup membanggakan.

“Apatah lagi masyarakat di sini memang dah tahu Dr Nasir selama lima tahun bertungkus lumus berkerja bantu masyarakat di sini, sebab itu mereka mahukan Dr Nasir terus berkhidmat lagi.

“Memang jelas, Dr Nasir sudah ada ‘track record’ yang diterima baik di Kota Damansara,” ujar Abd Aziz yang juga merupakan ahli PAS seumur hidup.

Menurut Abd Aziz lagi, berdasarkan maklum balas yang diterima, beliau menganggarkan sokongan pengundi Melayu terhadap Dr Nasir meningkat kepada 60 hingga 65 peratus.

Menurut beliau antara pencapaian lima tahun tersebut termasuklah kejayaan mengatasi masalah banjir di Kampung Melayu Subang, penurapan jalan di Seksyen 8, Seksyen 11 Dedap dan Kampung Melayu Subang Tambahan.

OLYMPUS DIGITAL CAMERADr Nasir juga berjaya menjalankan program-program Kerajaan Negeri seperti kelas jahitan, tuisyen rakyat dan aktiviti sosial lain selama lima tahun.

Sementara itu, menurut penduduk Kampung Melayu Subang Tambahan, Amin Shahril, 46, Dr Nasir bukan sahaja cukup dikenali, malah beliau juga mudah dihubungi penduduk setempat ketika diperlukan.

“Dia memang disenangi penduduk sini, merendah diri, mudah mesra tanpa mengira usia dan kedudukan seseorang.

“Dr Nasir juga tidak gemar berkonflik dengan mana-mana pihak untuk menjatuhkan pihak lain, sebab itulah penduduk kampung ini mahukan beliau terus berkhidmat di sini,” kata Amin.

Pertembungan PKR dan PAS di kerusi DUN Kota Damansara sebelum ini dianggap mampu menjejaskan undi pengundi Melayu sekaligus menyebabkan peluang PR untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU-12 pada 2008 lalu.

Categories
SELANGOR

PPR Damansara Tak Perlu Risau, MBPJ Jamin Baiki Kerosakan Tangki Air

PETALING JAYA 10 OGOS: Penduduk Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara tidak perlu lagi bimbang berikutan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) hari ini memberi jaminan akan membaiki kerosakan tangki air yang berlaku di pangsapuri empat blok itu.

Kerosakan tersebut berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pengumpul barangan lusuh mencuri kurungan besi (braket) pada tangki air di empat blok A,B,C dan D pangsapuri tersebut untuk dijual sebagai besi buruk.

Dianggarkan sejumlah 250 keping braket dicuri dari tangki-tangki air yang digunakan oleh 1152 unit kediaman di situ.

Kehilangan braket yang dipercayai berlaku sebelum pintu ke tangki air dikunci dan dipasang ‘grill’ pada Mei tahun ini menyebabkan berlaku kebocoran air di pangsapuri setinggi 18 tingkat setiap satu blok itu.

Setiausaha Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Kamarulzaman Ahmad Noh memberitahu nilai sebenar kerosakan hanya akan diketahui apabil Jabatan Penilaian membuat penilaian terhadap kerosakan yang berlaku ini.

“Jabatan Penilaian akan nilaikan terlebih dahulu, tetapi anggaran kasar untuk mengikat braket baru dijangka melebihi RM100 ribu.

“Sebelum ini MBPJ dan baiki blok A dan selepas ini blok B,C dan D pula.

Menurut jurutera di Jabatan Jurutera MBPJ, Azhar Zakaria, beberapa langkah tambahan sebagai langkah berjaga-jaga juga telah diambil.

“Untuk mengelakan dari dicuri, kita bukan sahaja ikat dengan skru tetapi ia akan dipatri sekali.

“Jadi bila dah dipatri ia memang susah nak dicuri,” kata Azhar.

Sementara itu, menurut Eksekutif Bangunan dari Nilsham Resources, Noraslina Abd Hamid, pada masa ini seramai lima orang anggota keselamatan ditempatkan selama 24 jam sehari di blok-blok terbabit bagi mengelakkan kejadian sama berlaku lagi.

“Dua anggota bertugas malam dan tiga lagi pada waktu siang untuk cegah kecurian dan kejadian jenayah lain,” kata Noraslina.

Noraslina turut mengesa penduduk pangsapuri terbabit agar segera melaporkan kepada pejabat pengurusan harta di blok C atau pengawal bertugas dan polis sekirannya mengesyaki mana-mana pihak yang terlibat dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Categories
SELANGOR

Banyak Masalah Punca Selangor Tolak Alam Flora

KOTA DAMANSARA, 7 APRIL : Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu menyertai skim penswastaan perkhidmatan oleh Kerajaan Pusat menerusi Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) bermula tahun lalu berikutan banyak masalah yang ditimbulkan oleh syarikat berkenaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, hal itu kerana masalah kerja-kerja kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di negeri ini tidak dapat diselesaikan oleh Alam Flora.

Beliau berkata,  Alam Flora juga bersikap lepas tangan dan ‘serah tugas’ kepada orang lain dalam menangani sesuatu masalah sampah di sesuatu tempat.

“Selalunya jika terdapat sesuatu masalah atau aduan dari masyarakat mereka melengahkannya dan bersikap lepas tangan serta hanya pandai memberikan alasan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Zon Bersih Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Sunway Giza.

Hadir sama, Datu Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, MP Subang, R.Sivarasa dan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Abdul Khalid berkata, berdasarkan rekod MBPJ, hampir satu pertiga pendapatan yang dikutip dari cukai pintu iaitu sebanyak RM570 juta dibayar kepada Alam Flora dalam tempoh setahun.

“Tetapi masalah pembersihan dan perlupusan sampah masih tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Tambahnya, daripada jumlah itu juga 30 peratus pembayaran akan diserahkan kepada koordinator Alam Flora, ‘kumpulan goyang kaki’ dan pekerjanya.

“Mereka cuma mendapatkan kontrak kemudian sub kepada orang lain, mereka tidak ada pengalaman dalam bidang ini. Kita tidak mahu orang yang tidak pandai melakukan kerja tapi hanya pandai melobi orang.

“Kerajaan negeri sudah melantik kontraktor yang baru, Alam Flora dulu tidak ada pengalaman sebab itu kita takut, kita tidak mahu lagi orang yang dapat kontrak tetapi tidak pandai buat kerja, itu bukan benda yang baik untuk negara,” katanya.

Jelasnya, setakat ini, hanya empat hingga lima sahaja panggilan aduan dalam masa sehari berbanding 200 panggilan sebelum ini.

Categories
SELANGOR

MBPJ Rancang Banyak Pembangunan Untuk Keselesaan Penduduk

KOTA DAMANSARA 7, APRIL : Selaras dengan pengiktirafan empat bintang daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan pada tahun 2011, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan beberapa projek bagi kemudahan warga Petaling Jaya untuk tahun 2012.

Antaranya, Program Basikal Lane di sepanjang 56 kilometer (km) di kawasan ‘Green Corridor’ yang menghubungkan antara satu taman ke taman lain.

Selain itu, turut dibangunkan program bandaraya ‘Low Carbon City’, rebat cukai taksiran, pemasangan lampu LED di lorong belakang, sistem tadahan air hujan, mewujudkan PJ Walk, program pembangunan urban dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM10 bilion.

Datuk Bandar, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, MBPJ juga akan meningkatkan peranan ‘Road Gang’ bagi memantau jalan di sekitar Petaling Jaya supaya berada dalam keadaan baik.

Katanya, bagi suku tahun pertama ini, MBPJ meluluskan 18 projek dengan keluasan keseluruhannya 3.5 juta kaki persegi dan nilai GDVnya mencecah RM1.7 bilion.

Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan bagi membangunkan kawasan Petaling Jaya sebagai bandaraya ‘non capital city’.

“MBPJ juga akan meneruskan kempen kutu sampah di kawasan Zon Bersih. Semua pemilik kedai dan masyarakat akan dikenakan denda jika membuang sampah merata-rata,” katanya di Majlis Perlancaran Zon Bersih Peringkat MBPJ 2012.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, MP Subang, R Sivarasa dan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Tambahnya, seramai 150 kontraktor dilantik bagi menguruskan sisa pepejal selepas MBPJ mengambil alih pelaksanaan kutipan sampah bermula Mac lalu.

“Seramai 60 pegawai khas dilantik MBPJ bagi mengawasi kontraktor terbabit yang mana kontraktor itu diberikan percubaan selama tiga bulan,” katanya.

Sehubungan itu, MBPJ akan mengatur semula kerja-kerja pembersihan di kawasan komersial yang mana kontraktor yang dilantik akan memulakan kerja pembersihan seawal 4 pagi bagi mengelakkan daripada gangguan dan kesesakan lalu lintas.

“Keadaan ini berbeza dengan kontraktor yang dilantik oleh Kerajaan Pusat sebelum ini,”katanya.

Dalam majlis itu juga, Dataran Sunway dipilih sebagai Zon Bersih peringkat MBPJ 2012.

Program Zon Bersih bertujuan menjadikan negeri Selangor sebagai sebuah negeri bersih berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.