Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Akan Lancar “Kempen Selangorku Bersih” Untuk Bantu SPR

PUTRAJAYA 19 APR : Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan sedia bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha membersihkan daftar pemilih khususnya di negeri Selangor melalui “Kempen SelangorKU Bersih”.

Pengumuman itu dibuat di lobi Ibu Pejabat SPR di sini sejurus selesai pertemuan antara rombongan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi SPR, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Rombongan tersebut turut melibatkan Speaker Speaker Dewan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah SPR Selangor, Dzulkifli Abdul Rahman.

“Kami telah mendengar taklimat SPR dan berbincang pelbagai isu melibatkan pilihanraya termasuk pembersihan daftar pemilih di Selangor yang melibatkan rekod perpindahan kawasan tanpa pengetahuan pengundi.

“Antara lain, kami memaklumkan kepada SPR bahawa Kerajaan Negeri memandang serius pergerakan dan pemindahan pengundi ke dalam Selangor dan mahu SPR mengambil langkah tertentu untuk membersihkan daftar pengundi,” jelas Abdul Khalid.

Dalam pertemuan yang sama juga, beliau memaklumkan kepada SPR usaha-usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk menguatkan demokrasi di Selangor.

“Kita memperuntukkan RM 5 juta untuk Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku.

“Ini inisiatif khusus bagi membolehkan semua pihak tanpa mengira parti politik membuat bantahan jika terdapat mana-mana pengundi yang meragukan,” beritahu Abdul Khalid.

Ketika diminta mengulas pertambahan senarai daftar pengundi yang meragukan di Selangor, beliau menjelaskan Kerajaan Negeri akan membantu pihak SPR memantau perkara berkenaan melalui Kempen Selangorku Bersih.

“Kempen ini akan melibatkan kakitangan Kerajaan Negeri seperti Ketua Kampung dan JKKK untuk membantu memastikan senarai daftar pemilih adalah bersih dan teratur.

“Ini kerana rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang telus dan bertanggungjawab,” jawab Abdul Khalid.

Berhubung dakwaan kononnya Kerajaan Negeri tidak akan menyertai pilihanraya umum semata-mata untuk menggunakan sumber negeri bagi membiayai kempen pilihanraya Pakatan Rakyat di negeri lain, Abdul Khalid enggan mengulas lanjut.

“Exco nak dapat satu sen pun susah, inikan pula hendak bagi dekat negeri-negeri lain,” celah Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali yang berdiri di sebelah Abdul Khalid.

Leave a Reply

Your email address will not be published.