Categories
NASIONAL

Kesal Tindakan Polis Biarkan Samseng Bermaharajalela

KUALA LUMPUR,19 APR: Tindakan samseng meroboh perkhemahan serta memukul mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka awal pagi tadi merupakan amalan keganasan yang tidak bertamaddun.

Manakala tindakan pihak polis yang hanya memerhati dan tidak mengambil tindakan terhadap tindakan samseng yang bermaharajalela terhadap para mahasiswa tersebut amat dikesali.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menyifatkan tindakan tidak bertamandun ini perlu ditangani dengan adil dan diharapkan pihak keselamatan memandang serius perkara ini.

Beliau kesal dengan kejadian tersebut dan menegaskan, meskipun mempunyai percanggahan pendapat terhadap beberapa isu namun hak semua pihak perlu dihormati agar sesuatu isu dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya rayu kepada pihak Umno-BN buat siasatan, ambil tindakan tegas kalau ada ahli mereka yang terlibat. Saya kesal polis dilihat seolah-olah tidak bertindak dengan baikdengan memberikan perlindungan kepada aktivis yang berkumpul di Dataran Merdeka.

“Lebih malang lagi, kenyataan daripada Menteri Pengajian Tinggi yang sungguh tidak bertanggungjawab, seolah-olah kementerian menggalakkan dan membenarkan perlakuan keganasan hanya kerana tidak sehaluan dengan kenyataan kerajaan,” katanya.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke menegaskan, jika benar dakwaan seperti yang dimaklumkan mahasiswa terdapat anggota polis pada kejadian tersebut, maka pihak polis perlu menyiasat perkara ini agar dalang provokasi dibawa ke muka pengadilan.

“Kalau betul dakwaan mereka, ini adalah sesuatu yang dikesali. Polis sepatutnya mengambil tindakan bila ada kekerasan berlaku. Saya berharap pihak Ketua Polis Negara melihat serius perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam percaya pihak polis mampu menjejaki pihak yang terlibat berdasarkan kecekapan pihak keselamatan negara.

Beliau percaya banyak bukti yang bakal diperoleh pihak berkuasa melalui hasil siasatan terperinci berhubung kejadian yang mengecewakan ramai pihak dan mencederakan mahasiswa.

Hari ini merupakan hari keenam Dataran Merdeka berjaya ‘ditakluki’ kumpulan mahasiswa pada 14 April lalu selepas berakhirnya Himpunan Mansuh PTPTN yang berjaya menarik hampir 500  orang penyokong.

Mahasiswa akan terus berada di Dataran Merdeka sehingga 28 April menunggu kehadiran penyokong untuk Himpunan Bersih 3.0 Duduk Bantah bagi menuntut sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

Leave a Reply

Your email address will not be published.