Categories
NASIONAL SELANGOR

Samseng Serang Khemah Mahasiswa Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR 19 APR : Perkampungan mahasiswa di Dataran Merdeka akhirnya ranap diserang sekumpulan samseng awal pagi tadi sehingga menyebabkan seorang daripada mahasiswa terpaksa dimasukkan ke hospital.

Menurut Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Mohd Zaini, sekitar 2.30 pagi mereka didatangi secara mengejut oleh kumpulan samseng yang berjumlah hampir 50 orang yang datang dari dua penjuru.

“Hampir kesemua mereka berbaju hitam masuk ke perkhemahan kami dan bertindak merobohkan kesemua 14 khemah yang didirikan.

“Terdapat pergelutan apabila kami cuba mempertahankan khemah-khemah tersebut sehingga ada daripada kami yang cedera,” jelasnya sambil menambah kejadian tersebut berlaku terlalu pantas sekitar sepuluh minit.

Lebih mengecewakan, beliau memberitahu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis tidak berbuat apa-apa walaupun berada ditempat kejadian.

“Mereka hanya berdiri menjadi pemerhati seolah-olah merestui apa yang dilakukan oleh samseng tersebut.

“Sehingga kami perlu merayu bantuan mereka, barulah mereka bertindak ,” ujar Syahid.

Tambah beliau, satu laporan polis akan dibuat hari ini berhubung insiden serangan samseng awal pagi tadi.

Sejak Sabtu lalu, mahasiswa berkenaan berkampung di Dataran Merdeka bagi menuntut pendidikan percuma dan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Leave a Reply

Your email address will not be published.