Categories
NASIONAL

AMK Selangor Desak Mansuh Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau

PETALING JAYA, 3 MEI : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor mendesak kerajaan pusat khususnya Kementerian Kerja Raya supaya segera memansuh dan menutup operasi Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, desakan itu dibuat ekoran terkesan dengan keluhan rakyat yang dibebani kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau setiap kali melalui Lebuhraya Persekutuan yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, kutipan tol di Lebuhraya Persekutuan yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1993 mengenakan bayaran sebanyak 60 sen (kenderaan kelas 1) di Plaza Tol Batu Tiga dan 50 sen di Plaza Tol Sungai Rasau.

Manakala, bagi lori atau treler, kutipan tol sejumlah RM1.20 dikenakan di Plaza Tol Batu Tiga dan RM1.00 di Plaza Tol Sungai Rasau.

Katanya, selepas hampir 20 tahun beroperasi, kadar kutipan tol di kedua-dua plaza tol ini meningkat hampir dua kali ganda daripada kadar asal iaitu RM1.10 untuk kelas 1 (Batu Tiga) dan RM1 di Sungai Rasau, manakala bagi lori atau treler adalah RM2.20 (Batu Tiga) dan RM2.00 (Sungai Rasau).

“Merujuk kepada Penyata Rasmi Parlimen bagi Dewan Rakyat pada 10 November 1993 di bawah usul MP Klang, Fong Kui Lun (kini MP Bukit Bintang) bertajuk “Kutipan Tol Di Lebuhraya Persekutuan 2 Di Antara Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau”, dinyatakan bahawa kebenaran mengutip tol yang diberikan kerajaan pusat kepada PLUS adalah sehingga tahun 2018.

Operasi kedua-dua plaza tol ini adalah bertujuan untuk memindahkan beban pembayaran kos pembinaan pembesaran Lebuhraya Persekutuan berjumlah RM357 juta kepada rakyat.

Ini seharusnya tidak terjadi memandangkan adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan menyediakan semua kemudahan termasuk lebuhraya untuk manfaat semua rakyat,” tegasnya.

Tambahnya, keuntungan yang diperoleh pihak PLUS menerusi operasi kedua-dua plaza tol ini ternyata mampu menampung semula kos pembesaran Lebuhraya Persekutuan dalam tempoh kurang tiga tahun.

Jelasnya, sekiranya lebih 160,000 kenderaan melalui (pergi dan balik) kedua-dua plaza tol ini setiap hari, sebanyak RM352,000 berjaya dikutip di mana dalam tempoh sebulan, sejumlah RM10.56 juta boleh dikumpul.

“Adalah mustahil sekiranya kos pembinaan pembesaran lebuhraya yang siap pada 1992 ini masih belum berjaya dilunaskan. Setiap hari, ratusan ribu rakyat menggunakan laluan tersebut untuk pelbagai tujuan terutama ke tempat kerja.

Sekiranya mereka menetap di Klang dan bekerja di Kuala Lumpur, sebanyak RM4.20 terpaksa dibelanjakan bagi menampung kos bayaran tol, tidak termasuk kos petrol yang dijual pada harga tinggi.

Justeru, AMK Selangor merasakan sudah tiba masanya untuk kerajaan pusat memansuh serta menutup operasi kedua-dua tol ini pada kadar segera,” ujarnnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.