Categories
NASIONAL

Fitnah Gambar Lucah adalah Ulangan Agenda Jahat Umno-BN

PETALING JAYA, 3 MEI : Penyebaran gambar lucah dan berita meragukan yang cuba mengaitkan kepimpinan tertinggi PKR oleh media arus perdana disifatkan sebagai satu lagi ulangan fitnah jahat kerajaan Umno-BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kata Ketua Wanita PKR Pusat, Zuraida Kamaruddin.

Menurut Zuraida, setelah fitnah jahat dilempar tanpa pertimbangan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini Umno-BN menggunakan taktik sama kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Zuraida berkata, keadaan itu dengan jelas adalah satu percubaan terdesak Umno-BN untuk mengalih perhatian dari krisis hilang kepercayaan rakyat kepada parti itu yang semakin ketara sejak perhimpunan BERSIH 3.0, 28 April lalu.

“Saya ingin mengingatkan kepada tukang fitnah dan penyebar fitnah jahat ini, kami PKR Selangor dengan ini akan istiqamah malah bertambah yakin untuk terus menyokong penuh kepimpinan Azmin Ali sebagai penerus agenda perubahan ke Putrajaya.

Inilah satu titik tolak penting kepada seluruh akar umbi PKR Selangor untuk terus bersatu dalam mengharung bahana celaka fitnah jahat yang dibawa oleh tukang fitnah upahan Umno-BN.

Kami percaya ini merupakan peluru terakhir fitnah Umno-BN kepada kepimpinan tertinggi PKR sebelum Dewan Rakyat dibubarkan dan seterusnya membuka laluan kepada PRU-13,” katanya.

Zuraida menegaskan demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Biro PeneranganPKR Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata, mainan politik kotor Umno-BN tidak akan mendapat restu rakyat malah terus mengundang kebencian terhadap parti itu.

Tambahnya, fitnah jahat yang dilemparkan itu juga hanya untuk menutup kesalahan dan penyelewengan yang dilakukan pimpinan Umno-BN selama ini.

Ia termasuk penyelewengan RM250 juta oleh NFC yang berkait dengan seorang bekas Menteri Wanita Umno, penggadaian tanah rezab melayu oleh pemimpin Umno-BN Selangor dan pengkhianatan bekas Menteri Besar Selangor terhadap rakyat.

“Rakyat sudah mual dan benci dengan fitnah jahat murahan sebegini. Mereka (Umno-BN) boleh menggunakan wang dan segala bagai teknologi canggih untuk membuat fitnah.

Walau apa pun berlaku, PKR Selangor akan terus mendokong perjuangan “Demi Rakyat” agar segala janji dikota dan segala pelaksanaan program untuk rakyat Selangor akan terus dilaksanakan,” kata beliau dalam satu sidang media.

Leave a Reply

Your email address will not be published.