Categories
NASIONAL

SUHAKAM Kecewa Insiden Kekasaran Polis

SHAH ALAM,3 MEI : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) amat kecewa dan bimbang dengan pelbagai insiden yang dilaporkan berlaku semasa perhimpunan awam BERSIH 3.0pada 28 April 2012.

Ini termasuk laporan pasukan pemantau Suhakam, khususnya dakwaan pengendalian yang terlalu kasar dan secara membuta tuli oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata Suruhanjaya juga terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media.

“Penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional,” katanya dalam kenyataan media.

Hasmy berkata, walaupun Suhakam telah beberapa kesempatan menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur perhimpunan agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan dapat dicapai, namun, tawaran tersebut telah ditolak.

“Suruhanjaya juga telah beberapa kali menyeru pihak berkuasa untuk membenar dan memudahkan orang ramai untuk berhimpun secara aman.

“Suhakam juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minima,” ujar beliau.

Tambah Hasmy,peserta di perhimpunan yang seumpama di beberapa tempat lain seperti Georgetown, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu telah dibenarkan untuk berhimpun dan bersurai secara aman, teratur dan bertanggungjawab tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku merupakan satu testimoni kepada kebolehlaksanaan langkah-langkah tersebut.

“Suruhanjaya ingin mengulangi pendiriannya bahawa ia mengakui keamanan dan kestabilan adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam perlu dikekalkan pada setiap masa,” katanya.

Hasmy menegaskan,hak-hak itu adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta Akta Perhimpunan Aman 2011 dan juga Perkara 19 UDHR mengenai kebebasan mengeluarkan pendapat.

“Suruhanjaya menyeru orang ramai, pihak media serta pihak berkuasa yang berkaitan yang telah menyaksikan sebarang pelakuan atau insiden mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa perhimpunan 28 April 2012 untuk mengemukakan maklumat, dokumen lain dan bukti yang berkaitan kepada Suruhanjaya untuk siasatan,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan serta pengemukaan maklumat dan dokumen, sila hubungi:

Kumpulan Aduan, Inkuiri dan Pemantauan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tingkat 11, Menara TH Perdana Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur.
Tel: 03-2612 5600; Faks: 03-2612 5694/5620
Emel: [email protected] / [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published.