Categories
SELANGOR

Kejohanan Futsal Jelajah Selangor 2012 Tonjolkan Bakat Lebih Tinggi


AMPANG 5 MEI : Setelah 20 minit bertarung sengit, akhirnya pasukan futsal wanita, REM FC A berjaya mengenepikan pasukan Pan Catola dengan keputusan 1-0 untuk merebut gelaran Juara Kategori Wanita bagi Kejohanan Futsal Jelajah Selangor 2012.

Perlawanan itu merupakan antara aksi menarik dalam siri kejohanan anjuran Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Selangor yang diadakan di Sports Planet di sini petang tadi.

Sementara itu, pasukan MG 2B memenangi kategori lelaki apabila mengenepikan saingannya, Kiddo FC dalam pusingan tendangan penalti setelah seri satu sama.

Pemenang kategori lelaki menerima wang tunai RM 5,000 dan piala iringan manakala juara kategori wanita membawa pulang wang tunai RM 3,000 berserta piala iringan.

Selain perlawanan akhir, orang ramai yang hadir turut berpeluang menyaksikan perlawanan antara pasukan jemputan yang diungguli Kedah B menewaskan pasukan jemputan lain seperti pasukan Kedah A, Kelantan dan TVSelangor.

Turut mencuri tumpuan ramai ialah perlawanan persahabatan antara pasukan Pilihan YB Exco dengan pasukan Artis Tempatan yang berkeputusan 2-1.

Kejohanan tersebut turut dihadiri Exco Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi, MP Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

Dr. Yunus dalam ucapan penutupnya menyifatkan penganjuran kali ini berjaya mencapai matlamat untuk melibatkan golongan belia dan anak muda dalam aktiviti yang mampu melonjakkan prestasi mereka khususnya dalam bidang sukan.

“Saya melihat kejohanan kali ini menunjukkan peningkatan yang besar dari segi bakat dan kebolehan yang tonjolkan pada hari ini.

“Mereka juga memperlihatkan kita bakal-bakal calon atau bintang yang akan mewakili negeri Selangor atau negara satu hari nanti,” ujar Dr. Yunus.

Majlis kejohanan hari ini yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) menyaksikan 24 pasukan lelaki dan 24 pasukan wanita daripada seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berentap merebut gelaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published.