Categories
NASIONAL

PKR : Tubuh Tribunal Siasat Pengerusi SPR Langgar Perlembagaan Persekutuan

SHAH ALAM, 10 MEI: PKR hari ini menghantar sepucuk surat kepada Pejabat Perdana Menteri bagi menggesa sebuah tribunal ditubuhkan untuk menyiasat perlanggaran Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang akhbarnya petang ini, perlanggaran perlembagaan tersebut berlaku apabila didapati Aziz masih lagi menganggotai parti Umno.

“Ini adalah susulan daripada kenyataan yang dibuat oleh YB Sivarasa dan Rafizi(Ramli) dua hari lepas yang memberikan perincian perlanggaran Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan yang menyebut dengan jelas tidak boleh seseorang yang menganggotai SPR untuk turut menjadi anggota kepada mana-mana pertubuhan,” kata Saifuddin.

Menurut Saifuddin, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam juga mengukuhkan lagi keyakinan mereka bahawa pengerusi SPR itu masih lagi seorang ahli Umno yang sah.

“Cuma alasan Nazri, Aziz bukan lagi menjadi ahli sebab dia sudah lama tidak membayar yuran.

“Apabila Nazri mengesahkan mengenai status Aziz pernah menjadi ahli cuma dah lama tak bayar yuran tahunan atau dibayar oleh orang lain ia tidak menafikan sama sekali status keanggotaan Aziz sebagai ahli Umno.

“Kenyataan Nazri itu mengukuhkan dan menambah yakinkan kita lagi bahawa dakwaan asal kita iaitu Pengerusi SPR adalah seorang ahli Umno,” katanya lagi.

Saifuddin menjelaskan, keahlian seseorang dalam Umno tidak akan terbatal atau terlucut sekirannya seseorang itu tidak menjelaskan yuran tahunan parti itu, tetapi ia hanya menjadikan seseorang itu hilang kelayakan untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat agung samada di peringkat cawangan, bahagian atau perhimpunan agung.

Saifuddin juga memberitahu, dengan hanya membayar sekali sahaja yuran keahlian semasa mendaftar sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu kekal sebagai ahli Umno selagi beliau tidak dipecat keahliannya atau pun menulis surat mengisytihar keluar parti.

Selain itu, Pengerusi SPR itu sekali lagi didapati melanggar Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan apabila beliau gagal mengumumkan status keahliannya dalam mana-mana pertubuhan dalam jangkamasa tiga bulan pertama perlantikan beliau sebagai Pengerusi SPR.

“Mengikut Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan menyebut ‘kepercayaan awam adalah tunggak utama’, di samping perincian bahawa dalam tempoh tiga bulan selepas perlantikan dibuat oleh Yang DiPertuan Agong, seorang anggota SPR itu mestilah tampil memaklumkan status dia, samada dia ada menganggotai mana-mana pertubuhan atau tidak.

“Dalam kes ini, Aziz tidak mengisytiharkan, tidak berbuat demikian, dengan ini memberi kita alasan yang cukup kuat untuk meminta sebuah tribunal menyiasat perlanggaran Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan oleh SPR segera dimulakan,” jelasnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.