Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri umum barisan Kabinet 11 pagi esok – Pejabat PM

SHAH ALAM, 26 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan pembentukan barisan Kabinetnya pada jam 11 pagi esok.

Sementara itu, majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri akan berlangsung pada jam 2.30 petang Isnin depan, menurut Pejabat Perdana Menteri seperti dilapor Malaysiakini.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang bahawa Ismail Sabri akan mengumumkan senarai Kabinet, petang ini selepas senarai cadangannya mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Namun pejabatnya memaklumkan tiada pengumuman barisan Kabinet oleh Ismail Sabri hari ini, lapor Bernama.

Ismail Sabri hari ini menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Abdulaziz, di Kuantan dipercayai bagi mempersembahkan cadangan senarai nama menteri Kabinet.

Beliau dilihat memasuki perkarangan istana pada jam 10.53 pagi dengan diiringi oleh tiga kenderaan lain dan kawalan polis trafik.

Kenderaan dinaiki beliau beredar dari istana pada jam 1.38 tengah hari dan Ismail Sabri sempat melambaikan tangan kepada wartawan dan jurufoto yang menanti di laluan utama ke Istana Abdulaziz.

Turut bersama perdana menteri ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemimpin utama PAKATAN jumpa Perdana Menteri hari ini

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pemimpin utama Pakatan Harapan (PAKATAN) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada jam 2 petang hari ini.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fahmi Fadzil menerusi hantaran Twitter berkata pertemuan itu merupakan jemputan daripada Pejabat Perdana Menteri.

“Jam 2 petang ini akan berlangsung pertemuan di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim (presiden KEADILAN), Mohamad Sabu (presiden Amanah) dan Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP) bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri,” tulisnya.

Sebelum ini, PAKATAN memaklumkan gabungan itu akan mempertimbang tawaran Ismail Sabri untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Majlis Presiden dalam kenyataan berkata penyertaan itu bukan sekadar tangkap muat atau menjadi “rubber stamp” kepada pandangan kerajaan tetapi dibuat secara ikhlas dalam menangani pandemik dan kemelesetan ekonomi.

Katanya, perkara itu akan diputuskan dalam pertemuan pemimpin utama parti gabungan itu dengan ketua pembangkang dalam masa terdekat selain menjemput mereka menyertai atau bekerjasama dengan PAKATAN.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN sifatkan kenyataan Pejabat PM derhaka terhadap Raja Perlembagaan

SHAH ALAM, 30 JULAI: Kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kepada Istana Negara disifatkan angkuh dan biadab, bahkan suatu penderhakaan terhadap sistem Raja Berpelembagaan.

Menganggap kenyataan itu umpama “menegakkan benang yang basah”, Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PAKATAN) berkata PMO turut mempertikai titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PAKATAN menegaskan Seri Paduka Baginda jelas belum memberi perkenan pembatalan Ordinan Darurat, justeru Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

“Oleh itu, kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri semalam adalah angkuh dan biadab terhadap Ketua Utama Negara, menderhakai Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen,” menurut kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Semalam, PMO membuat kenyataan bahawa kerajaan sudah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat sebelum sidang khas parlimen diadakan pada 26 Julai lalu.

Kenyataan itu juga menyebut  Seri Paduka Baginda “perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri” berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa “amat dukacita” dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjawat awam terima bantuan khas Aidilfitri RM500

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 untuk penjawat awam yang akan dibayar bersama gaji pada 6 Mei depan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pesara pula akan menerima RM250.

Bantuan itu akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara.

“Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP dan RM250 kepada pesara kerajaan.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, pengumuman pemberian Bantuan Khas Aidilfitri itu dibuat lebih awal berbanding tahun sebelumnya sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam dan pesara membuat persiapan awal untuk meraikan Aidifitri.

“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini (akan) dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” demikain menurut kenyataan itu lagi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia gantung sementara kemudahan imigresen rakyat Wuhan, Hubei

SHAH ALAM, 27 JAN: Kerajaan Malaysia menggantung sementara semua kemudahan imigresen dan visa manual kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di China dan ia berkuat kuasa serta merta.

“Kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan, e-visa dan visa manual akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal.

“Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama kerajaan China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata sejak timbulnya kes jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di China minggu lalu, Malaysia mengikut prosedur ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Katanya, kerajaan juga mendapat nasihat pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan ini daripada merebak dengan meluas.

“Pemantauan dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sah atau palsu berkenaan jangkitan itu yang boleh mencetuskan panik kepada masyarakat.

Pejabat PM takut terima memorandum macam takut terima bom!

Categories
NASIONAL SELANGOR

RON95, diesel naik 20 sen seliter, hadiah BN kepada rakyat

20petrol_m_mKUALA LUMPUR 2 SEPT: Kerajaan Umno BN menghadiahkan kepada rakyat kenaikan harga minyak, yang dilihat akan terus membebankan rakyat di negara ini, lapor Keadilan Daily.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan diesel dan minyak petrol RON95 naik 20 sen seliter mulai tengah malam ini.

Najib mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebentar tadi.

Pengumuman berkenaan disifatkan sebagai hadiah PRU kepada rakyat, khususnya kepada ahli Umno dan BN yang mengundi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Sejak Najib menjadi PM pada April 2009, kenaikan Ron 95 ini adalah yang ketiga. Sebelum ini, pada 16 Julai 2010 harga minyak itu naik 5 sen menjadi RM 1.85 seliter dan pada 3 Disember 2010 naik lagi 5 sen menjadi RM 1.90/liter.

Manakala kenaikan Diesel itu pula sebanyak empat kali. Masing-masing pada RM1.70 seliter pada 1 September 2009, RM1.75 (16 Julai 2010), RM1.80 (3 Disember 2010) dan kini terus melonjak menjadi RM2.00 seliter.-keadilandaily.com.

Categories
NASIONAL

PKR : Tubuh Tribunal Siasat Pengerusi SPR Langgar Perlembagaan Persekutuan

SHAH ALAM, 10 MEI: PKR hari ini menghantar sepucuk surat kepada Pejabat Perdana Menteri bagi menggesa sebuah tribunal ditubuhkan untuk menyiasat perlanggaran Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang akhbarnya petang ini, perlanggaran perlembagaan tersebut berlaku apabila didapati Aziz masih lagi menganggotai parti Umno.

“Ini adalah susulan daripada kenyataan yang dibuat oleh YB Sivarasa dan Rafizi(Ramli) dua hari lepas yang memberikan perincian perlanggaran Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan yang menyebut dengan jelas tidak boleh seseorang yang menganggotai SPR untuk turut menjadi anggota kepada mana-mana pertubuhan,” kata Saifuddin.

Menurut Saifuddin, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam juga mengukuhkan lagi keyakinan mereka bahawa pengerusi SPR itu masih lagi seorang ahli Umno yang sah.

“Cuma alasan Nazri, Aziz bukan lagi menjadi ahli sebab dia sudah lama tidak membayar yuran.

“Apabila Nazri mengesahkan mengenai status Aziz pernah menjadi ahli cuma dah lama tak bayar yuran tahunan atau dibayar oleh orang lain ia tidak menafikan sama sekali status keanggotaan Aziz sebagai ahli Umno.

“Kenyataan Nazri itu mengukuhkan dan menambah yakinkan kita lagi bahawa dakwaan asal kita iaitu Pengerusi SPR adalah seorang ahli Umno,” katanya lagi.

Saifuddin menjelaskan, keahlian seseorang dalam Umno tidak akan terbatal atau terlucut sekirannya seseorang itu tidak menjelaskan yuran tahunan parti itu, tetapi ia hanya menjadikan seseorang itu hilang kelayakan untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat agung samada di peringkat cawangan, bahagian atau perhimpunan agung.

Saifuddin juga memberitahu, dengan hanya membayar sekali sahaja yuran keahlian semasa mendaftar sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu kekal sebagai ahli Umno selagi beliau tidak dipecat keahliannya atau pun menulis surat mengisytihar keluar parti.

Selain itu, Pengerusi SPR itu sekali lagi didapati melanggar Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan apabila beliau gagal mengumumkan status keahliannya dalam mana-mana pertubuhan dalam jangkamasa tiga bulan pertama perlantikan beliau sebagai Pengerusi SPR.

“Mengikut Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan menyebut ‘kepercayaan awam adalah tunggak utama’, di samping perincian bahawa dalam tempoh tiga bulan selepas perlantikan dibuat oleh Yang DiPertuan Agong, seorang anggota SPR itu mestilah tampil memaklumkan status dia, samada dia ada menganggotai mana-mana pertubuhan atau tidak.

“Dalam kes ini, Aziz tidak mengisytiharkan, tidak berbuat demikian, dengan ini memberi kita alasan yang cukup kuat untuk meminta sebuah tribunal menyiasat perlanggaran Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan oleh SPR segera dimulakan,” jelasnya.