Categories
NASIONAL SELANGOR

SAMM Desak Polis Ambil Tindakan Ke Atas Anggota Yang Merusuh Semasa BERSIH 3.0

KUALA LUMPUR, 7 MEI :  Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)  mendesak polis untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap beberapa anggota mereka yang melakukan rusuhan ke atas orang awam semasa perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung 28 April lalu.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya tidak menyalahkan mana-mana  anggota polis yang bertugas semasa perhimpunan itu, namun tindakan perlu diambil bagi menjaga hubungan polis dan orang awam.

Menurutnya, polis juga perlu memberi jaminan untuk menyiasat pihak-pihak tertentu yang dilihat cuba membuat dakwaan tidak berasas ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0.

“Kami tidak menyalahkan anggota polis semasa perhimpunan itu. Apa yang berlaku ialah polis dan orang awam menjadi mangsa.

?Kami tidak halang polis menjalankan proses tindakan undang-undang jika berlaku jenayah, tetapi kami desak pihak polis ambil tindakan kepada anggota yang merusuh pada hari itu,” kata Badrul Hisham atau yang juga dikenali sebagai ?Chegubard?.

Perkara itu dinyatakan Badrul Hisham semasa menyerahkan memorandum ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini bagi mendesak pihak polis yang melakukan kekerasan supaya menyerah diri.

Memorandum itu antara lain turut mengandungi beberapa keping gambar yang menunjukkan anggota polis mengkasari peserta himpunan BERSIH 3.0.
“Polis perlu menyiasat khabar angin yang kononnya mendakwa ada anggota polis meninggal dunia semasa perhimpunan itu. Para blogger Umno yang menyebarkan perkara itu perlu dipanggil dan disiasat,” jelasnya.

Dalam pada  itu, suasana penyerahan memorandum hari ini menjadi tegang apabila kumpulan anti-BERSIH 3.0, cuba menghalang SAMM. Kumpulan anti-BERSIH 3.0 itu meluangkan sorakan “pengkhianat negara” dan kata-kata kesat terhadap aktivis SAMM.

Bagaimanapun, anggota polis menghalang dua-dua kumpulan tersebut daripada saling mendekati.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.