Categories
NASIONAL

Lau Weng San : Turunkan Harga Petrol Ron 95

SHAH ALAM 8 JUN : Kerajaan Pusat perlu menurunkan harga petrol Ron 95 ekoran kejatuhan harga minyak di peringkat antarabangsa.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, pengumuman Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa harga petrol Ron 97 diturunkan 10 sen seliter disebabkan harga minyak mentah antarabangsa jatuh di bawah paras USD100 setong.

“Apa yang mengecewakan rakyat Malaysia ialah harga minyak Ron 95 tidak diturunkan serentak dengan kejatuhan harga minyak mentah antarabangsa,” kata Weng San dalam kenyataan medianya.

Jelas Weng San, Ron 97 merupakan bahan api yang harganya ditentukan oleh ‘sistem apungan terurus’, iaitu harganya akan turun naik mengikut harga minyak mentah antarabangsa di mana Kerajaan Pusat tidak memberi sebarang bentuk subsidi dan pelepasan cukai kepada petrol ini.

Malahan mulai 1 Ogos 2010, Kerajaan Pusat melarang kenderaan asing daripada membeli petrol Ron 95 kerana petrol ini diberi subsidi oleh kerajaan.

Kenderaan asing hanya dibenarkan untuk mengguna petrol Ron 97 yang lebih mahal.

Mengikut apa yang dipaparkan di kebanyakan stesyen minyak seluruh negara, harga sebenar minyak Ron 95 termasuk cukai ialah RM3.53 seliter, manakala harga sebenar diesel termasuk cukai ialah RM3.26 seliter.

Harga runcit Ron 95 dan diesel masing-masing ialah RM1.90 seliter dan RM1.80 seliter, di mana Kerajaan Pusat memberi pelepasan cukai dan subsidi sebanyak RM1.63 seliter dan RM1.46 masing-masing kepada Ron 95 dan diesel.

“Masalahnya, adakah harga runcil petrol Ron 97 dijual betul-betul mengikut harga pasaran antarabangsa.

“Jika betul Ron 97 dijual mengikut harga pasaran antarabangsa, mengapakah harga jualannya pada masa sekarang (RM2.80 seliter) jauh lebih murah daripada harga sebenar Ron 95, iaitu RM3.53 seliter?,” soal Weng San.

Ujarnya lagi, harga Ron 97 yang berada di tahap RM2.80 seliter ini juga jauh lebih rendah daripada harga jualan diesel tanpa subsidi (RM3.26 seliter).

“Mengapakah Ron 97 boleh dijual dengan harga yang lebih murah daripada Ron 95 dan diesel?

“Jika tidak, apakah jenis ‘sistem apungan terurus’ yang diguna Kerajaan Pusat sehingga Ron 97 dijual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding Ron 95 dan diesel,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.