Categories
SELANGOR

Mangsa Ribut Gembira Kerajaan Selangor Bantu Baiki Rumah

SHAH ALAM 18 JUN : Penduduk di Pangsapuri Teratai, Taman Bukit Subang menarik nafas lega apabila kerja-kerja pembaiki bumbung di perumahan itu siap sepenuhnya.

Kerja-kerja membaiki bumbung pangsapuri ini dilakukan dibawah Program Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) selepas kejadian ribut yang melanda kawasan itu 7 Februari lalu.

 

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB), Shariful Noor Abd Ghaffar berkata, kerja membaiki itu siap sepenuhnya dua minggu lepas dan ia melibatkan bumbung, siling dan pendawaian semula dilakukan.

Katanya, dia amat bersyukur dan berterima kasih terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu memberi kesejahteraan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya tanpa bantuan dan keprihatinan Kerajaan Negeri, penduduk di kawasan tersebut mungkin tidak mampu membaiki kerosakan rumah akibat daripada bencana alam itu.

Selain itu, penduduk, Roshidah Daud, 35, bersyukur kerana keluarganya kini dapat tinggal di rumahnya semula.

Beliau sekeluarga sebelum ini tinggal di rumah jirannya yang terletak di tingkat tiga bangunan terbabit.

Menceritakan kejadian itu, Roshidah berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dia bersama tiga anaknya terpaksa bersembunyi dalam bilik untuk menyelamatkan diri ketika berlakunya ribut itu.

?Dalam keadaan yang mencemaskan itu saya bersama tiga anak berada di dalam bilik kedua ketika bumbung rumah tercabut. Saya tidak fikir apa-apa selain keselamatan anak-anak kerana suami tidak ada di rumah,? ceritanya yang ketika beliau mengandung sembilan bulan.

Beliau juga tidak sempat untuk menyelamatkan barangan peribadi dan hanya memikirkan tentang keselamatan anak-anak.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri, Iskandar Samad ketika melawat pangsapuri Teratai, Melur, Melati dan Cendana yang sudah dibaik pulih.

Dalam kejadian ribut itu membabitkan lebih kurang 100 penghuni dan pangsapuri Teratai mengalami kerosakan paling teruk bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jelas Iskandar lebih RM200,000 dibelanjakan untuk baik pulih semua kerosakan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.