Categories
NASIONAL

Abdul Khalid Cadang Pemaju kemuka Pelan Sebelum Buat Pembangunan

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memastikan syarikat pemaju yang dilantik mengemukakan pelan pembangunan sebelum memutuskan cadangan pembangunan diteruskan atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, setiap perancangan pembangunan perlu ada nilai pembangunan kasar supaya penduduk dan pemaju akan mendapat manfaat keuntungan daripada projek berkenaan.

“Saya ingat penduduk pangsapuri itu masih belum faham tentang pengagihan. Cara terbaik yang boleh dilakukan oleh Kemeterian Wilayah iaitu menunjukkan pelan perancangan pembangunan yang telah dibuat oleh syarikat yang telah dilantik,” katanya.

Abdul Khalid dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam bertanya kepada Menteri Wilayah, Datuk Seri Raja Nong Chik berhubung jenis pembangunan semula yang dirancang untuk perumahan kos rendah Bandar Tun Razak.

Raja Nong Chik dalam jawapannya memaklumkan cadangan pembangunan di Bandar Tun Razak tidak melibatkan mana-mana pangsapuri sebaliknya ke atas tapak perumahan pangsa kos rendah di Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas.

Pembangunan perumahan rakyat berkualiti dalam konsep pembangunan semula bandar melibatkan 5,668 unit rumah pangsa kos rendah dengan satu atau dua bilik tidur di atas tapak perumahan seluas 132.2 ekar milik DBKL.

Syarikat Tradewinds Corporation Bhd dan SP Setia Berhad akan bertanggungjawab membangunkan projek berkenaan setelah mendapat persetujuan Majlis Ekonomi Negara (EC) bBil. 12/2011 pada 2011.

Beliau menambah, setakat ini pihaknya sudah melakukan enam kali perbincangan bersama penduduk berhubung perkara berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.