19 Pesara MBPJ Yang Berkhidmat Lebih Tiga Dekad Terima Penghargaan

PETALING JAYA, 14 JUL : Mereka di antara 117 warga kerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang diraikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Sivik MBPJ malam tadi.

Seorang pesara, Ramathas Alagan, 60, berkata, beliau mula berkhidmat pada Januari 1978 sebagai Pembantu Tadbir di Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPJ.

“Saya mendapat pelbagai pengalaman dan kenangan manis semasa berkhidmat di sini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada warga kerja MBPJ untuk terus maju di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan di majlis itu.

Pesara dari Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan, Hassan Tambah, 58, mengucapkan terima kasih di atas penghargaan yang diberikan MBPJ kepadanya.

“Walaupun saya ini orang lama, ternyata MBPJ tidak melupakan sumbangan kakitangannya yang telah lama berkhidmat disini,” ujarnya yang memulakan perkhidmatan bersama MBPJ sejak 1977 lagi.

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 dan Penghargaan Pesara 2012 itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan dihadiri Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Mohamed Khusrin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pesara yang diraikan di atas bakti yang diberikan bermula dari awal dilantik sehingga ke akhir perkhidmatan.

“Sesungguhnya, jasa yang ditaburkan para pesara ini amat besar maknanya dan akan terus dikenang di MBPJ,” katanya.

Dalam majlis yang sama, 117 warga kerja MBPJ daripada pelbagai jabatan turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 berupa sijil penghargaan dan wang tunai.

Leave a Reply

Your email address will not be published.