Categories
SELANGOR

Kerajaan Perlu Mohon Maaf Kepada Bersih 2.0

SHAH ALAM,24 JULAI : Kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional digesa untuk meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kepada ribuan rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 itu.

Pengarah Jabatan Undang-undang Dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS (Juham), Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi berkata, keputusan Mahkamah Tinggi hari yang membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) adalah sebuah pertubuhan ‘haram’ disambut dengan penuh rasa gembira dan bersyukur

“Pada hari ini telah memberikan satu dimensi yang baru kepada hak asasi di Malaysia di mana ia membuktikan intitusi kehakiman di Malaysia seharusnya bebas daripada sebarang cengkaman Kerajaan Umno- BN,” kata Zamri dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, penat lelah dan pengorbanan rakyat Malaysia yang dilimpahi dan dihujani dengan gas pemedih mata serta air berasid ketika menyertai perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu akhirnya menerima khabar berita yang cukup menggembirakan ini.

Malah para peserta himpunan Bersih 2.0 turut dibelasah pihak polis tanpa belas kasihan, sehinggakan salah seorang daripada peserta yang diserbu polis ketika himpunan Bersih 2.0 tersebut iaitu Allahyarham Baharuddin Ahmad telah meninggal dunia.

Ujarnya, Kerajaan Umno-BN turut bertindak zalim apabila mengarahkan pihak polis melancarkan operasi penahanan habis-habisan terhadap individu-individu tertentu sebelum berlakunya perhimpunan Bersih 2.0 tersebut.

“Institusi Kehakiman haruslah dilihat konsisten dalam memastikan mereka dilihat adil dan bebas serta tidak dijadikan alat oleh Kerajaan Umno-BN supaya Institusi Kehakiman di Malaysia benar-benar dilihat adil dan bebas sepenuhnya.

“Keputusan mahkamah hari ini juga boleh dilihat sebagai suatu penghargaan kepada perjuangan murni seluruh rakyat Malaysia yang tidak gentar dan jemu berterusan berjuang dalam menuntut suatu pilihan raya yang adil dan bersih di Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.