Categories
NASIONAL

Rumah Kos Rendah Mampu Milik Perlu Di Utamakan

PETALING JAYA, 24 JULAI : Pembinaan rumah kos rendah mampu milik serta penjagaan alam sekitar sihat yang menjadi pilihan majoriti warga bandaraya perlu diberi keutamaan sebagai cadangan untuk dilaksanakan dalam bajet Selangor 2013.

Pelaksanaannya dianggap berpatutan berikutan taraf kehidupan tinggi masyarakat di situ dan pembangunan pesat bandaraya yang memerlukan mereka menjalani kehidupan lebih fleksibel bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Penasihat Gabungan Persatuan Penduduk Petaling Jaya, Liew Wei Beng berkata, penduduk memerlukan banyak kemudahan asas dengan perhatian Kerajaan Negeri supaya menyediakan pelbagai kemudahan diinginkan.

“Kerajaan Negeri diharap dapat memenuhi keperluan ini demi rakyat. Selain itu isu penjagaan alam sekitar juga harus dititikberatkan biarpun bandaraya ini mengalami pembangunan pesat. Kita yakin ia mampu dilaksanakan dengan langkah Kerajaan Negeri yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai terus utama. Sebagai contoh dailog bajet 2013 yang kali pertama diadakan ini juga adalah bagus dan pendekatan terpuji oleh Kerajaan Negeri.

“Dalam isu ini apa yang penting adalah pelaksanaannya. Kerajaan Negeri sesungguhnya amat memerlukan pandangan rakyat dan kita sebagai rakyat akan membantu apa yang perlu demi kebaikan bersama,” kata Liew kepada TVSelangor selepas Majlis Dialog Bajet Selangor 2013 peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dalam majlis tersebut turut mencadangkan orang ramai terutama golongan belia diutamakan dalam program pembangunan tempatan seperti program keusahawanan menerusi bantuan mikro kredit.

Isu pungutan sampah turut diberi perhatian dalam majlis tersebut yang mana pihak berkuasa diminta menguruskannya menerusi sistem penyelenggaraan yang lebih menguntungkan dengan kos minimum.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong berkata sesi dialog dijayakan itu adalah langkah Kerajaan Negeri bagi menarik penyertaan rakyat Selangor dalam pembangunan negeri itu.

Menurutnya, setiap pandangan dikemukakan akan diberi perhatian dan dipertimbangkan Kerajaan Negeri untuk disenaraikan dalam bajet Selangor 2013.

“Kita membuat dailog ini di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya rakyat terlibat dalam pelaksanaan bajet negeri ini. Setiap pandangan dikemukakan dalam majlis ini akan diteliti dan dipertimbangkan untuk dilaksanakan dalam bajet pada tahun depan. Sekiranya tidak, ia mungkin akan dijayakan pada tahun-tahun akan datang.

“Dalam proses menyediakan bajet negeri, Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan) memerlukan maklum balas serta input dari rakyat berhubung penambahbaikan dan pelaksanaan aktiviti sosial ekonomi di kawasan PBT masing-masing,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap ADUN Taman Medan, Haniza Talha dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Leave a Reply

Your email address will not be published.