Categories
SELANGOR

MB: PKNS Perlu Bersaingan Di Pasaran Terbuka

SHAH ALAM, 12 JULAI : Perbandaran Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetap menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat menerusi hasil keuntungan diraih dalam pelbagai projek pembangunan dijalankan di seluruh Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini berkata sejak projek penswastaan tidak diteruskan melibatkan pihak swasta, PKNS perlu bersaing di pasaran terbuka dan membuat keuntungan daripada saingan tersebut.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menyalurkan hasil diperolehi dari keuntungan itu kepada beberapa projek tertentu mengikut keperluan bagi golongan yang tidak mempunyai tanah atau yang berpendapatan rendah.

“Hasil dari keuntungan itu, kita gunakan bagi projek pembangunan yang tertumpu kepada golongan mereka yang tidak mempunyai tanah atau pendapatan yang sepatutnya. Ia penting untuk kebajikan rakyat contohnya macam projek di Bukit Botak yang telah dijalankan,” katanya.

Menjawab pertanyaan ditimbulkan Sulaiman Abdul Razak (Permatang – BN) yang mempersoalkan tindakan PKNS menjual hasil pembangunannya seperti rumah teres melebihi RM200 ribu hingga lebih RM1 juta yang membelakangkan rakyat berpendapatan rendah.

Abdul Khalid berkata, bersaing di pasaran terbuka maka PKNS perlu menetapkan harga jualan berdasarkan harga pasaran.

“Bila bersaing dalam pasaran biasa, nilainya ditentukan oleh harga pasaran maka itu sangat penting kalau kita mahu bersaing dalam pasaran. Kenapa pihak swasta dapat menjual dengan harga tersebut dan PKNS tidak dapat menjual dengan harga sama.

“Apabila PKNS buat jualan yang ada potongan hingga potongan yang melampau, terdapat beberapa keadaan yang spekulasi dan kata salahgunakan peruntukan tersebut jadi kita buat keputusan biarkan harga itu kekal begitu,” katanya.

Abdul Khalid berkata, sejak lebih 40 tahun lalu, PKNS tidak meraih keuntungan yang tinggi biarpun terlibat serta menjalankan pelbagai projek pombangunan di negeri ini.

Tambahnya, apabila PKNS mula bersaing di pasaran terbuka mengikut harga pasaran yang sepatutnya maka keuntungan diperolehi adalah lebih dari sebelumnya.

“Maka kita boleh buat kedua-duanya sekali iaitu bersaing di pasaran dan juga menolong mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.