Categories
NASIONAL

MB : Saya Tak Mahu Layan MCA, Tunggu Laporan Akauntan Bertauliah

PETALING JAYA, 21 JULAI : Menteri Besar Selangor menganggap siri tuduhan yang dilemparkan MCA sebagai rhetorik politik kerana kenyataan parti Umno-BN itu tidak konsisten dan sering berubah-ubah.

Oleh itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya mahu menunggu jawapan daripada firma yang telah dilantik untuk menjalankan audit terhadap proses kutipan hutang Talam bagi menyangkal tuduhan Umno-BN.

“Saya sudah beritahu sebagai professional, saya telah minta akautan bertauliah untuk buat rekod itu dan dia sedang buat.

?Bila sudah dibuat dan siap maka kita bincanglah. Kalau Chua pandai, pandailah tetapi jangan buat nombor bergerak-gerak (bertukar-tukar) daripada RM100 juta, RM40 juta, RM1 bilion,  jadi ini lawannya boleh jadi dalam politik.?

Abdul Khalid berkata demikian apabila ditanya mengenai dakwaan terbahru Pengerusi Biro Professional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong yang mengatakan Kerajaan Selangor telah membayar lebihan RM100 juta untuk satu lot tanah di Bestari Jaya.

Pengambilan tanah tersebut sebahagian daripada perjanjian penyusunan semula hutang Talam Corporation yang kini dikenali Trinity Corporation Berhad.

Pada 13 Julai, Kerajaan Selangor berkata akan melantik lima syarikat audit bagi meneliti proses pengambilan hutang Talam Corporation bernilai RM 392 juta.

Audit daripada syarikat yang tidak berkepentingan itu bagi menyangkal tomahan dari Umno-BN bahawa proses kutipan hutang tersebut menyeleweng duit rakyat.

“Kita mentadbir negeri secara professional jadi tunggulah, saya tunggu hasil kajian akauntan bertauliah.

?Kalau dia (Chua) tak faham nanti akauntan itu akan terangkanlah,” katanya dalam sidang media di majlis perjumpaan dengan pembeli rumah kos rendah PJS1 di Bangunan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Sebelum ini Chua mendakwa Kerajaan Selangor telah menyeleweng sebanyak RM 1 billion di dalam penstrukturan semula hutang Talam.

Bagaimanapun, selepas dakwaannya disangkal oleh Kerajaan Selangor dan MP Petaling Jaya Utara Tony Pua, Chua pula menukar dakwaannya yang Kerajaan Selangor rugi RM 42 juta.

“Itu politik MCA lah. Itu sahaja,” kata Abdul Khalid mengenai tuduhan yang saling bertukar dari MCA itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.