Categories
SELANGOR

MB: Syabas tentukan Tarif Air Bukan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kadar tarif air di Selangor berbanding syarikat pemegang konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Ini disebabkan Kerajaan Negeri hanya mempunyai pegangan sebanyak 30 peratus berbanding Syabas sebanyak 70 peratus dalam konsesi air di Selangor

Demikian ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menyanggah persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu, Wong Koon Mun.

“Kalau Kerajaan Negeri ada kuasa, mengapa Syabas mengheret Kerajaan Negeri ke mahkamah apabila Kerajaan Negeri menghalang kenaikan tarif air?” Ujar Abdul Khalid.

Sebelum itu, menurut Koon Mun, Kerajaan Negeri tidak wajar untuk merasa bimbang dengan kenaikan kadar tarif air sekiranya Projek Langat 2 dijalankan kerana Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan kadar tarif air di Negeri Selangor.

Pada November 2010 Syabas telah memulakan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menuntut RM471,642,916 dari Kerajaan Negeri kerana menghalang kenaikan kadar tarif air di Lembah Klang.

Kerajaan Negeri mempertahankan untuk tidak menaikkan tarif air disebabkan mahu mengekalkan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada seluruh rakyatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.