Categories
SELANGOR

MB: Syabas tentukan Tarif Air Bukan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kadar tarif air di Selangor berbanding syarikat pemegang konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Ini disebabkan Kerajaan Negeri hanya mempunyai pegangan sebanyak 30 peratus berbanding Syabas sebanyak 70 peratus dalam konsesi air di Selangor

Demikian ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menyanggah persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu, Wong Koon Mun.

“Kalau Kerajaan Negeri ada kuasa, mengapa Syabas mengheret Kerajaan Negeri ke mahkamah apabila Kerajaan Negeri menghalang kenaikan tarif air?” Ujar Abdul Khalid.

Sebelum itu, menurut Koon Mun, Kerajaan Negeri tidak wajar untuk merasa bimbang dengan kenaikan kadar tarif air sekiranya Projek Langat 2 dijalankan kerana Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan kadar tarif air di Negeri Selangor.

Pada November 2010 Syabas telah memulakan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menuntut RM471,642,916 dari Kerajaan Negeri kerana menghalang kenaikan kadar tarif air di Lembah Klang.

Kerajaan Negeri mempertahankan untuk tidak menaikkan tarif air disebabkan mahu mengekalkan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada seluruh rakyatnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Pertanyaan Kedai Kopi’ Cetus Kemarahan Adun BN

SHAH ALAM 10 JULAI : Sidang Dewan Negeri (DNS) hari ini hangat apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan soalan tambahan dari Wong Koon Mun (Kuala Kubu Bharu-BN) berhubung isu kecurian pasir sebagai pertanyaan ‘kedai kopi’.

Koo Mun sebelum itu, mengajukan soalan tambahan mengatakan kecurian pasir menyebabkan masalah sampingan seperti jambatan dan tanah runtuh di kawasan tertentu.

“Banyak masalah sampingan (akibat kecurian pasir). Sebelum 2008, tiada jambatan runtuh pun. Adakah pendapatan yang diperoleh itu boleh digunakan untuk menggantikan kerugian di Selangor?,? soalnya.

Menjawab pertanyaan itu, Abdul Khalid berkata, Koon Mun menggunakan ?logik agak rendah seperti di kedai kopi? kerana tidak melihat daripada perangkaan yang dijalankan agensi kerajaan terlibat.

“Saya tanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), apa sebab jambatan atau tanah runtuh? Adakah disebabkan kecurian pasir atau faktor lain? Jawapannya tidak kerana kita sudah pantau dan alasan digunakannya logik.

“Dalam kajian lain pula, kita juga panggil Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mereka juga kata tidak, kalau nak jadi Adun status mesti tinggi jadi jangan gunakan ‘simple logic’ untuk terangkan perkara ini betul ke tidak ,” katanya.

Koon Mun kemudian dilihat bangun dan menyatakan Adun Ijok dari PKR itu salah menjawab soalan yang tiada kaitan dengan kedai kopi, bagaimanapun dibalas Abdul Khalid supaya menunjukkan kawasan terbabit.

Kenyataan itu membuatkan Koon Mun ?panas hati? sebelum menyatakan Abdul Khalid tidak turun kawasan.

?Saya daripada bidang kejuruteraan awam, saya tahulah, awak tidak turun kawasan, awak tidak tahu,” kata Koon Mun.

Bagaimanapun, Abdul Khalid membidas, Koon Mun telah memalukan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai daerah selaku individu bertanggungjawab turun padang untuk menyiasat kes berkenaan.

?Laporan itu ditulis mereka, bukan saya. Saudara seolah-olah tidak percaya dengan laporan disediakan dan seperti menyatakan mereka tidak buat kerja,? katanya.

Persidangan itu kembali tenang apabila Shuhaimi Shafiei (Sri Muda-PKR) meminta Abdul Khalid menjelaskan peranan Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang ditubuhkan untuk menangani isu pasir.

Categories
SELANGOR

Hasil Pasir RM 5 Juta Sepanjang Enam Bulan 2012

SHAH ALAM 19 JULAI : Kerajaan Negeri Selangor berjaya mengutip royalti pasir sebanyak RM5 juta dalam tempoh enam bulan ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah itu lebih banyak berbanding semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini yang hanya mengutip sebanyak tidak lebih dari RM3 juta dalam tempoh setahun.

“Kerajaan Negeri sudah tunjukkan bukan sahaja aktiviti kecurian pasir berkurang tetapi royalti negeri juga bertambah dan operasi Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB) meningkat,” katanya yang menjawab soalan Wong Koon Mun (Kuala Kubu Baharu-BN).

Jelas Abdul Khalid, mengikut statistik laporan bulanan daripada jawatankuasa pemantau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menunjukkan penurunan kes kecurian pasir itu.

Katanya, ia melibatkan operasi yang diadakan mengikut daerah, tangkapan dan kompaun.

Bagi tahun 2008 sebanyak 969 operasi dijalankan, 2009 sebanyak 889 operasi, 2010 sebanyak 727 operasi, 2011 sebanyak 653 operasi dan sehingga Jun 2012 sebanyak 350 operasi.

Manakala dari jumlah tangkapan, seramai 974 ditahan pada 2008, 2009 sebanyak 159 orang, 2010 dan sebanyak 91 orang.

“Pada tahun 2011, kita mengadakan Operasi Perampasan Tanah yang terdapat penyalahgunaan tanah sebanyak 37 sahaja danĀ  sehingga Jun 2012 sebanyak 26 orang.

“Antara kawasan yang teramai dalam kes ini ialah Kuala Langat, Sepang dan Hulu Selangor,” jelasnya.

Tambah Khalid, perangkaan laporan kutipan kompaun pula ialah sebanyak RM1.3 juta pada tahun 2008, 2009 sebanyak RM425,000, 2010 sebanyak RM121,000 dan 2011 sebanyak RM27,000.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adun Batang Kali Diperintah Keluar Dewan


SHAH ALAM 21 MAC : Adun Batang Kali (BN), Datuk Mohd Isa Abu Kasim diperintahkan keluar dewan oleh Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim selepas melanggar peraturan mesyuarat 44 (2).

Tindakan itu dilakukan Teng selepas Mohd Isa didapati beberapa kali bertindak mengganggu perbahasan ketika Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim membahaskan usul berhubung isu pasir yang disoalkan oleh Adun Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun.

“Saya perintah bawah peraturan mesyuarat 44(2) disebabkan YB degil, saya perintahkan yang berhormat keluar daripada dewan selama dua jam,” kata Teng selepas Mohd Isa berkeras untuk meminta MB menjawab soalan berkenaan secara paksa.

Teng juga beberapa kali menegur Adun Batang Kali itu supaya berlaku sopan dalam dewan.

“Perangai tolong jaga dahulu, jaga perangai sendiri sebelum menegur orang,saya sudah berkali-kali melihat perangai Adun Batang Kali ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perbahasan sama, Abdul Khalid turut mempelawa semua Adun bagi melihat perjanjian MOU antara kontraktor Kumpulan Semesta Sdn Bhd bersama kerajaan negeri pada Isnin depan.

Beliau menegaskan, MOU berkenaan pelan deklarasi integriti itu nanti turut mengingatkan semua kontraktor supaya menjaga hak rakyat berhubung isu pasir.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Weng San : Tuduhan Liar Noh Omar Hina DUN Selangor

SHAH ALAM,13 MAC : Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Adun Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun perlu mengemukakan bukti jika mereka benar-benar ingin menghentikan penyelewengan pasir dan bukan sewenang-wenangnya membuat tuduhan liar.

Menurut Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, kenyataan Noh Omar dan Wong Koon Mun ini sebenarnya satu kenyataan yang menghina Dewan Undangan Negeri Selangor dan kedua-duanya boleh didakwa dan dihukum di bawah Enakmen Penghinaan Dewan Negeri Selangor.

“Saya menggesa Noh Omar dan Wong Koon Mun untuk segera menarik balik semua tuduhan yang tidak berasas dan memohon maaf kepada Dewan secara terbuka. Pada masa yang sama, eloklah untuk mereka menyerah sebarang bukti dalam pegangan mereka kepada SELCAT jikalau mereka benar-benar ikhlas.

“Malahan kenyataan ini amat memalukan Malaysia di persada antarabangsa kerana terdapat menteri kabinet di Malaysia yang berani mencabar keutuhan Dewan,” kata Weng San dalam kenyataan medianya.

Menurut Weng San, kegagalan Noh Omar berbuat demikian amat menyangsikan iaitu adakah Noh Omar benar-benar mempunyai bukti yang kukuh ataupun ianya hanya tuduhan-tuduhan kosong untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Malahan Noh Omar juga pernah berkata bahawa mereka mempunyai bukti untuk membuktikan tuduhan mereka. Jikalau begitu, mengapa sehingga sekarang Noh Omar tidak mampu menunjukkan apa-apa bukti walau sehelai muka surat pun?

“Ataupun ianya hanya sandiwara murahan rekaan Noh Omar yang bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar? Kalau Noh Omar mempunyai bukti, maka beliau harus mengemukakan kepada SELCAT ataupun membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membendung gejala ini,” tegas Weng San.

Tambah Weng San lagi, sebagai menteri, Noh harus sedar bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu untuk tidak melaporkan satu perbuatan rasuah yang diketahuinya kepada SPRM untuk siasatan lanjutan.

“Harus diingatkan bahawa SELCAT memang bukan sebuah mahkamah kerana ianya merupakan sebuah Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor bagi menyiasat sebarang tindakan salahlaku oleh pihak kerajaan. Dalam perkataan lain, peranan yang dimainkan oleh SELCAT ialah untuk menyemak dan mengimbang (check and balance) pihak pentadbiran.

“Sebagai sebuah jawatankuasa pilihan, SELCAT tidak ada kuasa untuk menghukum mana-mana individu tetapi mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana saksi bagi memberi keterangan secara terbuka melalui pendengaran awam bagi mana-mana isu yang berkepentingan awam,” ujar beliau.

Weng San berkata pemberian keterangan secara terbuka ini membantu dalam mempertingkatkan tahap ketelusan dalam pentadbiran awam kerana saksi-saksi yang dipanggil akan terletak di bawah pemantauan awam (public scrutiny).

“Konsep jawatankuasa pilihan ini merupakan satu pembaharuan dalam menjalankan fungsi-fungsi parlimen di kebanyakan Negara Komanwel dan ianya dipelopori oleh Parlimen Britain sehingga Perdana Menteri Britain pun boleh dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa pilihan,” kata Weng San.