Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Tidak Gusar Dengan Kempen “Sayangi Selangor”

SHAH ALAM, 25 JULAI : Propaganda Umno-BN menerusi iklan “Sayangi Selangor” di stesen dan gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diyakini gagal mempengaruhi majoriti rakyat yang kini bijak menilai apa yang terbaik untuk diri mereka.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, tindakan tersebut adalah usaha terdesak Umno-BN untuk meraih sokongan bagi mengekalkan kuasa di samping cubaan merampas kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat (Pakatan).

Adun Seri Setia itu menambah, secara prinsipnya pendekatan Umno-BN itu adalah salah kerana biarpun KTMB adalah agensi Kerajaan Pusat tetapi ia bukan agensi parti berkenaan.

“Kalau betul-betul mereka nak berlaku adil, mereka seharusnya membuka peluang kepada semua pihak termasuk Kerajaan Selangor atau Pakatan untuk iklankan di KTMB.

?Ini salah guna kuasa tetapi saya tidak risau kerana rakyat pun sudah bijak menilai. Kita lihat  Umno-BN semakin terdesak menggunakan semua medium yang ada,” katanya ketika dihubungi Selangorkini di sini hari ini.

Nik Nazmi selanjutnya berkata, KTMB sewajarnya melihat perkara itu secara adil kerana realitinya ia adalah milik seluruh rakyat Malaysia.

Dalam laporan media sebelum ini, Pengerusi KTMB, Datuk Seri  Mohd Zin Mohamed berkata kempen iklan “Sayangi Selangor” dibayar tetapi enggan mendedehakan siapa yang menanggung kos untuk kempen itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.