Categories
SELANGOR

Rafizi Dakwa KJ Akui Kerajaan Tiada Upaya Hapus Cukai Bebankan Rakyat

SHAH ALAM 25 JULAI : Bagi memajukan ekonomi negara rakyat seharusnya tidak dibebankan dengan cukai melampau sebaliknya sumber keuntungan negara sepatutnya datang daripada pertumbuhan ekonomi yang sihat.

Perkara ini dilontarkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mahu kuasa beli rakyat dipertingkatkan kerana kuasa beli rakyat yang kuat akan meningkatkan dapatan ekonomi negara.

Rafizi berkata demikian bagi mengulas pandangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyatakan penghapuskan duti import dan eksais bagi kereta akan melesapkan RM4.6 bilion hasil dari cukai pendapatan negara.

Kenyataan tersebut mengesahkan bahawa beliau(Khairy) sebenarnya sukar untuk mengubah struktur cukai kereta yang sedia ada kerana beliau memahami kadar tersebut tinggi dan membebankan.

“Secara langsung sebenarnya saudara Khairy mengakui kelemahan pentadbiran BN kerana cara beliau bercakap itu seolah-olah mengiyakan BN gagal mentadbir ekonomi negara dengan baik, gagal mengawal perbelanjaan kerajaan. Maka cara pendek yang diambil oleh Umno-BN adalah mengenakan cukai yang tinggi terhadap rakyat.

“Pandangan saya dia mengakui struktur cukai kereta yang ada sekarang memang cukup membebankan.

“Cara yang lebih baik untuk jangka masa panjang adalah kita mahu tingkatkan pendapatan rakyat kuasa beli rakyat. Bila rakyat berbelanja maka ekonomi akan tumbuh dengan baik dan keuntungan syarikat juga akan lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Rafizi pada sidang medianya semalam menyatakan, Pakatan Rakyat menawarkan pengurangan harga kereta di dalam menifesto pilihan raya akan datang sekiranya berjaya mentadbir Putrajaya.

Menurutnya lagi, angka bagi menurunkan cukai harga kereta yang dicadangkan Pakatan sebenarnya lebih rendah berbanding beberapa projek besar yang sedang direncanakan oleh BN seperti pembinaan Loji Langat 2 dan LRT Ampang.

Jelas beliau, cadangan penurunan harga cukai kenderaan berkenaan akan dibuat secara berperingkat dan bukannya secara mendadak bagi mengimbangi penurunan harga kereta terpakai.

“Kiita tidak dengar mereka (pemimpin Umno-BN) mempersoalkan perbelanjaan berbilion BN tetapi hanya mempersoalkan bagaimana jika PR ingin berbelanja kepada rakyat.

“Penghapusan cukai ini tidak dibuat secara serta merta tetapi secara berperingkat supaya kita boleh imbangkan penurunan harga kereta dengan nilai kereta terpakai (second hand). Kalau buat serta merta maka harga kereta terpakai akan jatuh mendadak,” katanya.

Rafizi turut tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa penurunan harga kereta akan mengganggu prestasi Proton sebaliknya menganggap kenyataan tersbut sebagai satu penghinaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.